TERUJA DAN TERKILAN



Bila INFINITI berbicara..

Saya teruja sekali apabila menyaksikan perlawanan bola sepak Kejohanan Eropah (EURO 2008) pagi semalam. Memang mengejutkan sekali apabila menyaksikan pasukan bukan pilihan Russia yang berjaya menewaskan pasukan pilihan juara iaitu ”The Oranje”, Belanda dengan margin yang cukup besar iaitu 3-1. Memang pada awal saingan Rusia langsung tidak diberi harapan berbanding pasukan-pasukan pilihan lain seperti Belanda, Itali, Sepanyol, Jerman dan Portugal. Ini kerana mereka sebenarnya pasukan hingusan bahkan boleh dikatakan ’budak’ yang baru sahaja hendak belajar cara menyepak bola sepak di era moden ini.

Sebenarnya bukan ini sahaja kejutan yang Rusia lakukan kerana sebelum mereka bertemu dengan Belanda dalam singan suku akhir semalam, mereka terlebih dahulu menewaskan pasukan Sweden dengan jaringan 2-0. Sebenarnya selepas perlawanan tersebut, saya dah mula menaruh harapan dengan skuad pimpinan Guss Hiddink ini kerana pada pemerhatian saya, taktikal dan corak permainan yang ditunjukkan amat bagus sekali kerana mereka bukan sahaja mencorak serangan dengan kemas dan lancar tetapi juga hebat dan kental bila bertahan. Mereka juga menunjukkan penguasaan yang kemas di bahagian tengah yang menyaksikan penguasaan yang total dan cukup sempurna.

Owh..memang mereka adalah yang terbaik. Mereka memang pasukan yang sempurna. Sebenarnya bukan sahaja mereka yang menghasilkan keputusan yang mengejutkan dalam edisi kali ini, tetapi pasukan seperti Turki dan Croatia juga telah mengejutkan pemerhati bola sepak sedunia. Pasukan kerdil seperti mereka ini akhirnya berjaya menewaskan pasukan gergasi dunia seperi Jerman, Republik Chek dan Sweden. Walaupun mereka tidak memiliki pemain bintang dan ternama, tetapi semangat berpasukan yang tinggi dan kesungguhan yang menjadi toknik kepada ’kebangkitan emas’ mereka ini. Mereka membuktikan bahawa semangat berpasukan adalah penting untuk mencapai kejayaan.

Saya tertarik dengan formula yang mereka gunakan ini. Pemain bola kesemuanya 11 orang termasuk dengan penjaga gol. Walaupun pasukan handalan lain mempunyai antara 5-7 pemain handalan dari kesebelasan mereka, tetapi masih lagi mereka kalah dan tewas kepada pasukan yang betul-betul menggunakan kesemuannya kesebelasan pemain yang ada. Inilah bola sepak sebenarnya. Memilki pemain ternama dalam pasukan masih tidak mencukupi jikalau masih tidak mengamalkan corak permainan berpasukan.

Bola sepak cukup menarik untuk ditonton. Walaupun kawan-kawan saya ada yang tidak berminat dengan sukan ini, tetapi saya masih lagi dengan status peminat no-1 sukan ini walaupun bakat saya lebih menyerlah dalam sukan badminton. Memang badminton adalah sukan yang mengangkat keyakinan diri saya sepeti yang ada pada hari ini. Ramai yang tidak mengetahui saya sebenarnya adalah bekas pemain yang mewakili Negeri Kelantan dalam sukan Sekolah-sekolah Agama Malaysia yang ketika itu dilangsungkan di Universiti Utara Malaysia, Sintok Kedah. Tahun berikutnya saya sekali lagi terpilih ke temasya itu yang di adakan pula di Langkawi. Tetapi sekarang dah tak berapa aktif sangat dengan sukan tersebut, itu sebab badan pun dah naik. Kalau ada orang tanya kenapa Nik nampak berisi sedikit, itulah jawapannya. Hehe...

