MENCAPAI MATLAMAT ; Teori Sang Kancil (Bahagian 2)


sambungan daripada bahagian 1...


"Abang, tak boleh ka kalau memimpin tapi tak ada matlamat?". Tanya seorang pelajar Cina yang duduk di hadapan sekali. Kiri kanan dia, semuanya jenis yang berkulit cerah dan mempunyai mata yang sepet sepertinya. 'Sekapal' kot. Hehe...Fikiran saya ketika itu, sempat memikirkan perihal bangsa mereka. Orang Cina ni memang membuatkan saya kagum. Dalam belajar, mereka tak seperti kebanyakan pelajar Melayu. Mereka rajin, selalu duduk di hadapan semasa belajar dan tidak segan bertanyakan soalan. Saya masih ingat lagi sewaktu mengambil kursus Kepimpinan Diri Dan Organisasi di Fakulti Pendidikan semester lepas, pelajar Cina lah yang banyak bertanyakan soalan kepada pensyarah. Orang Melayu, emphhhh...hampeh! Duduk pula belakang-belakang, lepas tu siap main kerja lain lagi. Nampaknya mungkin orang Cina lebih bermatlamat dalam belajar berbanding dengan keturunan kita orang Melayu...


"Satu lagi, kalau kita perlu kepada matlamat, macamana kita hendak mencapai matlamat tersebut abang?". Pelajar Cina tadi terus bertanya. Wah, berderet soalan yang dikemukakan olehnya. Belum sempat saya nak jawab soalan pertama, dah 'disudu' dengan soalan kedua. "Em..bagus soalan kamu ini. Siapa nama kamu?" Tanya saya untuk mengenali pelajar terbabit. Sebenarnya kaedah bertanyakan nama ini adalah untuk menambahkan motivasi pelajar lain. Secara psikologinya, jika seorang guru bertanyakan nama seseorang pelajar, maka pelajar lain akan teruja untuk turut ditanya namanya kerana manusia itu secara fitrah mahu dikenali. Saya sengaja menggunakan taktik psikologi ini demi menarik perhatian pelajar lain yang masih lagi pasif dan kurang menumpukan perhatian. " Saya Kay Hock Thiam. Abang boleh panggil Kay sahaja". Jawabnya sambil melemparkan senyuman kepada saya.


"Oh, Kay ek..ok,macamni Kay...dalam memimpin. MEMANG KENA ADA MATLAMAT. Abang bagi contoh ibarat kita menaiki sebuah kapal dan kita ingin belayar dilautan. Belayar kena ada matlamat. Maka oleh itu, kita kena letakkan matlamat kita. Contoh, kita menaiki kapal tersebut untuk ke Pulau Kapas. Hendak ke Pulau Kapas itulah yang dinamakan sebagai matlamat. Dengan adanya matlamat, kita akan sampai ke tempat yang ingin dituju. Kalau sebaliknya, maka kapal yang kita naiki tadi akan hanya berlayar tanpa tujuan". Saya memberi contoh dengan kaedah analogi. Analogi ini adalah perumpamaan yang kita berikan demi memahamkan pendegar tentang apa yang kita maksudkan.

"Soalan kedua kamu tadi, abang nak jawab dengan mengaitkannya dengan cerita sang Kancil. Kamu semua pernah dengar cerita Sang Kancil kan?". Tanya saya untuk mendapatkan kepastian. "Pernah..." Semua menjawab dengan serentak. "Cerita sang Kancil dengan sang buaya ke abang?" Kay terus mendominasi interaksi kami dalam program tersebut. "Yup! cerita itulah yang abang maksudkan..." Saya kemudian terus menceritakan kisah teladan yang penuh hikmah ini. Hikmahnya memang banyak terutama buat manusia yang ingin mencapai kejayaan dalam hidupnya. Kisah yang sesuai untuk orang yang ada matlamat dan ingin mencapai matlamatnya itu.

Saya lalu bercerita.."Sang Kancil ini tubuhnya kecil sahaja...tetapi otaknya memang pintar. Satu hari, Sang Kancil berasa sangat lapar. Sejak pagi tadi, Sang Kancil belum mendapat sebarang makanan. Ia pun membuat keputusan untuk meminum air di tebing sungai. Sambil berjalan, matanya terus mencari-cari. Tiba-tiba, Sang Kancil ternampak sepohon jambu air yang berbuah lebat di seberang sungai".

Saya kemudian meneruskan cerita dengan meyampaikannya dalam bentuk dialog kerana cerita saya ini melibatkan dua karektor iaitu Sang Kancil dan Sang Buaya.

Sang Kancil: Wah, merahnya buah jambu air itu! Tentu sedap rasanya tetapi...
bagaimanakah aku dapat ke sana ? (bertanya sendiri)
Sang Kancil pun turun ke tebing sambil berfikir tentang buah jambu air
itu.

Sedang Sang Kancil meneguk air, tiba-tiba air sungai berkocak dan ia terasa
kakinya disambar sesuatu. Sang Kancil terkejut tetapi ia tidak menunjukkannya kerana ingin memperdayakan buaya itu.

