PERUTUSAN TAHUN BARU YDP PMKUM




Segala puji bagi Allah s.w.t yang memiliki kekuasaan di atas muka bumi ini, Maha perkasa dan Maha bijaksana hanyalah untuk-Nya. Selawat dan Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., penghulu segala nabi serta ahli keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda yang bersama-sama menegakkan panji-panji kebenaran.

Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah s.w.t atas hidayah dan kasih sayangNYa memberi kesempatan kepada kita untuk bertemu di Tahun Baru 1429H bersamaan 2008 ini. Semoga tahun ini akan memberi lebih kejayaan dan keberkatan dalam mencapai impian yang dicita-citakan. Saya dan seluruh Exco Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM) ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 1429H/2008 kepada seluruh warga UM khususnya buat rakan-rakan ahli PMKUM dan rakyat Negeri Kelantan yang tecinta.

Saudara-saudari yang dirahmati,

Tahun 2007 telah meninggalkan seribu satu kenangan, impian, cabaran, kesedihan dan kejayaan buat kita semua. Kejayaan demi kejayaan telah dicapai oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM) pada tahun (semester) lepas. Kejayaan tersebut bermula dengan keupayaan kita menarik ramai anak-anak Kelantan kepada persatuan ini. Kejayaan mengumpul bilangan ahli baru yang tertinggi di peringkat semua persatuan anak-anak negeri semasa PROMO ’07 yang dianjurkan oleh pihak HEPA pada tahun lepas, menjelaskan bahawa kita adalah persatuan yang terus aktif dan mempunyai keahlian yang paling ramai berbanding persatuan anak negeri lain. Itu perkiraan yang dibuat berdasarkan jumlah ahli baru yang mendaftar dan tidak lagi mengambil kira jumlah sebenar anak-anak Kelantan yang tidak lagi berdaftar secara sah dengan kita sedangkan mereka wujud di Universiti Perdana ini.

Menuju ke arah salah satu daripada lima MISI yang digariskan PMKUM sesi ini iaitu KEPIMPINAN BERSAMA, maka selepas berkhirnya Minggu Promosi Badan Pelajar (PrOMO ‘07), PMKUM telah menganjurkan satu program yang melibatkan pimpinan diperingkat Majlis Tertinggi, Exco, AJK dan pengarah-pengarah projek sepanjang sesi kepimpinan ini. Program tersebut ialah Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) yang bermatlamat untuk melahirkan pimpinan yang mempunyai kesatuan minda dan kerja dalam gerak kerja persatuan. Kesatuan minda dan kerja yang saya nyatakan ini adalah amat penting untuk memastikan visi, misi, objektif dan hala tuju yang digariskan oleh pimpinan di peringkat majlis tertinggi, selari dengan gerak kerja ahli di peringkat bawah samaada exco JKP PMKUM, ahli jawatankuasa JKP, pengarah-pengarah projek dan juga ahli PMKUM itu sendiri.

Pada sesi lepas juga, kita telah menganjurkan program Hari Interaksi Darul Naim (HISDAN) yang berjaya menghimpunkan sebilangan besar anak-anak kelantan dari setiap fakulti dan kolej-kolej kediaman yang datang memenuhi Kompleks Perdana Siswa (KPS). Signifikannya, program tersebut turut dihadiri oleh presiden-presiden persatuan negeri lain seperti Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH), Persatuan Mahasiswa Perak (PEMARAK), Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA), dan Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (PERMANIS). Turut memeriahkan majlis juga adalah wakil dua persatuan ‘induk’ Universiti Malaya iaitu Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM) yang diwakili oleh Pengerusi Biro Kebajikan & Perpaduan dan Majlis Perwakilan Pelajar yang diwakili oleh presidennya sendiri iaitu Sdr. Affenddi Tanjung. Kesediaan dan kejayaan kita menjemput dan mengumpul pimpinan-pimpinan di peringkat persatuan lain ini dalam program kita adalah membuktikan bahawa VISI BESAR PMKUM kita sesi ini iaitu PERPADUAN adalah perkara yang serius dan harus diberi perhatian oleh semua pihak. Kita tidak mahu soal perpaduan ini hanya subur dalam ruang lingkup dan kehidupan anak kelantan sahaja bahkan jauh dari itu, kita ingin menjadi sebuah persatuan yang mendominasi dan mengungguli perjuangan membawa perpaduan ini. PMKUM dan ahlinya harus menjadi contoh dan satelit kepada persatuan lain dalam membawa visi ini.

