Menyusuri Budaya Warisan Kelantan Zaman Berzaman




Bila INFINITI berbicara...

Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud di kalangan masyarakat biasa di kampong - kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Mereka akan ‘mengarut’ atau menyanyi sambil berbalas - balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang. Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman.

Perkataan Dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian “Karut” itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Walaubagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.

FUTURISTIK IKLIM PERGURUAN

:: PENDIDIKAN ::

Abad ke-21 akan terus membawa perubahan akibat globalisasi, kemajuan ilmu
sains, teknologi dan pengetahuan. Cabaran global yang mengelilingi dunia pendidikan hari ini umpamanya semakin kompleks dan begitu menguji kemahiran pemimpin pendidikan dari setiap damensi. Ia bukan sahaja menguji kemampuan dan ketahanan mental, fizikal, emosi dan rohani, malah ia menagih pengorbanan yang tidak terbatas dari segi pemikiran, tenaga, masa dan kewangan. Mengurus, mentadbir dan mengelola sumber merupakan tumpuan tenaga pengurus, pentadbir dan pengelola dalam sesebuah organisasi. Kepelbagaian sumber dengan kepelbagaian sifatnya memerlukan percaturan, pengadunan dan pengolahan yang cekap dan berkesan

Perubahan-perubahan yang hebat dan pantas dalam aspek ekonomi, budaya dan politik itu sendiri adalah cabaran besar yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia khususnya warga guru. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa sejak dari dahulu lagi cabaran-cabaran itu sudah wujud dan diperbincangkan, tetapi kali ini ia dijangka lebih hebat dan kritikal ekoran wujudnya sumbangan teknologi yang lebih baru dan canggih. Masalah yang timbul dari cabaran tersebut seperti kecelaruan rohani, kekeliruan nilai akhlak, dan tahap perhubungan sosial yang sebenar dalam diri pelajar.

Hasilnya, perubahan yang drastik dalam hubungan komunikasi masyarakat dunia berlaku. Ini menjadikan dua cabaran besar alaf baru ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani dan diatasi ke arah membentuk watak dan peribadi pelajar. Justeru itu, agenda penting untuk membangun rakyat Malaysia melalui sistem pendidikan yang bermutu ialah memperkasakan sistem pendidikan negara. Ia sejajar dengan plan tindakan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Hj Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini. Dengan menekankan teras kedua plan tersebut iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama, maka ia diharap dapat mematikan langkah sumbang warga pendidik dalam mendidik anak bangsa. Maka, kedua-dua agenda ini harus dididokong oleh para pendidik walaupun menyedari cabaran yang dihadapi pada alaf baru ini sangat berat dan mencabar.

Justeru, para pendidik perlu sedar bahawa dalam usaha negara menghadapi masa depan yang penuh saingan, maka pendidikan adalah bersifat futuristik. Oleh itu, kita hendaklah mampu menyediakan generasi muda kita untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan berupa masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat yang tidak dapat di tapis keaslian sumbernya.

Sebagai pengimbang di atas segala kecanggihan berikut, INFINITI menyarankan agar golongan pendidik perlu berusaha untuk melahirkan generasi berilmu yang mampu untuk berfikir secara kritis, menilai mengikut analisis dan bertindak mengikut perancangan dan fakta yang tepat dan boleh dipercayai demi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi yang terkini, serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini.

Dalam pada itu, perkembangan ekonomi dan industri yang berlaku dengan pesatnya tidak bermakna jika tidak diseimbangkan dengan kesejahteraan sosial dan kebudayaan yang terpelihara. Kita pasti tahu, cabaran yang sedia wujud seperti masalah remaja, dadah, seks bebas, samseng sekolah, ponteng, dan berbagai kes salah laku perlu ditangani dengan bijaksana. Para pendidik seharusnya menghadapi cabaran ini sebagai satu peluang (oppoturnity) secara komited dengan menggunakan wadah pendekatan nilai merentasi kurikulum persekolahan untuk membentuk masyarakat madani di kalangan pelajar dan masyarakat. Ini satu cabaran yang INFINITI lontarkan pada warga pendidik..

INFINITI berpendapat, dalam konsep menggunakan peluang, guru saharusnya memahami satu konsep iaitu ; orang yang cerdik, mereka mencipta peluang baru. Orang yang biasa pula ialah mereka yang menggunakan peluang yang ada manakala orang yang rugi adalah mereka yang mensia-siakan peluang. Justeru, guru sebagai individu yang berintelek seharusnya mampu mencipta peluang atau setidak-tidaknya menggunakan peluang yang ada.