Sang Kancil: (tenang) Hai Sang Buaya, tuan hamba telah menyambar ranting kayu bukan
kaki hamba.

Sang Buaya: (terkejut) Ah, ranting kayu? (mengeluh sambil melepaskan kaki Sang Kancil)

Sang Kancil: Alahai Sang Buaya, nasib baik hamba bertemu tuan hamba. Sebenarnya,
hamba telah diperintahkan oleh Raja Sulaiman agar mengira jumlah kaum
tuan hamba yang tinggal di sungai ini. Pergilah beritahu kepada semua buaya.
Nanti, Raja Sulaiman akan memberikan kurnia.

Sang Buaya: (ragu-ragu) Betulkah begitu Sang Kancil?

Pada mulanya Sang Buaya berasa ragu-ragu tetapi Sang Kancil berjaya meyakinkannya. Tidak lama kemudian, timbulah kesemua buaya yang ada di dalam sungai itu. Sang Kancil meminta buaya-buaya itu berbaris dari tebing sebelah sini hingga tebing sebelah sana.

Tanpa membuang masa, Sang Kancil pun melompat ke atas kepala setiap buaya dan mula mengira sambil menyanyi gembira.

Sang Kancil: Satu dua tiga lekuk,
Jantan betina aku ketuk,
Empat lima enam dan tujuh,
Lapan sembilan dan sepuluh,
Sebelas dua belas dan tiga belas,
Ekor kalian jangan melibas,
Empat belas lima belas enam belas,
Perintah Raja Sulaiman ditunaikan lekas.

Sang Kancil terus mengira sehingga ia sampai ke seberang sungai. Kemudian, Sang Kancil segera melompat ke tebing dan menuju ke pohon jambu air itu.

Sang Kancil: (gembira) Terima kasih wahai Sang Buaya sekalian. Kalian telah menunaikan
perintah Raja Sulaiman. Sekarang, bersurailah.

Sang Kancil berasa gembira. Hajatnya telah tercapai..

"Wah!! pandai sungguh abang bercerita ya?" Puji seorang pelajar. "Abang ni bukanlah pandai bercerita pun, cuma kalau bab nak sembang santai, bolehlah sikit-sikit.." Jawab saya merendah diri walaupun dalam hati sudah riak. Hehe..."em ok...sekarang kamu semua sudah mendengar cerita tadi kan..Jadi abang nak kamu semua bagi respon apakah yang kamu dapati dari cerita tadi".

"Abang, saya nak bagi respon dulu...bagi saya, cerita tadi terlalu banyak moral dan pengajaran yang dapat kita ambil. Antaranya ialah perlu bijak berfikir dan mencari jalan dalam mencapai sesuatu hajat. Macam Sang Kancil yang abang ceritakan tadi, saya tengok bahawa ia bijak memperdayakan sang buaya untuk mencapai hajatnya memakan buah jambu tersebut." Respon seorang pelajar yang agak pendiam sejak saya memulakan ceramah ini. Mungkin dia orang yang suka mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Sampai masa, baru meletup. Huh, macam-macam gaya saya dapat lihat pada diri adik-adik yang saya kelolakan ini. Itu sebab saya tak sabar sangat nak jumpa mereka ini. Bagi saya, setiap manusia yang saya jumpa, akan pasti ada sesuatu yang saya dapat belajar darinya.

"Ok, bagus!! Siapa nama kamu?". "Saya fariha..."Jawabnya ringkas dan dalam nada yang sederhana seolah menampakkan bahawa dirinya seorang yang pemalu. "Bagus atas huraian kamu tadi. Baik, sekarang ada sesiapa lagi yang ingin bagi respon?" Saya membuka peluang untuk peserta memberi lagi respon.

"Saya ahmad Fakrani...saya mahu berikan respon saya. Saya tengok, dalam cerita tadi juga memberi pengjaran kepada kita bahawa bila kita dalam keadaan bahaya dan mengancam nyawa, jangan panik tetapi sebaliknya perlu tenang dan memikirkan satu helah untuk melepaskan diri. Sang Kancil tadi pun tak panik bila kakinya disambar oleh sang buaya bahkan sempat lagi membuat helah dengan mengatakan bahawa itu bukan kakinya tetapi sebatang ranting kayu. Di sini memberi kesedaran kepada saya dalam memimpin organisasi, kita juga perlu tenang dan tidak panik bila dilanda cabaran. Sebaliknya perlu cepat berfikir untuk menukarkan keadaan yang cemas seperti tadi kepada keadaan yang selamat dan terjamin. Di sini saya nampak peranan otak dalam berfikir. Saya nak kaitkan tajuk ceramah abang tadi dengan peranan otak. Bagi saya, untuk mencapai matlamat, kita semua kena berfikir macamana cara atau jalan untuk mencapai matlamat tersebut. Dan dalam berfikir, kena tenang dan tidak panik. Di sini saya nampak peranan otak dan cara kita perlu berfikir. "

Wah, mantap betul budak ini...kata saya dalam hati. Peserta yang saya andaikan ketua pelajar awal-awal tadi ni memang mantap. Bukan sahaja dapat bagi respon yang mantap dan bernas tetapi mampu mengaitkannya dengan tajuk ceramah saya. Saya kemudian bertanyanya untuk mendapatkan kepastian. " Fakrani, apa jawatan kamu dalam organisasi pelajar sekolah ni?" " Saya ketua pengawas abang. Di sekolah ni ketua pengawas akan merangkap sebagai ketua pelajar" Jawabnya teratur melambangkan dirinya seorang yang berkarismatik. Oh, patutlah...betul telahan saya sebelum ini.