Kita juga tidak meminggirkan aspek penjanaan ekonomi dalam persatuan kerana bagi kita, usaha persis untuk memastikan persatuan ini mempunyai sumber kewangan yang mantap harus didokong bersama oleh ahli-ahli PMKUM terutama pimpinan-pimpinan PMKUM sendiri. Kita harus sedar, kejayaan dan kelicinan sesuatu projek yang telah diatur sepanjang sesi adalah bergantung kepada kukuhnya sumber kewangan kita. Bermaksud, kita ada wang, kita mampu berjuang ! Wang bukan segalanya, tetapi dengan wang, kita mampu melakukan segalanya.
Menyedari hakikat ini, maka PMKUM cuba sedaya upaya untuk menggunakan sebarang peluang yang ada untuk merealisasikan hasrat tersebut. Maka dengan berlangsungnya Majlis Konvokesyen bagi bakal-bakal graduan baru-baru ini, PMKUM telah menggunakan peluang ini untuk membuka gerai makanan bagi mengukuhkan sistem ekonomi persatuan. Pengurusan gerai PMKUM ini telah dpertanggungjawabkan kepada JKP Ekonomi yang kemudiannya menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan segala perancangan yang diatur berjalan lancar. Sejak penubuhan PMKUM pada 1971 yang lalu sehingga sekarang, kita masih lagi mengekalkan nama keramat gerai PMKUM ini iaitu Citarasa Darul Naim (CDN). Begitu juga sejak 3 sesi kepimpinan PMKUM sebelum ini, CDN masih lagi mengekalkan menu masakan tradisi PMKUM iaitu masakan istimewa nasi kerabu dan masakan panas yang setiap hari berjaya menarik pelanggan yang ramai dan sentiasa memenuhi ruang khemah CDN PMKUM.
Ini menunjukkan bahawa, masakan yang kita ketengahkan ini bukan sahaja berjaya menarik minat anak-anak kelantan kita bahkan terdapat juga mahasiswa negeri lain yang turut mengunjungi gerai CDN PMKUM. Istimewanya, semua masakan yang kita persembahkan itu adalah hasil titik peluh dan ramuan asli ciptaan ahi PMKUM sendiri. Kemahiran inilah yang kami di peringkat pimpinan mahukan. Sebab itu, antara 5 Misi PMKUM sesi ini adalah KEILMUAN & KEMAHIRAN BERINTEGRASI yang cuba diterapkan kepada ahli. Misi ini kalau dihayati oleh ahli di semua peringkat, mampu melonjakkan semangat baru untuk mendaulatkan ilmu dan mencambahkan kemahiran yang ada.

Saudara-saudari sekalian,

Setiap persatuan atau organisasi, saya yakin pastinya tidak akan mengabaikan soal kebajikan. Begitu juga dengan PMKUM. Kami melihat soal kebajikan ini adalah perkara yang perlu dititikberatkan. Memandangkan setiap tahun tibanya musim perayaan Aidilfitri, pasti ada yang tidak memiliki tiket pulang ke Kelantan. Mengambil kira permasalahan seperti ini, maka kita menggesa JKP Kebajikan & Perpaduan agar mengambil inisiatif untuk menyediakan bebrapa buah bas untuk sedikit sebanyak membantu segelintir ahli PMKUM yang bermasalah ini. Sesuai dengan misi terakhir dalam hireki 5K PMKUM iaitu KEBAJIKAN & KEPERIHATINAN BERSAMA, maka inisiatif seperti ini dilihat tepat untuk melengkapkan misi PMKUM sesi ini.

