SEBUAH PENGAMPUNAN

Alhamdulillah akhirnya dapat juga suautu hari saya meluangkan sedikit masa dengan seseorang yang saya rahsiakan siapa gerangannya. Memadai dengan hanya saya katakan tujuan perjumpaan kami adalah kerana katanya, ada sesuatu yang hendak dia kongsikan bersama saya. Sebelum turun dari rumah, macam-macam saya fikirkan. Kenapa dia hendak jumpa dengan aku ya? Telah saya dalam hati. Saya terus mencapai kunci motor sambil saya qasadkan seribu keikhlasan dalam hati saya. "Mudah-mudahan ada kebaikan disebaliknya. Amin...." Doa saya sebelum kaki melangkah memasuki lif yang ketika itu sudah terbuka luas menunggu 'pelanggannya' yang setia ini.

"Maaflah lambat sedikit ya" Saya memohon maaf kepadanya dek kelewatan sampai hampir 10 minit lamanya. "Tak pe abang, saya pun baru je sampai ni". Jawabnya ringkas. Wajahnya nampak agak sembab sedikit. Mungkin dia telah 'bertarung' dengan tangisan di sepanjang malam. Telahan saya ada logiknya apabila melihatkan matanya sedikit bengkak dan matanya pun masih lagi kemerahan. Saya terus mengalihkan perhatiannya apabila dia menyedari saya sedang memerhatikan air mukanya ketika itu.

"Bang, order bang!". Jerit saya kepada salah seorang pekerja kedai tempat kami bertemu itu. Saya sengaja memilih kedai makan sebagai tempat pertemuan bagi membolehkan perbincangan berjalan secara santai dan tidak terlalu formal. " Nak minum apa encik?" Tanya pekerja kedai tersebut kepada kami. "Bagi saya sirap limau bang". "Saya pula milo ais ya bang".."Ok,tunggu sekejap ya encik". Jawabnya sambil berlalu seketika meninggalkan kami di salah satu sudut kedai makan tersebut.

"Datang dengan apa ke sini?" Saya sengaja memulakan perbualan kerana melihatkan keadaan ketika itu agak kaku sedikit. " Dari Alor Star datang menaiki bas. Semalam tumpang rumah kawan. Tadi saya tahan teksi datang ke sini". Jawabnya ringkas sambil tangannya mencari sesuatu dalam beg tangannya. Kemudian dia mengeluarkan beberapa keping gambar yang tidak senonoh untuk dilihat. Saya dapati gambar-gambar tersebut kesemuanya adalah membabitkan dirinya. Pada salah satu gambar tersebut seakan dia berada di sebuah kelab malam dan sedang memegang segelas air yang meragukan. "

"Gambar ini Alia tangkap kat mana?" Sebenarnya kami sudah mengenali nama masing-masing melalui perhubungan dengan email sebelum ini. Dan tujuan pertemuan kami adalah kerana dia mahukan saya memberikan nasihat dan semangat kepadanya untuk terus hidup di dunia ini. Berdasarkan kiriman e-mailnya, saya dapat angggarkan bahawa sudah tentu ceritanya nanti mengandungi seribu satu permasalahan yang membebankan dirinya. Saya akan cuba menolong sedaya upaya setakat termampu. Tekad saya dalam hati....

"Maaf abang terpaksa saya tunjukkan gambar ini pada abang. Sebenarnya gambar ini saya ambil semasa berada di dalam salah sebuah kelab malam di ibu kota minggu lepas. Abang, saya telah banyak melakukan dosa. Pada mak ayah, adik beradik dan kawan-kawan saya. Saya telah banyak menipu mereka semua. Saya dah semakin jauh abang...." Nadanya sudah tersekat-sekat menahan sebak sambil titisan air mata sudah mengalir perlahan-lahan menambahkan lagi sembab diwajahnya. Saya agak kekok dengan suasana ketika itu. Maklumlah, berdepan dengan seorang perempuan yang kemudiannya berterus terang dengan masalah yang dihadapinya. Dalam hati saya ketika itu berkata, alangah baiknya kalau saya membawa sama rakan perempuan untuk menemani saya pada pagi itu. Tetapi saya tidak menjangkakan perkara sedemikian ini berlaku...pantas sekali...