"Ok, bagus respon kamu berdua..Baik sekarang abang nak simpulkan apa pengajaran yang kita dapat dan kaitkan daripada cerita tadi dengan tajuk kita ini. Kalau kamu perasan, Sang Kancil tersebut mengidamkan hendak memakan buah jambu di seberang sungai. Maka hendak makan buah jambu itu dinamakan sebagai MATLAMAT. Setelah Sang Kancil tersebut mengenalpasti matlamatnya itu, maka ia mencari jalan untuk mencapai matlamatnya itu. Walaupun ketika sedang berfikir itu, kakinya di sambar buaya, tetapi ia tidak panik. Maka di sini jelas kepada kita bahawa dalam memikirkan cara mencapai metlamat, kita jangan panik tetapi sebaliknya harus tenang sahaja. Di sini juga kita dapati bahawa, dalam hendak mencapai matlamat kita akan diuji dengan pelbagai halangan. Tetapi halangan itu boleh diatasi dengan menggunakan akal yang Allah berikan.. "

Saya menyambung lagi kesimpulan saya..."Selepas itu, bukan setakat ia memperdayakan sang buaya, bahkan berjaya menggunakan buaya itu sebagai alat untuk dirinya sampai ke seberang sana. Maka untuk mencapai matlamat, kita haruslah menggunakan kesemua peluang yang ada disekeliling kita ini. Peluang yang ada haruslah digunakan dengan bijaksana. Ibarat sang kancil yang menggunakan sang buaya untuk sampai ke seberang sana."

Kemudian setelah selesai membuat kesimpulan dari cerita yang saya sampaikan itu, saya kemudian meminta mereka memerhatikan apa kebaikan yang dapat kita ambil dari cerita binatang-binatang lain untuk dijadikan pengajaran buat diri sendiri. Yang hebatnya, ada di kalangan mereka yang mengatakan bahawa selepas ini dia mahu saya menyampaikan ceramah kepimpinan ini dalam versi sang burung pula. Saya bertanyakan kenapa mahu saya berbuat sedemikian? Katanya kalau tengok pada sifat burung, mereka terbang tinggi di udara. Katanya lagi maka kalau hendak memimpin, kita hendaklah juga menjadi seperti sang burung yang melihat kesemuanya dari pandangan atas. Bila melihat dari pandangan atas, segala masalah kita akan dapat lihat. Dan kalau hendak mencapai matlamat pun, boleh juga lihat dari pandangan atas.

Bijak betul budak-budak ni...Saya tersenyum selepas mendengar cadangannya...Dalam hati saya berkata, nampaknya teori sang Kancil aku lepas ni tak laku la...Budak ini memang dah 'menjadi' sang kancil nampaknya. Hai...







MENCAPAI MATLAMAT ; Teori Sang Kancil (Bahagian 1)



Hujung minggu lepas saya dijemput untuk menyampaikan ceramah kepimpinan yang bertajuk 'Cara Mencapai Matlamat' kepada pimpinan pelajar di sebuah sekolah di Seremban. Selepas sahaja mendapat panggilan seorang guru yang bertanggungjawab menguruskan program tersebut, saya terus rasa tidak sabar untuk ke sana. Dalam fikiran, bermacam-macam perkara saya andaikan. Suasana, perjalanan program, dan peserta sendiri. Wah, tidak sabarnya!

"Hello... Assalamualaikum En. Affenddy". Cikgu Azila memberi salam. "Wa'alaikumussalam..siapa ni ya?" Tanya saya hendak mendapatkan kepastian. Maklumlah saya menerima salam melalui panggilan telefon. Sudah tentu saya tidak mengenali siapa yang sedang 'berduaan' dengan saya ketika itu. "Maaf ya En. Affenddy sebab menggangu awal pagi macam ni". Beliau menelefon saya tepat jam 6.30 pagi. "Saya Cikgu Azila, dari Sekolah Menengah Sains Seremban. Saya berhajat nak menjemput En. Affenddy menyampaikan ceramah kepada pimpinan pelajar sekolah kami". Beliau menerangkan dengan lebih lanjut hajatnya itu. Setelah mendengar penerangannya, saya kemudian bertanya "Program ini hanya khusus untuk pemimpin pelajar ke cikgu?" "Ya..." Jawab cikgu Azila ringkas. Kemudian untuk tidak memanjangkan perbualan tersebut, saya meminta cikgu Azila supaya menghantarkan maklumat program tersebut secara lengkap melalui e-mail saya. Kemudian, kami berjanji akan bersuai kenal terlebih dahulu sebelum program tersebut berlangsung.