Namun begitu, kita juga tidak mengetepikan elemen kerohanian dan pentarbiyahan dalam setiap diri ahli PMKUM. Perubahan yang drastik dalam hubungan komunikasi masyarakat dunia sedang berlaku. Ini menjadikan dua cabaran besar alaf baru iaitu ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang semakin parah perlu ditangani dan diatasi ke arah membentuk watak ahli PMKUM yang beretika. Justeru itu, agenda penting bagi pembinaan jati diri mulia ini ialah dengan mengatur program-program kerohanian dari semasa ke semasa. Dengan kedatangan Ramadhan yang lepas, kita melalui JKP Etika, Patriotisme & Kenegaraan PMKUM telah menganjurkan program IFTAR JAMAIE & SOLAT HAJAT PERDANA bagi mengisi dan mendidik ahli-ahli kita dengan aktiviti keagamaan dan kerohanian disamping untuk memeriahkan lagi kedatangan Ramadhan yang mulia itu.

Pada tanggal 25– 29 Disember 2007 yang lepas, PMKUM juga telah berjaya menganjurkan OPKIM ’07 yang diadakan dengan penuh gemilang. Namun disebalik kejayaan itu, sebenarnya ada beberapa perkara yang timbul di peringkat awal sebelum program tersebut berjalan. Dengan keadaan cuaca di kelantan ketika itu yang mengalami musim tengkujuh yang agak teruk dan tarikh buka semester pengajian yang semakin dekat, maka ini sebenarnya membuatkan jawatankuasa OPKIM ’07 tidak nyenyak tidur dan mungkin juga ada yang tidak selera untuk makan. Secara logiknya, sudah tentu OPKIM ’07 tidak akan berjaya diteruskan kerana kita juga sedar bahawa setiap program pasti memerlukan pesertanya. Mana mungkin kami boleh bergoyang kaki dalam keadaan dua masalah yang saya sebut di atas tadi sedangkan kita amat memerlukan ahli untuk menjadi peserta ‘program tengkujuh’ ini. Tetapi saya cukup percaya dengan keberkatan dalam berpersatuan berpersatuan. Pasti ada pertolongan Allah kerana kita memilih jalan ini (berpersatuan) yang penuh dengan kemanisan dan keberkatan dalam Islam. Hasilnya, seminggu sebelum program tersebut berlangsung, maka kita berjaya mengumpul seramai 102 orang perserta yang asalnya tidak ada seorang pun yang berani mendaftarkan diri kerana faktor cuaca dan faktor-faktor lain. Tetapi inilah dunia persatuan. Indahnya berpersatuan, kita sendiri tidak menjangkakan. Maka dengan berakhirnya OPKIM ’07 tersebut, kalendar PMKUM bagi semester yang lepas (sesi 2007) dapat ditutup dengan jayanya.

Saudara-saudari sekalian,

Kegemilangan ini harus diteruskan, kejayaan akan terus digenggam. Hari ini, kita semua telah memasuki era kedua dalam kepimpinan PMKUM sesi ini. Era kedua menuntut pecutan yang lebih laju dan bertenaga kerana kita sudah tidak memilki masa yang panjang untuk lagi berada dalam kelalaian dan kelapaan. Kita sebagai pimpinan, kita mesti terus mengejar impian. Kita sebagai ahli, kita mesti terus berbakti. Itu falsafah mudah yang harus dijadikan prinsip bilamana kita memasuki fasa ke-2 dalam gerak kerja PMKUM sesi ini.

Ayuh !! Marilah kita mengingati kembali VISI kita iaitu “MENJALINKAN KEMESRAAN DALAM KEBERSAMAAN UNTUK MEMBENTUK PERPADUAN”. Juga hadamkan kembali MISI 5K PMKUM iaitu KEPIMPINAN BERSAMA, KEMESRAAN DAN KETERBUKAAN DALAM BERPERSATUAN, KEMASYARAKATAN DAN PERPADUAN YANG MENYELURUH, KEILMUAN DAN KEMAHIRAN BERINTEGRASI, serta KEBAJIKAN DAN KEPERIHATINAN BERSAMA. Kembalilah kita berjanji, buat yang terbaik untuk PMKUM. Suburkan kemesraan, wujudkan kebersamaan dan utuhkan perpaduan.


“ BERSAMA MEREALISASIKAN PERPADUAN ”