"Kalau abang perasan, gelas yang saya pegang itu adalah minuman arak yang sebelum itu sudah 6 gelas saya minum. Abang, masihkah Allah menerima diri saya yang kotor ini? Saya jahat abang..Saya hina...Saya banyak dosa..." Dia meratapi kesalahan-kesalahannya sambil kedua tapak tangannya menutup wajahnya yang semakin sembab akibat tangisan yang semakin laju mengalir ke luar. Saya biarkan dirinya tenang seketika. Saya menarik nafas lega kerana mujurlah saya memilih kedai makan untuk pertemuan kami. Kalau tempat yang formal, saya yakin dirinya akan bertambah emosi dan mungkin akan bertindak di luar kawalan.

"Dik..abang harap Alia tenang ya dik...Jangan ingat lagi apa yang kita lakukan itu..Yang berlalu, biarlah ia pergi meninggalkan kita. Biarlah dunia hitam itu pergi. Kita hidup, mesti pandang ke depan, melihat kehidupan dan impian yang ingin kita capai. Abang yakin, Alia ada impian Alia sendiri kan? Jadi kehidupan ini adalah sebenarnya pengharapan untuk diri Alia. Allah masih sayangkan Alia. Percayalah...Kenapa abang kata begitu? Sebab Allah masih lagi memberi peluang kepada Alia untuk terus hidup...Allah sayangkan hambanya. Termasuk Alia..Allah sayangkan Alia...Allah beri peluang kita bertaubat. Allah itu Maha Pengampun dik...Percayalah kata-kata abang ni..

"Abang, kenapa Allah masih sayangkan Alia sedangkan Alia telah banyak buat dosa abang?" Dia bertanya untuk mendapatkan kepastian sambil tisu dicapainya untuk mengesat air mata yang masih lagi keluar. " Macamni...Allah itu adalah pencipta kita...bukan setakat kita, semua kejadian yang ada di atas dunia ni, Allah yang menciptanya. Allah tahu kelemahan dan kekuatan kita. Allah bagi nafsu untuk menguji keimanan kita. Tetapi Allah juga memberikan akal fikiran untuk berfkir yang mana baik dan mana buruk. Semua itu ujian untuk kita. Tapi tak ramai yang berjaya melepasi ujian Allah ini. Maka sebab itulah kita melakukan dosa padaNya..Tapi disebalik dosa yang kita lakukan, Allah menyediakan ruang keampunan untuk hambaNya yang sudah melakukan dosa. Ruang itu dinamakan taubat. Allah nak tunujukkan kepada kita bahawa manusia ini tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Tapi sebalik itu, Allah bagi peluang kepada kita untuk kembali kepadaNya. Dengan taubat, kita seperti kain putih yang kembali bersih. Itulah pengasihnya Allah kepada kita Alia...Allah juga Maha pengampun...."

"Abang ingin kongsikan sebuah cerita seorang pemuda yang hidup pada zaman Nabi kita Muhammad S.A.W. Kerja dia ni ialah mencuri kain kafan orang yang sudah meninggal dunia. Pendek ceritanya, suatu hari dia mendengar tazkirah Rasululullah kepada para sahabat tentang Maha Pengampunnya Allah..Dia lalu menyesali perbuatannya sebelum ini. Lalu dia bertanyakan Rasululluah adakah Allah juga akan mengampunkan dosanya? Lantas Rasulullah bertanyakan apa kesalahan yang telah dilakukannya. Dia kemudian bercerita. Katanya pada Rasullullah, kerjanya bila sahaja ada kematian, dia akan ekori jenazah tersebut ke kubur. Kemudian bila orang ramai pulang, dia akan gali kubur tersebut dan akan mencuru kain kafan yang membaluti jenazah tersebut untuk dijual.