Selang seminggu selepas itu, saya berangkat ke Seremban bagi tujuan tersebut. Dalam hati ketika itu, saya merasakan sedikit bangga kerana saya diberi peluang untuk bersua muka dengan pelajar sekolah yang pernah memenangi anugerah keputusan peperiksaan cemerlang di peringkat sekolah asrama penuh dalam negeri tersebut. Saya juga merasakan diri saya ketika itu antara yang terbaik kerana diberi peluang ini. Ya, memang peluang ini adalah peluang emas bagi saya. Apa tidaknya, kalau hendak dibandingkan saya dengan penceramah motivasi dan kepimpinan lain, apa sangat la saya ni..Saya tidak sehebat Fadzli Yusof dan Amin Idris . Jauh lagi kalau banding dengan Dr.Hm Tuah dan Dr Fadzliah Kamsah. Mereka itu semua orang hebat-hebat..Saya ini kecil seperti Sang kancil...Tapi inilah yang dikatakan sebagai takdir...

Tepat jam 9.00 pagi, program tersebut berlangsung. Selepas ucapan aluan pengetua sekolah, disusuli pula dengan ucapan Cikgu Azila, individu yang bertanggungjawab membawa saya merasai sebahagian daripada keluarga besar mereka hari itu. Selepas ucapan semangat cikgu Azila itu, maka tibalah giliran saya untuk berceloteh dengan anak muridnya pula. Setelah sahaja nama saya disebut sebagai penceramah untuk program mereka, saya diberikan tepukan yang begitu gemuruh. Segemuruh petir di langit juga rasanya. Saya dah mula nak mencipta 'dunia awangan' sendiri ketika itu...Bukan nak riak! Tapi ini adalah cara untuk menghilangkan gentar dan gugup sebelum memulakan ucapan. Kaedah ini saya pelajari daripada Abang Termizi ketika mengikutinya suatu ketika ke salah satu perogram motivasi sekolah. Katanya, ini adalah langkah persediaan daripada sudut dalaman dan perasaan...

KITA PEMIMPIN! KITA BOLEH! KITA ADALAH KITA! Saya memulakan ceramah saya dengan mengajak mereka semua untuk sama-sama melaungkan kata-kata tersebut. Mereka pun terus melaungkan sepenuh hati. Wah, kuat sungguh suara budak-budak ni..Kalah saya dibuatnya. Saya teruja...seolah-olah saya dicucuk semangat dek keazaman tinggi dan aura kepunyaan budak-budak ini. Kalau Son Goku ada aura kuning, budak-budak ni pula ada aura biru muda..Ada apa dengan aura biru muda ni ya? Seingat saya, macam dah pernah nampak di Permatang Pauh..Ah..pedulikan lah yang tu dulu...

Saya pun memulakan ceramah saya dengan menyebut kronologi isi penyampaian ceramah saya secara tidak langsung. Saya sampaikan dalam bentuk pertanyaan. Ini sebahagian teknik memulakan ceramah. Saya bertanya, siapakah kita? Apa yang membezakan kita dengan makhluk lain? Apa tanggungjawab kita? Saya terus melanjutkan kata-kata saya. Kita hidup di dunia ini mesti ada matlamat. Maka, soalan saya yang terakhir ialah apakah kita telah merancang matlamat hidup dan mencapai matlamat tersebut? Saya ajukan beberapa soalan yang saya kira bersifat ringan dan agak mudah untuk difahami...Kekadang saya ni tak dapat nak rendahkan pemikiran saya mengikut tahap kemampuan pendengar. Itu sebab saya kena berhati-hati sedikit pada tahap awal untuk teknik berceramah seperti ini.

Bagi menarik minat peserta, saya meminta agar peserta menjawab dalam intonasi ucapan yang pelbagai. Ada yang macam pemidato, ada yang macam penyair dan ada yang macam pemberita. Tergelak saya tengok reaksi mereka. Walaupun diminta untuk menjawab dengan spontan tetapi jelas mereka adalah jenis yang cepat berfikir dan kreatif. Semua jawapan dijawab dalam versi yang pelbagai mengikut kategori yang telah saya tetapkan. Sengaja saya buat sebegitu kerana saya mahu menerapkan kepelbagaian kemahiran kepada mereka. Di depan saya adalah orang hebat, pelajar cemerlang dan yang penting, mereka ini semua pemimpin. Saya tidak boleh lupakan semua itu...saya kena pastikan setiap kata-kata dan tindakan saya boleh memberi sesuatu yang baru kepada mereka. Kerana mereka semua ini pemimpin....

