MENCAPAI MATLAMAT ; Teori Sang Kancil (Bahagian 2)


sambungan daripada bahagian 1...


"Abang, tak boleh ka kalau memimpin tapi tak ada matlamat?". Tanya seorang pelajar Cina yang duduk di hadapan sekali. Kiri kanan dia, semuanya jenis yang berkulit cerah dan mempunyai mata yang sepet sepertinya. 'Sekapal' kot. Hehe...Fikiran saya ketika itu, sempat memikirkan perihal bangsa mereka. Orang Cina ni memang membuatkan saya kagum. Dalam belajar, mereka tak seperti kebanyakan pelajar Melayu. Mereka rajin, selalu duduk di hadapan semasa belajar dan tidak segan bertanyakan soalan. Saya masih ingat lagi sewaktu mengambil kursus Kepimpinan Diri Dan Organisasi di Fakulti Pendidikan semester lepas, pelajar Cina lah yang banyak bertanyakan soalan kepada pensyarah. Orang Melayu, emphhhh...hampeh! Duduk pula belakang-belakang, lepas tu siap main kerja lain lagi. Nampaknya mungkin orang Cina lebih bermatlamat dalam belajar berbanding dengan keturunan kita orang Melayu...


"Satu lagi, kalau kita perlu kepada matlamat, macamana kita hendak mencapai matlamat tersebut abang?". Pelajar Cina tadi terus bertanya. Wah, berderet soalan yang dikemukakan olehnya. Belum sempat saya nak jawab soalan pertama, dah 'disudu' dengan soalan kedua. "Em..bagus soalan kamu ini. Siapa nama kamu?" Tanya saya untuk mengenali pelajar terbabit. Sebenarnya kaedah bertanyakan nama ini adalah untuk menambahkan motivasi pelajar lain. Secara psikologinya, jika seorang guru bertanyakan nama seseorang pelajar, maka pelajar lain akan teruja untuk turut ditanya namanya kerana manusia itu secara fitrah mahu dikenali. Saya sengaja menggunakan taktik psikologi ini demi menarik perhatian pelajar lain yang masih lagi pasif dan kurang menumpukan perhatian. " Saya Kay Hock Thiam. Abang boleh panggil Kay sahaja". Jawabnya sambil melemparkan senyuman kepada saya.


"Oh, Kay ek..ok,macamni Kay...dalam memimpin. MEMANG KENA ADA MATLAMAT. Abang bagi contoh ibarat kita menaiki sebuah kapal dan kita ingin belayar dilautan. Belayar kena ada matlamat. Maka oleh itu, kita kena letakkan matlamat kita. Contoh, kita menaiki kapal tersebut untuk ke Pulau Kapas. Hendak ke Pulau Kapas itulah yang dinamakan sebagai matlamat. Dengan adanya matlamat, kita akan sampai ke tempat yang ingin dituju. Kalau sebaliknya, maka kapal yang kita naiki tadi akan hanya berlayar tanpa tujuan". Saya memberi contoh dengan kaedah analogi. Analogi ini adalah perumpamaan yang kita berikan demi memahamkan pendegar tentang apa yang kita maksudkan.

"Soalan kedua kamu tadi, abang nak jawab dengan mengaitkannya dengan cerita sang Kancil. Kamu semua pernah dengar cerita Sang Kancil kan?". Tanya saya untuk mendapatkan kepastian. "Pernah..." Semua menjawab dengan serentak. "Cerita sang Kancil dengan sang buaya ke abang?" Kay terus mendominasi interaksi kami dalam program tersebut. "Yup! cerita itulah yang abang maksudkan..." Saya kemudian terus menceritakan kisah teladan yang penuh hikmah ini. Hikmahnya memang banyak terutama buat manusia yang ingin mencapai kejayaan dalam hidupnya. Kisah yang sesuai untuk orang yang ada matlamat dan ingin mencapai matlamatnya itu.

Saya lalu bercerita.."Sang Kancil ini tubuhnya kecil sahaja...tetapi otaknya memang pintar. Satu hari, Sang Kancil berasa sangat lapar. Sejak pagi tadi, Sang Kancil belum mendapat sebarang makanan. Ia pun membuat keputusan untuk meminum air di tebing sungai. Sambil berjalan, matanya terus mencari-cari. Tiba-tiba, Sang Kancil ternampak sepohon jambu air yang berbuah lebat di seberang sungai".

Saya kemudian meneruskan cerita dengan meyampaikannya dalam bentuk dialog kerana cerita saya ini melibatkan dua karektor iaitu Sang Kancil dan Sang Buaya.

Sang Kancil: Wah, merahnya buah jambu air itu! Tentu sedap rasanya tetapi...
bagaimanakah aku dapat ke sana ? (bertanya sendiri)
Sang Kancil pun turun ke tebing sambil berfikir tentang buah jambu air
itu.

Sedang Sang Kancil meneguk air, tiba-tiba air sungai berkocak dan ia terasa
kakinya disambar sesuatu. Sang Kancil terkejut tetapi ia tidak menunjukkannya kerana ingin memperdayakan buaya itu.