Sambung saya lagi..."Suatu ketika ada kematian yang membabitkan seorang wanita yang cantik. Seperti biasa dia akan menggali kubur selepas orang ramai meninggalkan tanah perkuburan. Selesai gali, dia amat terkejut melihatkan jenazah di hadapan matanya ketika itu amat cantik dan menawan sekali. Lantas nafsunya ketika itu telah menguasai diri. Dia telah menodai jenazah tersebut. Selepas kejadian tersebut, hatinya tidak tenang. Mendengar sahaja penjelasan pemuda tersebut, lantas baginda memalingkan muka sambil berkata pergilah kamu dari sini. Kemudian pemuda tersebut merasakan baginda tidak mengampuni kesalahannya itu. Dia pun berjalan tanpa tujuan. Sampai di tengah padang pasir, dia melutut menyembah bumi meminta keampunan Allah. Siang malam dirinya menangis kerana merasakan dosanya tidak diampuni Allah.

Kemudian pendekkan cerita, Allah lalu mengutuskan malaikat Jibril bertemu dengan Rssululullah untuk mengatakan kepada baginda bahawa Allah telah mengampunkan dosa pemuda tersebut. Mendengar sahaja khabar gembira dari langit itu, baginda pun mengutuskan beberapa orang sahabat untuk mencari pemuda tadi untuk menyampaikan khabar gembira itu. Lalu selepas bertemu dengan pemuda tersebut, pemuda itu pun meminta untuk berjumpa dengan Rasululullah bagi meminta keampunan daripada manusia utusan Allah. Sampai sahaja dia di tempat baginda, ketika itu baginda dan para sahabat yang ada ketika itu sedang solat maghrib berjamaah. Dia pun turut sama dalam jamaah tersebut. Sampailah ketika Rasululullah membaca ayat kedua dari surah Al-Takathur yang bermaksud "sehingga kamu sampai ke lubang kubur". Mendengar sahaja ayat tersebut, pemuda itupun terus jatuh ke bumi dan meninggal dunia. Selepas selesai solat, baginda dan para sahabat mendekati jenazah pemuda tersebut lantas baginda berkata sesungguhnya pemuda ini adalah dari kalangan penghuni Syurga"

"Begitulah ceritanya Alia....Sungguh sayu kan? Seorang pemuda yang bergelumang dengan dosa kemudian bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Kemudian tidak lama selepas itu, dia meninggal dunia. Tapi Rasululullah telah memberikan jaminan Syurga untuknya...itulah kisah orang bertaubat Alia...Abang ceritakan ini untuk Alia nampak bahawa Allah itu Maha Pengampun...

"Abang, saya rasa sedikit tenang sekarang. Saya dapat rasakan bahawa Allah itu dekat dengan saya". Katanya sambil sedikit senyuman terukir diwajahnya. "Ya, InsyaAllah...mudah-mudahan macam tu lah...Alia, kalau nak tahu, Allah ni akan mendekati hambaNya jika hambanya terlebih dahulu cuba mendekatiNya..Sebab tu abang kata sebelum ni Allah ni Maha Pengampun. Dia mendengar rintihan dan penyesalan hambaNya...Alia memohonlah keampunan kepadaNya ya...Alia masih belum terlambat. Kehidupan ini ujian untuk kita dik..

"Abang, minta maaf ya kerana terpaksa berkongsi masalah ni dengan abang. Saya nak mengadu pada mak ayah, bimbang mereka tahu hal sebenar. Lagi pula, saya memang tidak boleh tengok wajah mak bila dia menangis. Saya jadi sebak...Abang, terima kasih ya kerana sudi bertemu dengan Alia..." Ucapnya penuh dengan penghargaan. Saya sendiri ketika itu sudah lega dengan perubahan emosi dan perlakuan yang ditunjukkannya.

Semasa kami mengakhiri perbualan, lantas dengan tidak semena-mena datang seekor anak kucing yang comel lalu digeselkan kepalanya di kaki Alia. Lantas Alia terus mengambil anak kucing tersebut dan mengusap kepalanya dengan manja. Saya memerhatikan kejadian tersebut. Dalam hati saya berkata..." Mungkin inilah isyarat dari Allah bahawa Dia masih menyayangi Alia. Dihantarnya seekor kucing untuk memberikan isyarat bahawa masih ada makhluk yang menyayanginya dan sudi berdamping dengan dirinya"

Sungguh sayu apa yang terjadi di depan mata saya...Allahuakbar...Sungguh besar dan penuh hikmah kejadianMu Ya Allah...Doa saya mudah-mudahan Alia kembali pada jalanNya..Amin...