Sehubungan dengan itu, ilmu, kemahiran dan kepakaran adalah pra-syarat yang perlu dimiliki oleh para guru sebagai pengurus, pentadbir dan pengelola. Sementara pengalaman pula merupakan nilai tambah atau ‘add value’ kepada keupayaan sedia ada. Seterusnya, usaha menyelami perasaan, menghayati, simpati, bertimbang rasa dan bertolak ansur pula merupakan kualiti peribadi pelengkap kepada seorang pengurus sumber manusia yang cemerlang. Pra-syarat sebagai seorang guru yang cemerlang adalah memiliki kekuatan keperibadian, kekuatan peranan dan kekuatan pengetahuan.

Kita akan berhadapan dengan perubahan paradigma masyarakat serta perubahan persepsi terhadap para guru. Semua ini akan terus mewarnai dunia pendidikan dengan pelbagai warna mengakibatkan berlakunya perubahan yang tidak dapat dijangkakan. Semua ini akan memberi kesan kepada penduduk dunia. Dalam konteks ini, guru mesti dapat memahami perubahan-perubahan ini. Paling mustahak guru mesti dapat mengurus dan menjadi pengurus kepada perubahan-perubahan ini dan bukan hanya menjadi penonton kepada perubahan ini!!

Bola Sepak Kelantan ; Masa depan dan harapan


Bagi meraikan pengunjung2 setia blog INFINITI yg terdiri daripada segenap masyarakat yang mempunyai kecenderungan masing-masing, maka kali ini INFINITI akan berkongsi dengan anda semua yang setia mengikuti perkembangan bola sepak Kelantan (KAFA). INFINITI sendiri tidak segan silu untuk membuat perakuan bahawa pasukan ini adalah pasukan yang paling diminati INFINITI dalam banyak-banyak team bola sepak tanah air mahupun team dari negara luar . Alasannya mudah. INFINITI adalah orang kelantan, berketurunan kelantan, mengalir darah kelantan, berbahasa pekat loghat kelantan dan juga YDP pada Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya. Maka, tidak usah mencipta sebab yang berbunga atau bersandarkan hipokrit yang tidak berjejak pada bumi yg nyata. Cukup dengan melahirkan apa yang dibicara oleh hati dan jiwa yang sudah sebati dengan budaya kelantan yang amat disanjungi.

Berbalik pada tajuk yang ingin dibicarakan oleh INFINITI, secara mudahnya INFINITI ingin berkongsi dengan sidang pembaca sekalian mengenai masa depan dan harapan pada skuad Kijang Emas yang baru dibentuk ini. Bermula dengan peralihan kuasa di peringkat pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sehinggalah kepada strktur pemilihan jurulatih dan pemain dan sekarang perhatian peminat-peminat bola sepak kelantan lebih terfokus kepada calon-calon pemain import yang akan mewarnai corak permainan kelantan bagi musim ini.

Pada peringkat awal, KAFA memfokuskan perhatian kepada calon yang akan menyandang jawatan Presiden yang akan menggantikan tampuk kepimpinan terdahulu di bawah En. Jazlan Yakob. Suasana pertandingan atau saingan dapat digambarkan ketika ini apabila ada beberapa nama yang disebut2 akan mengisi slot tersebut. Antara nama2 yang mendapat pencalonan ramai ialah, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan), YB Datuk Taqiyyuddin Hassan (Exco Kerajaan Negeri), En. Azman(Bekas Pengurus bola sepak kelantan, dan Dato' Sri Panglima Annuar Musa (Ketua Perhubungan UMNO Kelantan). Setelah Mesyuarat Agung Tahunan dijalankan, maka ahli mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Dato' Sri Panglima Annuar Musa sebagai Presiden baru KAFA.

Walau apa pun keputusan yang dibuat, yang penting pengurusan baru yang dilantik ini mesti membuktikan sesuatu yang bermakna dan bermanfaat di atas perlantikan tersebut. Isu-isu utama yang membelenggu KAFA sejak zaman-berzaman seperti masalah pembayaran gaji kepada pemain, elaun dan kebajikan mereka mesti diletakkan dalam visi utama pembawakan kepimpinan baru ini. Kita tidak lagi mahu mendengar masalah tunggakan gaji ke atas pemain berlaku dalam era kepimpinan baru KAFA ini.