Saya kadang-kadang pelik juga dengan perangai kawan-kawan saya. Antara kawan saya adalah mereka yang aktif dalam persatuan di Universiti bahkan ada mereka yang cukup terkenal di kampus kerana kelantangan bersuara mengkritik dasar universsiti dan kerajaan. Tetapi apabila diajak bercakap tentang sukan, mereka langsung tidak meminati bahkan ada yang memandang sepi aktiviti yang cukup berfaedah ini. Bukan nak dikatakan semua, tetapi tidak dapat dinafikan memang wujud sebilangan daripada mereka ini yang hanya menjadikan mesyuarat sebagai medan ’mengeluarkan’ peluh dalam kehidupan seharian. Mereka ini kawan-kawan saya. Tetapi sayang, mereka tidak mempunyai pandangan seperti saya. Saya yakin, pandangan untuk bersukan ini bukan sahaja daripada saya, bahkan semua orang pasti mengatakan perkara yang sama. Apa tidaknya, ini saja lah cara untuk kita menyihatkan tubuh badan kita. Ramai yang bersetuju jikalau saya mengatakan bahawa otak yang cerdas, akan menghasilkan gerak-geri yang sihat dan cergas. Kerana inilah yang kita belajar semasa di usia kanak-kanak semasa sekolah rendah dahulu. Persoalannya, adakah kita sudah lupa?

Sebenarnya bagi saya, sukan ini penuh dengan falsafahnya yang tersendiri. Dalam bola sepak, saya sentiasa sebut kepada anak-anak buah saya berkenaan kaitannya dengan soal kepimpinan yang saya sampaikannya dalam bentuk analogi yang cukup mudah. Saya cuba untuk lontarkan apa falsafahnya yang wujud dalam permainan yang mempunyai peminat yang teramai sekali di dunia. Falsafah yang saya maksudkan ialah kaitannya dengan aspek kepimpinan. Saya suka mengaitkan penulisan saya dengan aspek ini kerana memang tema asas blog INFINITI ini adalah membicarakan soal kepimpinan.

Begini, dalam bola sepak terdiri daripada gabungan sumber manusia yang mempunyai kepakaran masing-masing dan tersendiri. Bermula dengan aspek pengurusan, perundangan, kejurulatihan dan sehinggalah pemain itu sendiri. Memang bola sepak adalah permainan yang penuh dengan seni yang menghiburkan mata yang memandang. Semua aspek yang saya sebutkan tadi adalah terdiri daripada sumber-sumber manusia. Mereka yang berperanan dalam mencorakkan sesuatu pasukan. Dalam kepimpinan pun, aspek sumber manusia adalah teramat penting. Tidak akan wujud sesuatu organisasi jika organisasi tersebut tdak memiliki sumber manusia yang mencukupi. Ada ketua yang mantap, bukan menjamin kelangsungan organisasi tersebut. Perlu juga mempunyai ahli bawahan yang efektif dan berinisiatif dalam menyahut segala visi, misi dan pembawakan organisasi tersebut.

Dalam bola sepak, ada seorang jurulatih dan penolong serta timbalan penolong jurululatih yang sama-sama mengemudi sesebuah pasukan. Begitu juga persatuan, mereka memiliki Presiden, Timbalan dan Penolong yang telah dilantik dengan suara ramai. Dalam bola sepak, kesebelas pemain mesti berperanan dengan baik di posisi masing-masing. Penyerang tugas mereka adalah merobek kubu pasukan lawan. Pemain tengah adalah berperanan mengawal bola dengan kemas dan mencari peluang untuk dilorongkan kepada barisan penyerang mereka. Pemain yang bermain diposisi pertahanan pula adalah mereka yang memastikan kubu mereka tidak dibolosi oleh pemain pasukan lawan. Semua ini berperanan bagi mewujudkan penguasaan penuh di atas padang. Begitu juga dengan organisasi, setiap orang ada peranan. Masing-masing perlu berperanan barulah wujud team.-work yang bagus.
Dalam bola sepak, matlamat mereka adalah untuk menjaringkan gol. Pasukan yang menjaringkan gol yang lebih banyak adalah pemenang. Dalam kepimpinan organisasi, penguasaan dan pengaruh adalah teramat penting bagi mlaksanakan apa yang telah dirancang. Bola sepak mengajar para pejuang kepimpinan untuk berusaha mendapat penguasaan dan pengaruh. Pasukan yang menguasai permainan dan banyak membuat percubaan, adalah berpeluang untuk menjaringkan gol. Bilamana satu keadaan seorang pemain yang hanya berdepan dengan penjaga gol, dia harus membuat keputusan samada untuk merembat terus atau membuat hantaran kepada kawan bagi mencari ruang yang lebih selesa untuk mendapatkan gol. Begitu juga dalam organisasi, peluang yang didapati mesti diputuskan samada untuk menggunakan sahaja peluang tersebut ataupun membuat keputusan untuk menangguh atau memberi sahaja peluang tersebut kepada orang lain. Ini semua berkaitan dengan soal membuat pilihan dan melakukan keputusan. Kedua aspek ini teramat penting dalam asas kepimpinan. Bola sepak mengajar kita pentingnya untuk bertindak membuat keputusan.