SIRI FALSAFAH HAIWAN (Bhg.2) : Pengajaran Untuk Manusia _ Kenapa Pungguk Rindukan Bulan?


Saya tersenyum sendirian apabila kelas Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan Islam ketika itu riuh rendah tatkala timbul isu Burung Hantu dan Burung Pungguk. Subjek ini adalah salah satu subjek yang saya ambil untuk semester ini. Sungguh beruntung rasanya kerana berpeluang untuk mengambil subjek ini. Lagi pula peluang belajar subjek ini dengan seorang pensyarah yang tidak asing lagi di Universiti Malaya. Menadah ilmu daripada Dr Habib Mat Som adalah satu peluang keemasan bagi kebanyakan student di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya ini. Dengan gaya yang selamba dan lawak spontan yang ditunjukkannya membuatkan ramai pelajar tidak kering gusi apabila mengikuti setiap siri kelas kelolaannya. Itulah Dr. Habib yang saya kenal. Itu sebab namanya terkenal ibarat pisang goreng panas. Banyak pihak yang suka menjemputnya sebagai penceramah dalam kebanyakan program pelajar dan program anjuran pihak luar.

Semester ini kami yang mengikuti subjek ini diminta untuk menyiapkan dua tugasan yang wajib dibuat sebagai memenuhi skala pemarkahan nanti. Antara tugasan itu ialah kami diminta untuk menyiapkan satu proposol program yang merangkumi pengisian program berserta perincian modulnya sekali. Tugasan ini hendaklah dibentang di dalam kelas setiap minggu mengikut giliran. Minggu ini saya menyaksikan pembentangan yang boleh dikatakan mantap dari satu kumpulan pelajar lelaki. Yang menarik perhatian kami pada hari itu adalah apabila kumpulan pelajar lelaki ini mengusulkan satu modul yang dinamakan modul "Burung Hantu." Ketika pembentangan modul tersebut berjalan, Dr Habib mencelah.....

"Kenapa pilih Burung Hantu? Kenapa tidak Burung Pungguk?" Soal beliau kepada kumpulan tersebut sambil melemparkan senyuman di muka... "Kami memilih nama Burung Hantu kerana modul yang kami nak terapkan kepada pelajar sasaran kami nanti adalah berobjektifkan kepada melahirkan pelajar yang berani. Aktiviti ini akan dijalankan pada waktu malam . Itu sebab kami pilih nama modul ini Burung Hantu kerana burung ini sememangnya suka keluar pada waktu malam." Jawab seorang wakil kumpulan mereka dengan yakin. "Jadi apa kaitan dengan hujah kamu tadi yang mengatakan untuk menerapkan elemen keberanian?" Telah Dr Habib lagi. Dr.Habib ni seorang yang jenis suka mencetuskan soalan provokasi. Beliau pernah memberitahu kami supaya berhati-hati dengan setiap soalan yang dikemukakannya nanti. Caranya memang pelik dari pensyarah lain.

"Burung Hantu ini adalah simbolik kepada suasana takut dan menyeramkan kerana tabiatnya yang hanya suka keluar malam. Ujian keberanian ini akan dibuat pada waktu malam. Jadi, kami sengaja mengatur modul ini pada waktu malam untuk menguji keberanian peserta nanti". "Kalau Burung Pungguk tak boleh ke?Burung Pungguk pun kuar malam gak". Dr. Habib terus mencetuskan provokasi. Gelabah pembentang itu saya tengok. Belajar dengan Dr Habib ni kena 'pick-up' sikit otak, baru dapat jawab. Memanglah persoalan untuk meletakkan nama modul itu satu persoalan remeh sahaja. Tapi tegas Dr Habib, beliau sengaja berbuat demekian kerana ingin melatih pelajar cara menjawab dengan kritis dan spontan tetapi tepat serta padat. Itulah Dr Habib yang mempunyai jiwa pendidik sejati!