Setelah kesemua soalan saya dijawab, saya teruskan dengan teknik kedua iaitu teknik huraian isi ceramah. Saya menghuraikan satu persatu apa yang saya persoalkan sebentar tadi. Kata saya "Kita adalah MANUSIA...Ya, kitalah yang dipanggil manusia. Jadi, bila kita manusia, sudah tentu kita ni berbeza dengan yang lain. Umpama malam berbeza dengan siang, matahari dengan bulan, tinggi dengan rendah dan 'hijau' dengan 'biru'. Ops, terlepas cakap..Maka, jelaslah kita berbeza dengan makhluk lain seperti haiwan dan tumbhan. Beza kita adalah ada AKAL." "Bukankah haiwan juga ada akal abang?" Celah salah seorang peserta perempuan...Saya senyum sendirian tanda bangga kerana walaupun nampak beliau keliru, tetapi BERANI BERTANYA adalah sifat pemimpin yang saya mahukan. "Tak...haiwan ada otak je..tak ada akal. Otak ni kita pun ada. Tapi yang membezakan kita dengan mereka adalah akal. Terangku untuk menambahkan kefahaman mereka. "Jadi sebab akal la kita ni berbeza dengan mereka abang?" Bertanya pula pelajar yang duduk bersebelahan dengan pelajar perempuan yang mencelah tadi. "Ya, tepat sekali!" Jawabku ringkas. Puas hati rasanya kerana mereka ini cepat memahami. Patutlah boleh jadi pimpinan sekolah..

Saya terus menyambung "Jadi, bila kita ini ada akal,sudah tentu kita akan diberi sedikit kerja berbanding dengan mereka yang tidak ada akal. Kerja kita adalah MEMIMPIN. Hendak memimpin, mesti pandai berfikir dan menganalisis. Akal ini gunanya untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Nilai baik buruk itulah dinamakan analisis. Sebab itu, haiwan dan tumbuhan tidak diberi kerja ini." Saya berhenti sekejap menelan air liur. Nampak adik-adik peserta menanggukkan kepala menandakan mereka faham. Itu telahan saya. Kalau nak kata mengantuk, pagi lagi..Lagipun baru je saya mulakan ceramah. Ha, mesti tak ada orang tidur punya masa saya berceramah. Saya kembali 'mengawankan' diri saya semula....

" Bila memimpin, mesti ada MATLAMAT'. Saya meneruskan isi yang terakhir dan inilah isi yang diminta oleh cikgu Azila semasa menghubungi saya minggu lepas. "Abang, boleh tak terangkan maksud matlamat itu?". Tanya seorang peserta yang memakai pakaian lain sedikit dari yang lain. Gayanya kemas, percakapannya ada tarikan. Tak keterlaluan untuk saya katakan beliau adalah seorang yang karismatik. Mungkin dia adalah ketua pelajar. Itu telahan saya kerana tengok pada gayanya, nyata dia amat berlainan sekali. "Matlamat itu adalah cita-cita. Ia juga adalah satu impian yang kedepan dan bersifat pendek ataupun panjang". Jawabku pendek. Saya suka menjawab setiap persolan dengan memberi jawapan yang pendek kerana itu akan membuka peluang yang luas untuk para peserta terus bertanya kerana sudah tentu dengan jawpan yang pendek tidak mampu memberikan kepuasan optimum kepada mereka. Lalu mereka akan bertanya dan terus bertanya....

Bersambung dalam artikel bahagian kedua.......


















BAGAIMANA MENCARI DUIT DENGAN D.U.I.T?












Bila INFINITI berbicara..



Ada orang bertanya saya macamana cara hendak memiliki duit yang banyak. Bunyinya seakan beliau adalah seorang yang materalistik. tetapi bagi saya, beliau adalah orang yang berfikrian jauh dan yang berwawasan tinggi. Bukan saya jenis yang cepat membuat andaian. Tetapi saya melihat pertanyaannya seakan beliau seorang yang mempunyai wawasan yang begitu jauh dan tidak berpenghujung mungkin juga boleh dikatakan sebagai WAWASAN INFINTI.

Jarang di kalangan kita berfikir tentang macamana nak mendapatkan duit. Kalau adapun, mungkin hanya apabila terdesak sahaja. Nak bercakap tentangnya, apatah lagi. Konon takut dikatakan orang kita jenis yang materealsitik dan hanya nampakkan duit sahaja. Sebenarnya, hidup ini tidak dapat dipisahkan dengan cakap orang. Baik ataupun buruk manusia itu, memang tidak terlepas daripada cacian orang. Jadi kalau kita menyedari hakikat 'peel' manusia ini, maka tiada alasan lagi untuk kita maju ke depan melakukan perubahan sejajar impian yang diinginkan.
Cakap soal duit ini, tidak lari daripada perkataan BEKERJA. Samaada kita bekerja dengan kerajaan, swasta ataupun kerja sendiri itu semua adalah satu sistem yang melibatkan pergerakan anggota tubuh badan untuk berkerja. Cuma apabila diajak bercakap soal kerja, maka tidak ada yang paling mulia selain BEKERJA SENDIRI. Dalam konteks 'dunia duit' pada hari ini, ia seringkali meniti dibibir para usahawan sebagai satu BISNES!