Dalam bola sepak, seninya juga terletak pada para penyokongnya. Pemain tidak dapat bermain dengan bagus sekiranya tidak ada penyokong atau orang untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Penyokong menaikkan semangat juang pemain. Penyokong berdiri teguh di belakng pemain. Inilah ciri-ciri penyokong yang baik. Dalam organisasi, perlu pada penyokong atau puak yang mendokong perjuangan mereka. Pnyokong yang ramai melambangkan pengaruh dan kredibiliti sesebuah organisasi. Tanpa penyokong, maka pincanglah langkah organisasi tersebut. Dalam bola sepak, penyokong adalah ’pemain’ yang ke-12 dalam pasukan.

Sebenarnya banyak lagi falsafah seni bola ini yang boleh dikaitkan dengan aspek kepimpinan. Bergantung kepada persepsi masing-masing untuk membuat analisa dan pemerhatian terhadap kedua-duanya. Tetapi yang pasti, hanya mereka yang meminati permainan ini sahajlah yang akan menemui keunikan falsafah disebaliknya. Begitu juga dengan permainan lain, saya yakin terdapat juga falsafahnya yang begitu menarik untuk dikaji. Semua ini kita lakukan demi mencari strategi dan pengajaran disebalik permainan-permainan yang ada ini bagi dipraktikkan dalam organisasi. Amat malang bagi mereka yang melaung-laungkan perjuangan dan kebangkitan, tetapi langsung tidak menitiskan peluh dengan salah satu permainan yang ada. Mereka lebih suka menitiskan peluh kerana lama bermesyuarat dan berprogram formal, tetapi lupa dengan gaya hidup sihat ini.

Saya bukanlah orang yang aktif bersukan seperti suatu ketika dahulu. Tetapi ada juga ruang untuk saya luangkan untuk aktiviti ini. Paling tak pun, saya berjogging di Tasik Taman Jaya. Suasana pagi atau petang di sana memang mencetuskan pemikiran yang cergas. Indah melihat orang ramai juga turut sama merenggangkan otot-otot badan mereka. Semuanya dilakukan demi kesihatan yang berkekalan. Cukup untuk melakukan senaman ringan tetapi biarlah ia berterusan dan bukan hangat-hangat tahi ayam. Kalau ada yang nak buat secara formal seperti perlawanan pun, tidak mengapa. Di sana akan tercetus pengaliran daya elektrik’ yang menghubungkan silaturrahim sepeti lintas pintas yang begitu cepat tindakkan dan kesannya.

Hadith Nabi S.A.W pernah menyebut, ”akal yang sihat akan menghasilkan tubuh badan yang sihat”, Juga dalam hadith lain Nabi S. A.W bersabda ” ajarlah anak kamu untuk berenang, menunggang kuda dan memanah”. Ini membuktikan bahawa dalam soal membicarakan perjuangan sekalipun, bersukan bukan satu perkara yang harus diambil mudah. Apa guna berjuang, kalau dengan menjadi seperti sepohon kayu tunggul dan reput. Tunggu masa, maka tumbanglah ia sebelum sempat menghasilkan buah untuk dimakan bersama...

PAGI-PAGI YANG BERLALU

Bila INFINITI berbicara..


Hari ini selepas solat subuh, saya mengambil naskah al-quran untuk membaca dan dan mentadbur isinya. Kebetulan hati saya tergerak untuk membuka surah ad-dhuha. Surah yang diturunkan di Mekah yang mngandungi 11 ayat ini memperlihatkan bahawa Allah S.W.T bersumpah dengan waktu dhuha di awal surahnya. Setelah beberapa minit mentadbur isi kalimah kalam Allah ini, saya kemudian berjumpa dengan ayat ke-7 surah ini yang bermaksud “Dan didapatinya engkau miskin, lalu ia memberi kekayaan”.

Penggunaan perkataan engkau di sini ditujukan kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W. Sebab itu, antara intisari surah ini adalah menjelaskan situasi ketika mana baginda mengalami kemiskinan lalu diberi kekayaaan melalui perniagaan sehingga baginda terkenal sebgai ahli perniagaan yang berjaya.( lihat tafsir pimpinan Ar-Rahman).