Umum megetahui bahawa bola sepak kelantan adalah salah satu kuasa besar bola sepak tanah air yang suatu ketika dahulu amat digeruni oleh mana-mana pasukan yang turut bertanding dalam kancah bola sepak tanah air. Lagenda-lagenda Kelantan sepeti Dali Omar, Nik Leh, Tuan Kamri Tuan Yahya dan Hashim Mustaffa adalah pemain yang dianggap berbahaya oleh benteng-benteng pertahanan pasukan lain. INFINITI berkeyakinan besar bahawa lagenda-lagenda seperti itu mampu dihasilkan sekali lagi oleh pasukan kelantan pada musim ini memandangkan KAFA sudah berjaya mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan iaitu Norizan Bakar atau lebih mesra dipanggil Cikgu Jan oleh peminat-peminat bola sepak tanah air yang mengenali beliau dengan sifat yang tenang, dan warak.

Apa lagi yang dimahukan oleh KAFA? Punya Presiden yang berpengalaman dalam bidang sukan (pernah memegang tampuk kepimpinan kementerian belia sukan) dan jurulatih yang berpengalaman dalam perlawanan antarabangsa (bekas jurulatih kebangsaan), maka tidak ada alasan kepimpinan KAFA dan pemain-pemainnya untuk membuktikan sesuatu pada musim ini. Yang penting, lakukan pemilihan pemain yang teliti dan terbaik berdasarkan kemampuan, kemahiran, dan semangat untuk sama-sama menaikkan imej skuad 'kijang emas'. Pemain import amat penting. Tetapi perlu pastikan walau kuantitinya sekadar 3 orang sahaja, namun mutu kualitinya berjaya membantu pemain tempatan yang rata-ratanya berumur lingkungan 24 kebawah yang 'dikutip' segenap daerah dan kampung.

Mengenai keserasian pemain pula, berdasarkan siri-siri perlawanan persahabatan skuad ini dengan pasukan seperti PKNS Selamgor, Kuala Lumpur dan Kl Plus, maka bagi INFINITI yang turut menyaksikan perlawanan tersebut berpendapat bahawa mutu permainan skuad Cikgu Jan ini masih banyak yang perlu diperbaiki dan diatasi. Ketepatan hantaran, keserasian, komunikasi, dan skill mengelecek perlu ditingkatkan seINFINITI mungkin. Dengan tahap sekarang, INFINITI beranggapan pasukan ini masih jauh ketinggalan dengan skuad elit lain seperti Perlis dan Kedah.

Apapun, pasukan muda ini perlu memandang ke hadapan. Walau rata-rata pemain masih mentah dan tidak ada pengalaman dalam permainan bola sepak profesional, namun nama-nama seperti Mohd Safuan, Mohd Saufi dan pemain muda lain lagi perlu beraksi di padang dengan corak permainan individu yang tinggi dan berkeyakinan bagi merobek gawang pasukan lawan. Ada semangat, rajin berlatih dan punya disiplin tinggi adalah syarat utama untuk setiap pemain muncul antara pemain yang digeruni lawan.

Ayuh SKUAD KIJANG EMAS, kamu mampu lakukan anjakan paradigma demi masa depan skuad ini. Untuk peminat, jangan cepat melatah dan mencemuh kerana itu semua akan membuatkan semangat pemain-pemain kendur dan layu dalam kritikan berbaur penghinaan peminat sendiri!! Kita ingin membina, bukan menghina!! Masa depan, harapan dan cabaran terletak di atas bahu kita bersama. Bersama INFINTI mendokong skuad ini. Tradisi mencabar mampu menggerunkan lawan, semangat perlu ditonjolkan, permainan emas akan disajikan..

AMANAH DAN FITNAH DALAM KEPIMPINAN









Untuk mengisi ruangan INFINITI kali ini, saya berpandukan pada Hadith junjungan kita, pemimpin ideal sepanjang zaman iaitu baginda Nabi Mohamad SAW yang bermaksud : " Setiap orang daripada kamu adalah sebagai pemimpin, dan setiap daripada kamu akan disoal tentang kepimpinan kamu ".

Hadith ini cukup jelas kepada kita menyentuh perihal kepimpinan pada diri setiap makhluk yang bergelar manusia atau khalifah di atas muka bumi ini. Bermaksud, jika kamu manusia, kamu ada tanggungjawab. Bila ada tangungjawab, awas!!!, beringatlah kamu kerana kamu pasti dan pasti akan disoal oleh Allah tentang tanggungjawab yang kamu kerjakan. Kamu tunaikan tanggungjawab atau tidak, sekarang bukan tempat kamu berbangga atas tertunainya tanggungjawab tersebut atau kamu dihina atas ketidakpedulian kamu pada amanah tersebut.