Saya sudah membulatkan tekad untuk berbisnes. Memang cakap terlebih senang daripada realiti yang sebenarnya. Kerana apa yang dilalui dalam dunia ini amat mencabar impian setiap orang yang ingin bergelar usahawan. Buat masa sekarang, saya ingin mencapai target untuk menjadi USAHAWAN MUDA yang berjaya. Maka sesuatu impian pasti ada garis panduan dan prinsip yang mesti saya pegang. Setelah dibuat penelitian yang mendalam, maka saya telah mencipta formula mencari duit dengan cara saya sendiri iaitu TEORI PERNIAGAAN D.U.I.T INFINITI

Signifikannya perkataan DUIT itu sendiri adalah sama dengan nama formula bisnes saya ini. Formula ini adalah baik untuk dihayati oleh orang-orang yang ingin baru memulakan perniagaan atau yang sedang berhempas pulas untuk mengembangkan sayapnya dalam dunia perniagaan atau yang ingin kembali semula selepas menemui kegagalan.
Di bawah ini saya senaraikan apa yang dimaksudkan prinsip D.U.I.T INFINITI itu untuk perkongsian bersama :

'D' adalah DISIPLIN. Etika utama dalam bisnes adalah disiplin. Pakaian, masa, kertampilan, komunikasi dan perhubungan semuanya berkait dengan soal disiplin. Kalau kita ingin dipercayai, maka 'wajah'kanlah diri kita dengan sifat ini. Dalam artikel sebelum ini, saya pernah menceritakan bahawa mcamana saya pernah diajar berdispilin oleh ayahanda saya sendiri. Anggota polis sangat menjaga disiplin pemakaiannya. Seorang doktor sangat berdisipiln dengan masa yang ada padanya. Begitu juga orang politik yang sangat menjaga adab pertuturannya. Semua ini adalah berkaitan dengan displin. Jadi, seorang yang mahu bergelar usahawan seharusnya lebih lagi menjaga dispilinnya.

'U' adalah USAHA. Seringkali kita mendengar ungkapan-ungkapan keramat bertunjangkan maksud usaha ini. Orang kata, 'Sikit-sikit lama-lama jadi bukit', 'Usaha Tangga Kejayaan' dan macam2 lagi.. Rangkaian ungkapan yang cukup memotivasikan diri. Ungkapan ini bermesejkan sifat berusaha dan bersungguh-sungguh. Dalam bisnes, tiada yang datang bergolek seperti dihamparkan permaidani kuning kepada seorang Raja. Semuanya harus memanjat tangga usaha dan melalui jalan yang berliku. Ibarat melontar bola ke dinding, bola itu akan kembali kepada kita semula. Orang yang berusaha akan mendapat apa yang diusahakannya itu....

'I' adalah IMAN. Iman inilah yang menentukan manusia itu jujur ataupun tidak. Ramai orang yang berbisnes, tetapi mereka tidak meletakkan iman sebagai tunjang dalam perniagaannya. Kalau ada peluang untuk menindas, maka peluang itu tidak akan dilepaskan. Inilah kelemahan orang Islam kita walhal kita mempunyai contoh yang terbaik iaitu baginda Nabi Muhammad S.A.W sendiri sebagai contoh terbaik buat usahawan diluar sana. Kejujuran dan keramahan dalam berniaga, punca barangan niaga baginda cepat habis dan terjual. Hebatnya Nabi dalam berniaga adalah keimanan banginda yang tinggi kepada Allah. Segalanya dilakukan kerana Allah..Iman mengawal segala-galanya. Kita menipu, maka suatu hari nanti terimalah balasan dari Allah. Allah itu Maha Adil dan Maha Mengetahui!

'T' adalah TERKEDEPAN. Dalam berniaga, kita perlu sentiasa ke depan berbanding orang lain. Dalam kata lain, kita bersaing dengan usahawan lain untuk mendahului dari segenap aspek dalam perniagaan. Aspek penciptaan produk, mobilasi pekerja, strategi pemasaran dan mewujudkan hubungan baik dengan usahawan lain adalah perkara yang perlu para usahawan letakkannya di depan berbanding dengan orang lain. Dalam bisnes, kena ada persaingan. Tetapi beringat, persaingan itu haruslah persaingan positif. Dengan bersaing, kita semacam dipaksa untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan kita.

BUAT YANG SEDANG BERKECIMPUNG DEGAN DUNIA BISNES, SELAMAT MENCUBA TEORI INI...MOGA ANDA SEKALIAN MENJADI APA YANG INGIN ANDA MAHUKAN,,,

Salam BISNES dari saya, Mr. Infiniti:-)







BERMULA DARI SEKARANG













Bila INFINITI berbicara..