Cita-cita saya ingin menjadi seorang ahli perniagaan yang terkenal. Saya tertarik dengan ketokohan yang ada pada seorang ahli perniagaan yang menubuhkan Yayasan al-Bukhari. Beliau mensedekahkan hampir 50% hasil perniagaannnya kepada anak-anak yatim dan orang yang memerlukan. Ini lah contoh terbaik yang perlu membuka mata pihak korporat yang lain. Saya juga ingin menjadi sepertinya. Tetapi saya kekurangan satu perkara yang ada pada dirinya dan orang-orang lain yang telah berjaya. Saya suka tidur waktu pagi atau lebih tepat lagi selepas subuh.

Masa cuti semester seperti ini, saya banyak menghabiskan waktu di kampong. Pagi-pagi sebegini, memang saya suka tidur. Entah mengapa tabiat yang dimulakan selepas tamat pengajian di Universiti Malaya, Nilam Puri dulu seakan menjadi satu tabiat hitam yang susah hendak saya tinggalkan. Pernah banyak kali nenek saya membebel dan memarahi saya kerana sering tidur pagi. Lebih menambahkan kemarahannya lagi adalah kerana saya hanya akan bangkit dari tidur selepas tengahari dan kadang-kadang melarat sampai jam 2 petang lebih. Memang sukar dipercayai, saya telah mengorbankan waktu-waktu berharga saya untuk menghirup udara segar di pagi -pagi tersebut.

Nenek selalu mengatakan bahawa orang yang suka tidur pagi akan menjadi papa kedana. Katanya rezeki tak ada. Dulu saya sukar mempercayainya. Sekarang, saya nampak kata-katanya sudah menembusi kewarasan fikiran saya. Saya tefikir dan terus berfikir. Adakah apa yang nenek saya katakan itu ada kaitan denga ayat yang saya bacakan tadi dalam surah ad-dhuha? Saya cuba meleraikan kekusutan yang bermain di fikiran saya ketika itu. Lalu saya memandang ke langit yang ketika itu sudah sedikit menampakkan awanan yang cukup kebiruan.

Oh, saya telah menggadaikan waktu pagi saya sebelum ini. Saya terfikir, macamana saya hendak menggantikan pagi-pagi yang telah saya ‘jual’ kepada nafsu saya sebelum ini? Saya terus memandang langit. Saya teringat kata-kata nenek, waktu pagi waktu turunnya rezeki. Saya mencari apa maksud kata-katanya itu. Kalu waktu pagi, biasanya keluarga saya menyiapkan sarapan untuk keluarga. Saya seringkali tidak sempat menjamah hasil tangan ibu saya. Saya tidak sempat merasai rezeki makanan itu. Saya terlepas menerima rezeki. Semuanya kerana tabiat tidur saya. Adakah ini yang dimaksudkan nenek saya? Saya lantas tertunduk menyesal selepas seakan nampak sedikit kebenarannya.

Kekadang, kawan-kawan lama saya seringkali menziarahi saya di pagi hari. Saya seringkali mengatakan kepada adik-adik saya andainya ada orang datang mencari saya, katakan sahaja saya tidak ada di rumah. Sekali lagi nama saya tidak ada dalam senarai penerima rezeki Allah di pagi itu. Saya tidak berkesempatan untuk menerima rezeki ukhuwah fillah sesama umat Islam. Gara-gara saya tidurlah, peluang untuk menambahkan pahala pagi di pagi tersebut berlalu begitu sahaja.

Rezeki memang tidak memandang kepada orang yang suka tidur di pagi hari. Kerana rezeki mencari orang yang bersyukur di atas nikmat pemberian Ilahi. Nikmat pagi yang Allah berikan, saya telah nodai. Kini pagi-pagi itu telah berlalu pergi meninggalkan saya seorang diri. Sekarang saya cuba kaitkan apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam ayat ke-7 ad-dhuha tadi. Adakah dengan tabiat buruk ini akan menyempitkan sumber rezeki saya? Atau kalaupun saya dapat rezeki tersebut, adakah rezeki tersebut tidak berkat? Semua ini saya fikirkan kerana seringkali duit simpanan saya tidak dapat dikumpul. Kekadang, saya tidak tahu ke mana saya habiskan duit tersebut kerana saya tidak menyedarinya. Saya binggung...