Tetapi, yang pasti kamu akan bersoal di depan Allah suatu hari nanti. Janji yang dikatakan Allah dalam al-Quran tetapi akan hanya terlaksana di akhirat kelak. Kamu akan berdepan dengan mahkamah Allah. Bukan mahkamah kerajaan yang dikuasai manusia, tetapi mahkamah Allah yang Dia sendiri mentadbirnya. Jika di dunia, kamu bisa mengubah fakta yang benar agar kamu tidak didakwa dan dipersalahkan. Tetapi di akhirat kelak, kamu tidak berupaya mengubahnya. Di dunia, kamu melalui proses pendakwaan dan pengumpulan maklumat tentang kesalahanmu, tetapi di sana kamu hanya menunggu sahaja fakta yang telah ditulis oleh malaikat-malaikat Allah yang tidak tersilap sedikit pun dalam memberi penilaian kepada amalan dan kerjaan kamu.

Data, fakta dan pembuktian telah tersedia ada. Cuma giliran kamu hanya mendengarnya sahaja. Kamu baik, kamu amanah, kamu soleh, kamu bertaqwa, pasti kamu tersenyum gembira dengan senyuman keimanan yang terpancar diwajahmu. Tetapi jika kamu jahat, kamu banyak dosa, kamu tidak menjalankan amanah dan kamu tidak beriman dengan Pencipta Alam, kamu akan sedih dan kecewa bersama dengan terselahnya kegelapan dosa di wajahmu.


Tanggungjawab bukan perkara main-main wahai insan yang hendak dipanggil manusia. Kamu pasti tahu al-Quran telah menunjukkan satu cerita sebagai teladan kepada kita. Perihal amanah telah disentuh oleh Allah di dalam KalamNya yang benar itu. Bukit itu hebat dek sifatnya yang besar, gagah dan teguh kerana berpacak di atas bumi yang mendampar ini. Tetapi bukit tidak menerima amanah tannggungjawab tersebut. Tetapi manusia yang penuh dengan keegoaannya tidak segan silu menerima amanah tersebut.

Manusia bongkak kah?? Mungkin ya mungkin tidak. Ya, jika dia menerimanya tapi tak melaksanakannya. Tidak, kerana dia menunaikan apa yang dipikulnya itu. Kamu bermain-main dengan amanah, tetapi kamu langsung tidak memikirkan apa yang kamu akan terima kelak. Kamu buat main-main, tetapi ingat kamu akan di soal oleh Allah dengan bersungguh-sunnguh. Kamu kata kamu pikul amanah itu sekejap sahaja, tetapi ingat kamu akan bersoal dengan Allah tentang amanah ini dalam jangka masa yang lama. Kamu tidak menjalankan amanah tersebut, tapi ingat kamu akan disoal juga walaupun kamu tak mengerjakannya.


Maka, jika kamu hendak berbangga, kamu berbanggalah walhal kamu tidak menunaikannnya dan kamu terhinalah sehina-hinanya tetapi pastikan kamu terhina dengan memikul panji-panji perjuangan memikul amanah Allah iaitu meneggakkan Islam di atas muka bumi Allah. Kamu terhina, tetapi kamu ada Syurga. Ianya manis tetapi perlu melalui perjalanan yang pahit lagi getir. Mudah-mudahan Allah menempatkan diri kita dalam kepahitan perjuangan tetapi akan merasai kemanisan iman dan kemaduan Syurga yang tiada nilai gantinya...

INFINITI :Maksud dan Matlamatnya

INFINITI adalah bermakna tiada kesudahan, tiada maksima dan tiada penghujungnya. Saya namakannya sebagai INFINITI kerana bagi saya setiap apa yang berlegar dalam kehidupan ini adalah tiada penghujungnya melainkan satu perkara sahaja iaitu.......(rujuk diakhir tulisan ini). Apa yang saya katakan itu boleh dijadikan sebagai motivasi kepada rakan-rakan dalam mendepani kehidupan ini. Sifatnya yang tiada penghujung akan lebih membuatkan kita sentiasa bersemangat dalam mengatur detik dan rentak kehidupan ini. PERJUANGAN, KEHIDUPAN dan CABARAN tidak pernah berhenti menguji kita. Ia tiada kesudahan. Sekali lagi saya cuba gambarkan pengertian INFINITI di sini. Tiada kesudahan tidak bermakna tiada jalan penyelesainnya. Cuba kita fikirkan begini. Jika apa yang saya sebut tadi tiada kesudahan, maka untuk mengatasi masalah-masalah tersebut juga tiada jalan penamatnya, bermaksud pasti ada sinar cahaya yang menjadi jalan kepada masalah ini..Inilah INFINITI yang saya cuba 'daulatkan' ini. SALAM INFINITI>_ (yang saya maksudkan dalam ayat di atas adalah KEMATIAN)