Saya tertarik dengan cadangan Burung Pungguk yang dikatakan Dr Habib tadi. Saya cuba mencari apa falsafah yang ada pada burung tersebut. Sebelum ni saya ada hasilkan artikel Burung Helang. Sememangnya saya suka perhatikan apa yang terdapat di sekeliling. Daripada pemerhatian itu, saya akan cuba mencari sesuatu yang positif darinya. Bagi saya, setiap benda yang dihamparkan di depan kita adalah ilmu yang sangat berguna untuk kehidupan manusia. Kejadian yang dijadikan Allah samaada haiwan, tumbuhan dan setiap kejadianNya adalah pelengkap kepada kehidupan manusia. Cuma kekadang manusia itu sombong dan bongkak kerana merasakan hidupnya sudah sempurna. Allah pun kekadang dilupakannya...Jauh lagi untuk dirindukan..

Ada apa pada burung Pungguk ni ya? Soal saya dalam hati. Saya mengelamun seketika. Sifat burung Pungguk ini sangat istimewa sekali. Asal munculnya bulan, pungguk pun muncul. Dirinya sangat setia pada sang bulan. Kesetiaannya itu telah dijadikan peribahasa orang melayu kita. Siapa yang tidak pernah mendengar kata-kata 'bagaikan pungguk rindukan bulan". Peribahasa ini cukup dikenali ramai. Tetapi tidak ramai yang cuba mencari rahsia yang ada pada peribahasa tersebut untuk kekuatan diri. Saya cuba mentafsirkan maksudnya itu. Sifat 'setia' yang ada pada pungguk ini memang mencabar jiwa orang Islam seperti saya. Kalau pungguk amat setia dengan sang bulan, kenapa tidak orang Islam setia pada agamanya? Saya terus mengalamun...

Hari ini Islam semakin dipermainkan. Betapa ramai manusia yang mengaku dirinya orang Islam, tetapi tidak mengamalkan apa yang diajar dalam agamanya. Perintah sembahyang untuk setiap orang Islam yang baligh, tidak dikerjakan. Apa lagi perintah-perintah yang lain. Saya teringat kepada seorang kakak yang saya pernah jumpa sewaktu menghadiri kursus usahawan sebelum ini. Beliau seorang yang mesra dan mudah diajak berbual. Penampilannya cukup bergaya dan kemas tetapi tidak bertudung. Orang putih kata "free hair". Saya kemudian cuba bertanyakan pandangannya tentang pemakaian tudung. Jawabnya, tudung ni adalah sebagai 'bebanan' kepada dirinya. Katanya kalau pakai tudung, nampak tak cantik. Jadi elok sahaja tak pakai. Katanya lagi, orang bisnes macam dia perlu ada tarikan supaya ramai yang mudah berdamping dengannya nanti. Maka dibiarkan sahaja rambutnya menyentuhi bahu. Mungkin itulah yang dibanggakannya...

Cukup dangkal dan cetek pandanganya. Saya sedih kerana terbukti bahawa kata-kata sindir musuh Islam yang mengatakan Islam kita pada hari ini adalah kerana mak dan ayah kita juga Islam sudah terbukti di depan mata saya ketika itu. Langsung tidak ada sifat setia pada agama. Kalau hari ini Islam tidak dibela oleh umatnya sendiri, maka siapa lagi yang kita boleh harap untuk membela agama mulia dan direstui Allah ini? Sifat setia pada agama ini telah ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad sendiri. Walaupun dijamin dengan kehidupan Syurga, namun baginda sendiri pernah berdepan dengan cabaran dan ujian dari musuh-musuh Islam ketika itu.

Sifat setia baginda dan para sahabat ini memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Pernah suatu ketika baginda ke Taif ketika mana penduduk Makkah tidak menerima seruan suci itu. Manusia yang dimuliakan Allah ini 'disambut' kehadirannya dengan balingan dan lontaran batu serta objek-objek tajam yang mencederakan baginda. Begitu juga sifat setia yang ditunjukkan oleh sahabat baginda terhadap agama dan perjuangan Islam ini. Seorang sahabat yang bernama Ka'bab Ibnu Al-Arq pernah dicucuk dengan besi tajam di belakang beliau. Begitu juga kisah Bilal Ibn Rabbah yang ditindih dengan batu yang berat di tengah padang pasir yang teramat panas. Namun akidah dan keimanan mereka langsung tidak tergugat. Setia sungguh para sahabat dengan perjuangan Islam ini...