Memang di pagi hari, orang sibuk mencari rezeki bahkan ada yang berlumba-lumba untuk menambahkan pendapatan. Tetapi saya? Apa yang telah saya usahakan untuk merealisasikan impian bergelar ahli perniagaan terkenal nanti? Orang sibuk mengerjakan solat sunat dhuha untuk kberkatan diri dan dimurahkan rezeki. Tetapi saya dengan mimpi yang tlah melayang entah ke mana. Ya Allah...ku telah membaziri nikmatmu.. Air mata perlahan menuruni membasahi pipi saya. Biarlah....biarlah ia turun kerana saya tahu bahawa banyak sekalipun air mata yang keluar, namun ia masih lagi tidak dapat membayar nilaian harga pagi-pagi yang dah berlalu...

Wahai sang pagi, berikanlah aku peluang ini walau sekali. Aku ingin mengecapi nikmat merasi kesejukan pagi dan kelembutan tiupan angina yang mendiginkan..aku ingin sekali menemanimu sehingga hilangnya waktu pagi kerana aku ingin sekali menjadi ahli dhuha yang menjadikan sunat dhuha sebagai amalan di tika itu. Dengarlah rintihan dan harapan ku. Ku teringin melihat temanmu sang mentari naik di timur. Ku ingin mendengar nyayian sang burung yang melagukan bait-bait lagu buat mengindahkan waktumu..aku ingin menjadi salah seorang ahlimu. Kalau lah aku terus ketinggalan menikmati suasana ketika itu, selama itulah aku akan mencari jawapan kepada persoalan “macamana aku hendak mengantikan pagi2 yang dah berlalu..."mana cara aku hendak menggantikan pagi-pagi yang telah berlalu…”

KAITAN IMAM, SOLAT BERJAMAAH, KEPIMPINAN DAN KARISMATIK







Bila INFINITI berbicara..


Semalam semasa hendak solat isyak berjamaah, saya menyuruh seorang adik junior yang menumpang di rumah sewa saya dalam cuti ni naik menjadi imam. Kebetulan masa tu saya demam. Bimbang tak dapat baca ayat Quran dengan baik, maka saya berhajat untuk menolaknya menjadi imam. Sebelum ni pun saya ada menyuruhnya naik. Tapi pelbagai alasan yang diberikannya. Saya sendiri pun tidak tahu perkara apa yang menyebabkannya tidak ingin menjadi imam. Saya pernah jugak meminta beberapa kawan saya yang lain menjadi imam, tapi kebanyakan mereka menolak.

Keadaan ini membuatkan saya terfikir-fikir apa, kenapa dan mengapa mereka tidak mahu menyahut seruan ini. Kadang-kadang terfikir juga adakah kerana mereka malu kerana bacaan ayat al-Quran mereka tidak bagus dan tidak selancar seperti orang lain yang fasih dalam ilmu quran ini? Atau adakah kerana suara mereka tidak semerdu dan selunak qari dan qariah tanahair? Atau mereka merasakan yang mereka bukanlah ‘ahlinya’?

Saya cuba membuang jauh-jauh apa kalaulah alasannya adalah kerana tidak mengingati al-fatihah dan surah-surah yang lain. Tidak boleh dijadikan sebagai alasan dan tidak masuk akal kalau masih lagi tidak ingat surah-surah hafazan yang pendek-pendek sebagai bacaan selepas fatihah. Kalau la ada yang masih lagi tidak pandai membacanya, maka saya mengandaikan bahawa sudah tentu latar belakang keluarganya langsung tidak mengambil berat soal agama seperti ini.

Solat adalah perkara asas yang harus setiap anak adam mempelajarinya. Dalam solat, Islam membenarkan samada kita solat berjamaah atau berseorangan. Hendak melakukan secara berjamaah atau berseorangan itu, menjadi pilihan manusia itu sendiri. Hadith menyebut bahawa solat berjamaah, kita akan mendapat 25/27 pahala berbanding dengan solat bersorangan kita hanya mendapat 1 pahala sahaja.

Memang soal pahala adalah kuasa mutlak Allah SWT. Siapa pun tidak tahu 27 pahala yang disebutkan dalam hadith tersebut itu sama dengan jumlah bilangan 27 yang kita lazimi di atas dunia ini atau tidak. Cuma, jika kita sendiri kalau diandaikan 27 pahala itu sama dengan RM27, maka sudah tentu kita akan cuba sedaya upaya untuk sama-sama solat berjamaah kerana kita pasti menghitung keuntungannya hasil solat berjamaah tersebut. Kalau sekali berjamaah dapat RM27, maka 5 kali sehari semalam sudah tentu kita akan dapat RM135. Seminggu dapat RM945 dan kalau sebulan dapat RM3780. Wah !! memang lumayan pendapatan seperti itu. Tapi sayang, ramai yang tidak mengandaikan pahala itu seperti wang ringgit.