Semalam saya tidur awal. Selepas berbuka dan solat maghrib, saya terus merebahkan badan. Akibat terlalau keletihan, saya terpaksa mengorbankan solat terawih secara berjamaah seperti kebiasaan. Kebetulan pula semalam bukan giliran saya menjadi imam, lalu terus saya memilih untuk tidur sekejap dan bercadang untuk bangun mengulangkaji pelajaran kerana esoknya saya ada ujian pertengahan semester.

Bangkit dari tidur, saya terus mencapai kuih akok Pasir Mas yang Mahmud beli. Kebetulan dia baru sahaja tiba dari Kelantan setelah 3 hari pulang bercuti. Selepas makan, sahabat lama saya Amin yang suatu ketika dahulu pernah bersama saya join Raja Prepaid datang ke rumah kerana ada urusan dengan Alias, rakan serumah. Mereka bincang tentang pelaburan. Terdetik dalam hati saya ketika itu bahawa Amin bukan calan-calang orangnya lagi. Tentu dia sekarang telah 'berduit'. Kalau tidak, masakan dia boleh bercakap tentang soal pelaburan. Dengar kata lagi, beliau siap jadi agen lagi. Wah, tidak boleh jadi ni...saya terkesima...

Amin sekarang boleh saya katakan telah menuju ke arah cita-citanya mahu menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Saya juga begitu. Sememangnya kami berkongsi minat yang sama iaitu ingin muncul sebagai usahawan yang berjaya. Semua ini saya lakukan demi Islam dan masa depannya. Saya teringat kata2 bahawa tegaknya agama dengan 4 perkara. Pertama, pemurahnya orang kaya. Kedua, adilnya penguasa. Ketiga, ilmu para ulama' dan terakhir adalah doa para fuqara'. Saya ingin memilih untuk menyumbangkan kepada agama melalui sumbangan kewangan buat mengukuhkan ekonomi Islam. Saya perlu bermula dari sekarang....

Saya rasa kagum dengan Amin. Beliau sekarang sudah boleh mengira-ngira pendapatan yang bakal diperolehinya dalam masa terdekat ini iaitu RM15,000.00 sebulan. Wow!! Memang lumayan! Umurnya seusia saya. Pemuda yang umurnya 24 tahun ini tidak lagi memandang ke belakang bahkan terus memecut laju mengejar impiannya. Siapa sangka beliau sekarang bakal menjadi salah seorang pembekal itik di negeri Kelantan. Bermula dengan modal RM26,000.00 beliau sekarang mempunyai 2,000 ekor itik yang bakal dipasarkan di seluruh Kelantan. Perniagaan ini memang memenuhi kehendak pasaran semasa. Itik bukan sahaja dapat di makan dagingnya, bahkan telornya yang boleh dibuat telor masin juga mampu memberikan pendapatan yang lumayan. Begitu juga dengan bulunya. Boleh dikatakan bidang penternakan itik ini mempunyai nilaian dan hasil 3 dalam 1.

Yang pasti, saya akan menjejaki langkah Amin. Tetapi bukan dalam bidang penternakan itik. Kalau Amin telah memilih untuk berkecimpung dalam bidang penternakan, saya pula mahu terjun dalam bidang perniagaan. Saya mengimpikan suatu hari nanti saya mempunyai sebuah syarikat yang boleh diambil manfaat oleh orang ramai bertunjangkan prinsip2 Islam yang syumul. Saya amat tertarik dengan perniagaan MLM HPA yang diterajui oleh Hj Ismail. Beliau sekarang menuju kemuncak dalam perniagaannya. Segalanya bermula daripada bawah. Kejayaannya sekarang bukan usaha yang dilakukan hanya kelmarin, minggu lepas atau bulan lepas. Tetapi beliau telah mengambil masa yang lama dan sudah beberapa kali jatuh bangun sebelum beliau berdiri segagah sekarang.

Saya perlu tahu ke mana hala tuju saya. 10 tahun lagi saya di mana?20 tahun lagi?30 tahun lagi? Semuanya perlu saya corakkan strateginya bermula dari sekarang. Kata orang, kalau anda mahu menjadi ushawan, maka berkawanlah dengan para usahawan. Ambil ilmu mereka dan pelajarilah selok belok dunia yang mencabar ini. Timbalah seberapa banyak pengalaman yang mereka telah tempuhi kerana ini semua penting buat diri saya dan anda yang mahu terjun ke bidang ini. Apa sahaja yang kita mahukan semuanya adalah berpaksikan kepada satu sifir sahaja. Sifirnya adalah 'semuanya bermula daripada sekarang'....

Kepada Amin, moga anda terus berjaya mengejar impian anda....

p/s:

1- Sebelum menulis artikel ini, saya sempat meminta keizinan daripada saudara amin untuk menulis berkaitan dengan kerjayanya sekarang. Pesan beliau, bagi sesiapa yang hendak menghubunginya bolehlah hubungi di nombor 017-6852493

2-Kepada para pembaca yang ingin melawati laman niaga penulis boleh klik di laman nafhanenterprise.blogspot.com


BERTUAHNYA KITA DIHADIAHKAN RAMADHAN










Bila INFINITI berbica
ra...