Pengorbanan baginda dan sahabat ini tidak lain tidak bukan adalah demi membela agama Islam yang mulia ini. Pengorbanan yang ditinggalkan oleh baginda Nabi ini harus diteruskan oleh kita umat Islam. Kalaulah Nabi sendiri pernah patah gigi dalam membela agama Islam ini, maka di manakah kita hendak meletakkan muka kita pada hari ini? Usah hendak bercakap tentang membela agama, kalau kita sendiri yang mempermainkan agama sendiri. Jangan kita marah kalau penganut agama lain mentertawakan kita hari ini. Bercakap tentang perpaduan, tetapi ketuanan bangsa yang kita utamakan. Bercakap tentang negara Islam, tetapi kelab-kelab disko serta pusat maksiat masih berleluasa. Bercakap tentang keadilan, tetapi undang-undang kejam dikenakan tanpa ada usul bicara. Sungguh memualkan perbuatan dan pendirian seperti ini!!

Malulah pada sang pungguk. Tidak ada akal seperti kita manusia, tetapi punya naluri setia yang cukup sensitif. Pungguk sentiasa rindukan bulan. Ditunggunya bulan bila hendak muncul kerana ia tahu bahawa dirinya sangat setia pada bulan. Mungkin kelakuan pungguk ada maknanya. Mungkin pungguk tidak sehebat manusia kerana pungguk itu tahu ia bodoh kerana akal tidak diberikan kepadanya. Pungguk pasti tahu manusia itu lebih hebat daripadanya. Itu kenyataan dan fitrah kejadian Allah kepadanya. Tetapi pungguk seakan ingin mengajar manusia, bahawa ia yang bodoh itu pun tahu erti kesetiaan dan perjuangan. Berjuang setiap malam untuk menunggu sang bulan. Tetapi sesekali pungguk tunduk kesedihan melihat agama Islam tidak dirindui oleh penganutnya sendiri.

Pungguk bertekad, ia akan sentiasa menunjukkan kelakuannya yang sentiasa rindukan bulan. Padanya, biarlah manusia itu mengerti akan maksud perbuatannya itu...Kalaulah manusia susah sangat mengerti, pungguk berharap akal kepunyaan manusia itu diberikan kepadanya agar mampu ia mengajar manusia erti kesetiaan....

SIRI FALSAFAH HAIWAN : Pengajaran Untuk Manusia_ Sang Helang dan Radix


Semalam saya berkesempatan beraya di kediaman seorang ahli akademik di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Ishak Sulaiman . Beliau adalah seorang pensyarah di Jabatan al-Quran dan al-Hadith dan merangkap Timbalan Pengarah Ijazah Tinggi akademi berkenaan. Saya mengenali beliau sebagai seorang yang berprinsip, berjiwa besar dan bermotivasi tinggi. Sifat yang ada pada beliau ini jarang ada pada semua manusia walaupun kita semua dianugerahkan dengan pemberian termahal Ilahi iaitu akal yang waras dan 'sihat'. Satu pemberian yang adil untuk semua manusia.


"Ana nak beritahu enta Nik, kita sekarang bertanding untuk sejauh mana kita dapat menggunakan akal dan mencipta kejayaan hidup daripada kecerdikan akal". Tegas Dr Ishak kepada saya. Sambungnnya lagi, "Kita kena jadi macam Sang Helang yang menggunakan peluang yang ada di depan mata. Sifat Sang Helang ni Nik, ada je umpan depan mata, terus diterkam. Inilah yang tidak ada pada orang Melayu kita". Saya memahami apa yang hendak disampaikannya. Amat memahami dan terlalu mengerti. Cukup mendalam maksud analogi Sang Helang yang digunakan beliau. Mengalahkan analogi Sang Kancil yang saya cipta sebelum....

Saya terus memberi perhatian kepada kata-kata seorang mantan YDP PMIUM ini. Katanya lagi, "Enta Nik, kita kena faham sekarang adalah masanya kita berjihad dan berjuang atas landasan menegakkan ekonomi Islam. Sekarang kita tengok, barangan HPA dah banyak dikeluarkan. Semuanya dibuat dengan berteraskan Islam dan kerana perjuangan Islam. Dari kita membeli produk barangan Amerika dan Yahudi, kenapa tidak kita membeli barangan keluaran Islam?." Satu persoalan yang dilemparkan olehnya kepada saya dan kawan-kawan yang turut bersama saya ketika itu. Saya terus berfikir dan merenung kata-katanya...