Dalam berjamaah, wajib ada seorang imam. Imam yang akan mengepalai solat yang dilakukan secara berjamaah. Imam menjadi ikutan dan imam mesti berada di hadapan. Dalam soal kepimpinan pun, pemimpin mesti mereka yang boleh dijadikan sebagai ikutan. Bukan memaksa mereka mengikut. Pemimpin bukan mereka yang memaksa anak buah mengikutinya kerana bila ada unsur paksaan atau suruhan, maka itu dinamakan sebagai pemimpin yang dibuat-buat.

Dalam solat berjamaah, tidak ada unsur paksaan mengikut setiap perbuatan imam, bahkan mereka buat kerana mereka tahu bahawa dihadapan mereka itu adalah seorang imam yang menjadi kepala dalam berhubung dengan Allah SWT ketika itu. Begitu juga dengan pemimpin, orang mengikutinya adalah kerana mereka sedar yang bahawa kita adalah pemimpin bagi mereka. Dalam defenisi yang lebih tepat lagi, pemimpin yang sebegini adalah mereka yang mempunyai keistimewaan mempengaruhi orang lain untuk mengikutinya. Dalam istilah akademik, ia dinamakan sebagai kepimpinan karismatik.

Imam dalam solat mereka yang karismatik. Karismatik adalah mereka yang dilihat orang sesuai dan layak menjadi pemimpin samaada dilihat dari aspek ketrampilan diri, personaliti dan gaya percakapannya. Cuba kita perhatikan, kalau kita solat dengan kawan-kawan, pasti ada seseorang yang sering kita menyuruhnya menjadi imam. Kenapakah kita sering menyuruhnya? Kenapa tidak pada kawan-kawan lain? Ini kerana kita lihat dia seorang yang karismatik dalam soal pemilihan imam. Kita percaya padanya dan kita suka bila dia menjadi imam solat kita.

Bermaksud, menjadi imam juga maknanya kita mempunyai cirri-ciri sebagai pemimpin. Pemimpin bagi keluarga, masyarakat, sector pekerjaan, negara, dan umat manusia umumnya. Paling penting, kita berbakti pada diri sendiri kerana mampu menjadi pemimpin kepada diri sendiri. Paling tak pun, orang lain dapat menjadi pemimpin kerana lihat mcamana kita pimpin diri kita sendiri. Dengan sendiri kita telah mengajarnya erti kepimpinan secara tak langsung padanya.

Begitulah pentingnya melatih diri menjadi imam dalam solat. Kalau kita gementar, maka gementar itulah yang kita nak baiki. Kalau kita terus gementar bilamana menjadi imam, maka apabila kita diminta bercakap di hadapan, kita juga akan gementar. Labih malang lagi, apabila kita disuruh mempengerusikan sesuatu mesyuarat. Perkara susah jangan difikirkan susah. Otak akan mengahantar isyarat tentang apa yang kita fikirkan dan rasakan. Isyarat itu akan diterjemahkan kepada perlakuan. Perlakuan ini lah yang dilhat kita sebgai kelemahan pada diri sendiri. Sebab itu saya tertarik dengan lirik lagu patriotic yang sedkiti sahaja saya ingin lampirkan di sini iaitu “…….kalau kita fikirkan boleh, kita boleh melakukan. Kalau kita fikirkan kelemahan, kita hampiri kegagalan..”. lagu ini adalah lagu semangat. Maka, ayuh kita semua mesti bersemangat. Bagi yang masih laGI TAKUT MENJADI IMAM, JINAK-JINAKKANLAH DIRI ANDA MENJADI PEMIMPIN BARISAN SOLAT YANG MNYEMBAH ALLAH SWT…

Kalau anda masih lagi takut menjadi Imam, maka anda bukan lagi pemimpin!!



IMPIANKU...

Bila INFINITI berbicara..

Bila kawan-kawan asyik bertanya tentang apa yang saya buat pada masa cuti ini, maka terdetik dalam hati jiwang saya untuk menceritakan aktiviti yang saya habiskan pada masa cuti semester ini. Saya bukanlah mahasiswa yang dah menamatkan pengajian seperti kebanyakan kawan-kawan yang lain, tapi saya masih lagi bergelar mahasiswa yang hanya akan menamatkan pengajian pada bulan 4 tahun hadapan. Maklumlah, golongan bakal guru macam saya ni kenalah lama sikit belajar. Selepas ni nak didik anak-anak murid pulak. Jadi biarlah kawan-kawan saya yang lain tu mengahabiskan kehidupan mereka sebagai mahasiswa. Yang pasti, saya akan terus setia bersama gedung ilmu Universiti Malaya tercinta..