Sang Kancil: (tenang) Hai Sang Buaya, tuan hamba telah menyambar ranting kayu bukan
kaki hamba.

Sang Buaya: (terkejut) Ah, ranting kayu? (mengeluh sambil melepaskan kaki Sang Kancil)

Sang Kancil: Alahai Sang Buaya, nasib baik hamba bertemu tuan hamba. Sebenarnya,
hamba telah diperintahkan oleh Raja Sulaiman agar mengira jumlah kaum
tuan hamba yang tinggal di sungai ini. Pergilah beritahu kepada semua buaya.
Nanti, Raja Sulaiman akan memberikan kurnia.

Sang Buaya: (ragu-ragu) Betulkah begitu Sang Kancil?

Pada mulanya Sang Buaya berasa ragu-ragu tetapi Sang Kancil berjaya meyakinkannya. Tidak lama kemudian, timbulah kesemua buaya yang ada di dalam sungai itu. Sang Kancil meminta buaya-buaya itu berbaris dari tebing sebelah sini hingga tebing sebelah sana.

Tanpa membuang masa, Sang Kancil pun melompat ke atas kepala setiap buaya dan mula mengira sambil menyanyi gembira.

Sang Kancil: Satu dua tiga lekuk,
Jantan betina aku ketuk,
Empat lima enam dan tujuh,
Lapan sembilan dan sepuluh,
Sebelas dua belas dan tiga belas,
Ekor kalian jangan melibas,
Empat belas lima belas enam belas,
Perintah Raja Sulaiman ditunaikan lekas.

Sang Kancil terus mengira sehingga ia sampai ke seberang sungai. Kemudian, Sang Kancil segera melompat ke tebing dan menuju ke pohon jambu air itu.

Sang Kancil: (gembira) Terima kasih wahai Sang Buaya sekalian. Kalian telah menunaikan
perintah Raja Sulaiman. Sekarang, bersurailah.

Sang Kancil berasa gembira. Hajatnya telah tercapai..

"Wah!! pandai sungguh abang bercerita ya?" Puji seorang pelajar. "Abang ni bukanlah pandai bercerita pun, cuma kalau bab nak sembang santai, bolehlah sikit-sikit.." Jawab saya merendah diri walaupun dalam hati sudah riak. Hehe..."em ok...sekarang kamu semua sudah mendengar cerita tadi kan..Jadi abang nak kamu semua bagi respon apakah yang kamu dapati dari cerita tadi".

"Abang, saya nak bagi respon dulu...bagi saya, cerita tadi terlalu banyak moral dan pengajaran yang dapat kita ambil. Antaranya ialah perlu bijak berfikir dan mencari jalan dalam mencapai sesuatu hajat. Macam Sang Kancil yang abang ceritakan tadi, saya tengok bahawa ia bijak memperdayakan sang buaya untuk mencapai hajatnya memakan buah jambu tersebut." Respon seorang pelajar yang agak pendiam sejak saya memulakan ceramah ini. Mungkin dia orang yang suka mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Sampai masa, baru meletup. Huh, macam-macam gaya saya dapat lihat pada diri adik-adik yang saya kelolakan ini. Itu sebab saya tak sabar sangat nak jumpa mereka ini. Bagi saya, setiap manusia yang saya jumpa, akan pasti ada sesuatu yang saya dapat belajar darinya.

"Ok, bagus!! Siapa nama kamu?". "Saya fariha..."Jawabnya ringkas dan dalam nada yang sederhana seolah menampakkan bahawa dirinya seorang yang pemalu. "Bagus atas huraian kamu tadi. Baik, sekarang ada sesiapa lagi yang ingin bagi respon?" Saya membuka peluang untuk peserta memberi lagi respon.

"Saya ahmad Fakrani...saya mahu berikan respon saya. Saya tengok, dalam cerita tadi juga memberi pengjaran kepada kita bahawa bila kita dalam keadaan bahaya dan mengancam nyawa, jangan panik tetapi sebaliknya perlu tenang dan memikirkan satu helah untuk melepaskan diri. Sang Kancil tadi pun tak panik bila kakinya disambar oleh sang buaya bahkan sempat lagi membuat helah dengan mengatakan bahawa itu bukan kakinya tetapi sebatang ranting kayu. Di sini memberi kesedaran kepada saya dalam memimpin organisasi, kita juga perlu tenang dan tidak panik bila dilanda cabaran. Sebaliknya perlu cepat berfikir untuk menukarkan keadaan yang cemas seperti tadi kepada keadaan yang selamat dan terjamin. Di sini saya nampak peranan otak dalam berfikir. Saya nak kaitkan tajuk ceramah abang tadi dengan peranan otak. Bagi saya, untuk mencapai matlamat, kita semua kena berfikir macamana cara atau jalan untuk mencapai matlamat tersebut. Dan dalam berfikir, kena tenang dan tidak panik. Di sini saya nampak peranan otak dan cara kita perlu berfikir. "

Wah, mantap betul budak ini...kata saya dalam hati. Peserta yang saya andaikan ketua pelajar awal-awal tadi ni memang mantap. Bukan sahaja dapat bagi respon yang mantap dan bernas tetapi mampu mengaitkannya dengan tajuk ceramah saya. Saya kemudian bertanyanya untuk mendapatkan kepastian. " Fakrani, apa jawatan kamu dalam organisasi pelajar sekolah ni?" " Saya ketua pengawas abang. Di sekolah ni ketua pengawas akan merangkap sebagai ketua pelajar" Jawabnya teratur melambangkan dirinya seorang yang berkarismatik. Oh, patutlah...betul telahan saya sebelum ini.