Semalam saya menjadi imam di surau perumahan blok 21 Pantai Dalam. Bulan Ramadhan ini saya ditugaskan untuk menjadi imam di surau tersebut. Bersama saya, ada tiga orang lagi yang turut ditugaskan menjadi imam terawih di situ. Ikut hati, berat juga untuk saya menerima tawaran tersebut. Apa tidaknya, sebelum Ramadhan lagi saya sudah merancang untuk solat terawih di masjid-masjid yang berlainan. Bagi saya, selain mendapat pengalaman baru kita juga dapat menambahkan lagi kenalan saudara seislam kita. Kehidupan yang ditempuhi seharian tidak bermakna jika kita tidak berjaya menambahkan jumlah kenalan. Inilah nasihat guru saya semasa menuntut di sekolah menengah 5 tahun yang lepas.

Kita orang Islam memang sangat beruntung kerana Allah menganugerahkan kita bulan yang tersangat mulia ini. " Mud, beruntung kita kerana dipilih menjadi orang Islam...", Kata-kata yang saya lafazkan kepada seorang rakan serumah, Mahmud. Sambung saya lagi " Kalau kita ni bukan Islam, kita belum tentu dapat memiliki bulan yang penuh berkat ini". " Mahmud lalu mengiakan kata-kata saya tadi..."Ya, kalau lah kita ini bukan Islam, kita tak kan jumpa dengan Ramadhan seperti ini". Ya, memang Ramadhan HANYA untuk umat yang bertuah sahaja. Umat bertuah itu adalah umat Islam...Umat Nabi Muhammad S.A.W...Umat yang paling mulia!

Saya memang rasa sangat betuah. Hati saya sangat memerlukan bulan ini. Diri saya mendambakan bulan ini. Saya RINDU kepada bulan yang bernama Ramadhan ini. Ramadhan membuatkan saya menginsafi diri yang dicalit kehitaman di hati penuh dosa ini. Saya menyedari iman ini turun naik. Saya amat bimbang jika mati saya di kala iman saya turun. Saya minta jauh-jauh Allah meletakkan saya dalam keadaan itu. Allah ini sangat sayangkan hambanya, maka Allah sediakan dalam setahun itu, satu bulan untuk dijadikan 'bengkel' membaiki hati-hati yang lalai seperti saya ini. Saya mula mengerti semua ini...

"Muslimin muslimat yang dirahmati.." Saya mula berceramah selepas 4 rakaat pertama solat terawih semalam. " Kita patut rasa bersyukur kerana perjuangan Nabi kita Muhammad S.A.W lah, kita kenal Islam". Saya membuka ceramah dengan mengajak hadirin yang hadir untuk rasa berterima kasih baginda. Kalaulah Nabi kita tidak berjuang membawa Islam, maka apakah jaminan untuk kita mengatakan kita ini akan menjadi orang Islam? Itulah persoalan yang saya kemukakan kepada diri saya dan hadirin yang hadir semalam. Sebenarnya kita ini berhutang dengan baginda Nabi Muhammad S.A.W junjungan kita. Kita berhutang harga nilaian perjuangan perit baginda Nabi untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Ya, kita telah berhutang dan adakah kita telah membayar hutang-hutang tersebut?


Bulan Ramadhan ini adalah bulan terbaik untuk kita membayar segala hutang kita itu. Bulan yang Allah penjarakan sekalian syaitan dan iblis buat memudahkan kita beribadat kepadaNya dan membuka ruang kepada kita untuk membayar hutang yang sudah lama tertunggak kepada junjungan kita itu. Bulan ini sudah tidak ada lagi musuh manusia yang pernah berjanji di hadapan Allah suatu ketika dahulu. Janjinya adalah satu iaitu untuk menyesatkan sekalian manusia bagi bersama-samanya ke neraka yang penuh azab. Bulan ini kita bertempur dengan hanya satu musuh iaitu nafsu diri yang tidak suka membuat kebaikan.

Maka, marilah kita sama-sama tingkatkan amalan ibadat kita dan perbanyakkanlah selawat kepada baginda kerana inilah harga hutang yang perlu setiap umat Islam membayarnya. Sudah lama kita melupakan junjungan Nabi...Kita ibarat kacang lupakan kulit. Kini, marilah kita menginsafi diri yang penuh daif ini.

Saya mengakhirkan siri ceramah saya semalam dengan mengajak penduduk blok tersebut agar dapat memenuhi surau tersebut sepanjang bulan ini. Kalaupun saya tidak berpeluang untuk menjelajah masjid-masjid yang ada di sekitar Lembah Klang sepanjang bulan ini, saya tidak akan menyesal kerana bagi saya peluang untuk bersama penduduk di blok ini adalah pengalaman yang sangat berharga. Paling tidak, saya sudah dapat memenuhi tuntutan berjiran yang disarankan baginda Nabi S.A.W....

SALAM RAMADHAN buat umat yang BERTUAH!!