Bilamana tibanya cuti semester seperti ini, maka saya akan terus pulang ke kelantan untuk membantu abah saya berniaga. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa selain bergelar pendidik, abah saya juga seorang usahawan yang agak terkenal di pasar borong Wakaf Cekyeh. Nama pasar borong tersebut memang terkenal di Kelantan bahkan di Malaysia. Begitu juga dengan seorang salah seorang penjualnya. Sebut sahaja nama Cikgu Mat Rock, pasti semua mengenali. Begitu hebatnya beliau mencipta pengaruh di tempat yang menjadi tumpuan ramai pembeli barangan murah seperti di Pasar Borong Wakaf Cekyeh ini. Kadang-kadang ada juga orang yang menggelarkan abah saya sebagai 'Ustaz Rock' . Sememangnya beliau adalah seorang ustaz di sekolah Menengah Melor di Kelantan. Gelaran 'rock' pula diberi kerana penampilan beliau yang seakan-akan sedikit rock. Berseluar jean dan memakai kereta spot. Tetapi di sekolah, beliau bukan orang yang sebegitu. Saya pun kadang-kadang pelik, boleh sahaja beliau menyesuaikan diri dengan keadaan yang berbeza walhal ramai orang yang tak mampu berbuat sedemikian. Maksud saya ialah tak ramai yang mampu mengubah dirinya mengikut keadaan di mana dia berada. Ramai yang suka menjadikan dirinya statik dan jarang yang akan menjadi dirinya fleksbaliti.

Di sebalik penampilannya yang sedikit rock tersebut, sebenarnya beliau adalah orang yang cukup berdisiplin terutama dengan masa, pemakaian dan ketrampilan diri. Saya amat menggagumi disiplin diri yang ditunjukkannnya. Setiap kali ingin bersamanya berniaga, pasti saya akan menepati waktu dan berpakaian kemas. Mungkin ramai yang terkejut jika saya katakan bahawa semasa berniaga, baju yang dipakai mestilah dimasukkan ke dalam seluar seakan-akan orang yang hendak ke pejabat.hehe..rambut mesti kemas dan terurus. Baju yang dipilih pula mestilah yang berkolar. Kalau pakai yang tidak berkolar, siaplah saya. Masa pula mesti tepat atau awal dari yang ditetapkan. Pernah saya terserempak dengan kawan saya semasa belajar di sekolah menegah dahulu. Dia terkejut kerana saya seakan-akan nak ke pejabat walhal saya masa tu adalah seorang peniaga. Tetapi itulah, saya diajara berpakaian kemas semasa berniaga dan dengan susunan disiplin seperti itulah saya terbawa-bawa ke dalam kehidupan saya ke mana saja saya pergi.

Dulu semasa masih lagi bersekolah, saya dan adik saya Kamal seringkali bertanya di dalam hati, kenapalah abah membuat peraturan sebegini. Kadang-kadang tertekan jugak dengan peraturan tersebut. Tetapi oleh kerana beliau adalah seorang yang garang dan tegas, maka saya hanya menuruti segala peraturannya. Dalam psikolgi pendidikan, kawalan yang abah saya tunjukkan ini adalah jenis kepimpinan aotokratik. Kebenaran hanya datang darinya dan anak-anak tidak dibenarkan meluahkan pendapat. huhu..Pernah satu masa semasa saya membantunya berniaga selepas tamat peperiksaan SPM dahulu, saya hampir-hampir kemalangan. Ini kerana gara-gara hendak mengejar waktu bimbang terlewat sampai ke tapak pasar malam. Tetapi seingat saya, ia berpunca daripada diri saya juga kerana saya tidak bertolak awal daripada rumah seperti yang diberitahunya sebelum itu. Maka kerana bimbang dimarahinya ,saya memandu kereta dengan kelajuan 140 km/sejam. Fuh, mcama pemandu Formula One pula saya masa tu.hehe..saya berbuat sedemikian kerana bimbang terlewat sampai. Selepas kejadian tu, saya tidak lagi berlengah dengan masa kerana betul lah kata pepatah arab.."masa itu ibarat pedang, kalau kita tak memotongnya, maka dia akan memotong kita"