"Ok, bagus respon kamu berdua..Baik sekarang abang nak simpulkan apa pengajaran yang kita dapat dan kaitkan daripada cerita tadi dengan tajuk kita ini. Kalau kamu perasan, Sang Kancil tersebut mengidamkan hendak memakan buah jambu di seberang sungai. Maka hendak makan buah jambu itu dinamakan sebagai MATLAMAT. Setelah Sang Kancil tersebut mengenalpasti matlamatnya itu, maka ia mencari jalan untuk mencapai matlamatnya itu. Walaupun ketika sedang berfikir itu, kakinya di sambar buaya, tetapi ia tidak panik. Maka di sini jelas kepada kita bahawa dalam memikirkan cara mencapai metlamat, kita jangan panik tetapi sebaliknya harus tenang sahaja. Di sini juga kita dapati bahawa, dalam hendak mencapai matlamat kita akan diuji dengan pelbagai halangan. Tetapi halangan itu boleh diatasi dengan menggunakan akal yang Allah berikan.. "

Saya menyambung lagi kesimpulan saya..."Selepas itu, bukan setakat ia memperdayakan sang buaya, bahkan berjaya menggunakan buaya itu sebagai alat untuk dirinya sampai ke seberang sana. Maka untuk mencapai matlamat, kita haruslah menggunakan kesemua peluang yang ada disekeliling kita ini. Peluang yang ada haruslah digunakan dengan bijaksana. Ibarat sang kancil yang menggunakan sang buaya untuk sampai ke seberang sana."

Kemudian setelah selesai membuat kesimpulan dari cerita yang saya sampaikan itu, saya kemudian meminta mereka memerhatikan apa kebaikan yang dapat kita ambil dari cerita binatang-binatang lain untuk dijadikan pengajaran buat diri sendiri. Yang hebatnya, ada di kalangan mereka yang mengatakan bahawa selepas ini dia mahu saya menyampaikan ceramah kepimpinan ini dalam versi sang burung pula. Saya bertanyakan kenapa mahu saya berbuat sedemikian? Katanya kalau tengok pada sifat burung, mereka terbang tinggi di udara. Katanya lagi maka kalau hendak memimpin, kita hendaklah juga menjadi seperti sang burung yang melihat kesemuanya dari pandangan atas. Bila melihat dari pandangan atas, segala masalah kita akan dapat lihat. Dan kalau hendak mencapai matlamat pun, boleh juga lihat dari pandangan atas.

Bijak betul budak-budak ni...Saya tersenyum selepas mendengar cadangannya...Dalam hati saya berkata, nampaknya teori sang Kancil aku lepas ni tak laku la...Budak ini memang dah 'menjadi' sang kancil nampaknya. Hai...







5 Respon Anda?:

Tirana said...

Saya tercari-cari blog ni sebab terlupa untuk masukkan linknya ke blog list saya. Alhamdulillah saudara Nik tinggalkan message di shoutbox saya so dapatlah saya mengikuti kisah sang kancil siri kedua.

Analogy yang saudara Nik buat tentang cerita sang kancil dan mencapai matlamat sungguh bagus sekali. Kadang-kadang melalui analogy, kita lebih mudah memahami apa yang penceramah cuba sampaikan. Teruskan usaha untuk memberi motivasi kepada generasi muda sekarang..Good luck!

Unknown said...

assalamualaikum - saya melintas di blog ni - menarik - amat menarik.simpan atikel ni , saya rasa banyak yg boleh di kongsikan.....bro jinggo

Anonymous said...

SY KAGUM DGN SDR.NIK...SEBENRANYA SY TELAH BANYAK IKUTI PERKEMBGAN ARTIKEL DALAM BLOG SDR..SDR MEMANG HEBAT! BOLEH MENULIS PELBAGAI VERSI DAN TEMA.

CERITA, PENGALAMAN,POLTIK,BISNES,DAN NUKILAN..SEMUA SY RASA ADA KELAS TERSENDIRI..

TERUSKAN USAHA!!SY MENYOKONG DARI BELAKANG..

UPSI

azza_irah said...

salam saudara..
terimna kasih ziarah blog sy..
iya..sy berasal dr kelantan..mengajar di penang..
saudara kelantan juga ya..

Miss Jaz said...

salam perkenalan..satu artikel yang menarik..teruskan usaha saudara.!!