Masa berniaga kena serius. Kalau nak makan, kena makan awal-awal lagi atau makan sahaja selepas habis berniaga. Maksudnya kalau jadual saya berniaga mula lepas maghrib, saya kena makan sebelum maghrib lagi dan kalau tak sempat makan masa tu, saya kena tahan lapar saya makan selepas berniaga. Jawabnya dalam sekitar jam 1 pagi lebih la. Itu sebab perut saya sedikit ke depan. hehe..tapi ini lah displin yang abah saya terapkan dalam berniaga ni. Walaupun agak keterlaluan dan terlampau syadid, tetapi saya menerimanya demi mendisipilinkan diri. Dan kalu ada yang bertanya kenapa saya boleh bertahan lapar walupun duit tak ada untuk membeli makanan, jawapannya adalah kerana saya sudah terbiasa dengan 'tarbiyyah' yang abah saya terapkan.

Begitu juga bila berniaga, saya tak dibenarkan bersembang dengan kenalan yang datang ke gerai. Larangan itu bukanlah bersifat menghalang perhubungan tetapi demi keselamatan barang-barang jualan. Abah saya cukup pantang kalau ada barang jualannya yang hilang. Gerai saya cukup besar dan kalau nak dibandingkan dengan gerai lain di pasar malam tersebut, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa gerai abah lah yang paling besar. Jadi oleh kerana keluasan gerai tersebutlah menuntut saya dan pekerja lain agar lebih peka dengan gelagat pengunjung dan pembeli. Keadaan ini lebih tertekan bilamana tibanya waktu cuti tertentu seperti hari perayaan dan hari cuti sekolah. Memang cuti seperti ini membuatkan pasar malam wakaf cek yeh dikegerumuni oleh pengunjung bukan sahaja dari kelantan bahkan luar kelantan dan jumlah mereka ini cukup ramai sekali. Pernah sekali dalam waktu ramai sebegini lah seutas jam jualan kedai kami hilang. Harga jam tersebut pula ialah rm350. Mengamuklah abah saya. Saya pun takut tengok keadaannnya ketika itu. Tetapi dengan kecekapan dan strategi yang abah saya lakukan, maka pencuri jam tersebut dapat diberkas dan apa lagi siap lah dia dikerjakan oleh abah saya dan kawan-kawannya yang turut berniaga di pasar malam tersebut.

Bagi yang belum ada pengalaman berniaga, saya sarankan agar terlibatlah dengan bidang perniagaan kerana bagi saya banyak manfaatnya yang dapat diambil dari pengalaman ini. Dalam AGM PMKUM yang lepas, saya sebut kepada anak-anak buah saya agar terlibat dengan bidang perniagaan kerana pengalaman tersebut mengajar kita pandai berkomuniaksi dengan orang ramai. Kalau yang berniat untuk menjadi pemimpin, eloklah berjinak-jinak dengan dunia ini terlebih dahulu. Menyoroti sirah perjuangan Nabi SAW sendiri pun, baginda diajar untuk berniaga sebelum baginda menjadi pemimpin yang terulung diatas muka bumi ini. Cabaran, dugaan, keperitan, kesedihan, kegembiraan semuanya diajar dalam perniagaan. Dalam aspek perhubungan sesama manusia pula, kita akan belajar psikologi perangai manusia yang memang kita akaui berlainan ragam dan rupa kerana seribu orang yang kita jumpa maka seribu perangailah yang kita akan hadapi.

Cita-cita besar saya ialah menjadi ahli polotik. Tetapi sebelum itu saya terlebih dahulu ingin mencipta nama dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Saya ingin membina tapak sekukuhnya terlebih dahulu dan barulah dipikirkan untuk terjun ke bidang politik. Harus disedari untuk berbakti kepada msayarakat sebagai alhi poltik bukannya semudah yang disangkakan kebanyakan orang. Saya kekadang tergelak sendirian bilamana mendengar ada beberapa orang kawan saya yang melaung-laungkan cita-citanya untuk terlibat dengan politik tanah air selepas habis belajar. Kekadang saya juga tertanya kepada diri sendiri, dari mana mereka hendak mendapatkan sumber pendapatan yang kukuh untuk terjun ke lapangan tersebut kerana dunia poltik sekarang adalah dunia kita sebagai ahli politik yang akan menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat samada dari bentuk kewangan atau perkhidmatan. Kedua-duanya memerlukan sumber kewangan yang kukuh. Duit bukanlah segala-galanya tetapi dengan duit, kia mampu untuk melakukan segala-galanya..