"Konsepnya mudah, kita membeli satu produk barangan HPA, bermakna kita telah menyumbangkan sedikit bantuan kewangan kepada perjuangan Islam dan barangannya." Dr Ishak terus 'memaku' kami. Sebenarnya kami sedang 'berusrah' dengan tajuk perniagaan MLM versi Islam iaitu HPA/ Radix hasil penangan dan kebijaksanaan anak Melayu berjiwa Islam iaitu Tuan Hj Ismail. "Dr, bila Radix ni mula meledak ya?" Tanya saya untuk merancakkan perbualan. " Bermulanya tahun 2002, Radix telah menggegarkan Malaysia. Dari tempoh penubuhannya sampai sekarang, tidak pernah berhutang Nik...Sekarang pula dalam proses untuk membina hotel berpaksikan pengurusan dan pengamalan Islam". Wah, hebat sungguh HPA ni ya....kata saya dalam hati. Dah la tak pernah berhutang, sekarang pula dalam proses untuk membina hotel sendiri yang bertunjangkan kepada perlaksanaan Islam. Sungguh hebat....

"Ni pun dalam proses untuk mengembangkan RFC (Radix Fried Chicken) yang menjadi alternatif lain buat orang Islam yang 'setia' dengan KFC ( Kentucky Fried Chicken ). Sekarang telah tertubuh di Sungai Petani, Kedah." Katanya lagi untuk menyakinkan saya dengan perjuangan ekonomi Islam ini. " Bila nak buat RFC kat kelantan Dr?" Tanya saya lagi. " Yang tu, kena nta join dulu lah baru ada RFC kat kelantan " Perlinya kepada saya. Sememangnya saya belum pun 'sign in' lagi HPA ni. Hehe...

"Enta nak minum air karbonat, HPA juga ada. Enta nak guna syampu mandi, HPA puna ada. Nak berus gigi, HPA pun ada. Macam-macam la Nik...kita dalam proses untuk mengembangkan produk daripada HPA sendiri. Misi ini harus disokong oleh orang Islam sendiri. Daripada enta minum Coca Cola, baik enta minum Radix Cola. Enta nak madu lebah, pun HPA buat Nik." Pandai sungguh Dr berkempen ya..hehe...telahan saya dalam hati. Tapi saya tahu, ni bukan kempen sebrang kempen seperti MLM lain. Kempen dalam perniagaan HPA adalah dakwah. menyeru menusia ke arah kebaikan. Kebaikan Islam dan ekonominya....

Atas kereta semasa dalam perjalanan pulang, saya sempat memikirkan semua kata-katanya di dalam perbualan kami tadi. Menjadi Sang Helang seperti yang dimaksudkannya tadi adalah seorang dalam sejuta. Maksudnya tidak ramai yang nampak peluang di depan mata dan berusaha dan bersungguh untuk mencapainya. Kekadang, dibiarkan sahaja peuang itu berlalu bahkan ada yang tidak pernah ' menjeling' ke arahnya walau sekali. Inilah orang Melayu kita. Sentiasa melepaskan peluang yang 'menegur' kita. Sampai 'peluang' pun dah pandai mengatakan kepada orang Melayu kita ni sombong...

Sebenarnya kalau kita fikir elok-elok, peluang yang datang itu adalah dihidangkan khas untuk kita dan mungkin juga disitulah tempat kita untuk mengubah diri. Lagi-lagi dengan peluang 2 dalam 1 tajaan HPA ini. Mencari duit dan pahala tidak semua ada pada sistem MLM yang lain. Itu kesimpulan ringkas yang saya buat sambil kereta yang saya 'drive' ketika itu membelok ke persimpangan kanan jalan untuk memasuki lebuh raya menuju ke Kuala Lumpur.

Saat memasuki persimpangan tersebut, terdetik dalam hati untuk menjadi sebahagian 'tentera' HPA berjuang menegakkan ekonomi Islam. Memasuki simpang kanan adalah umpama keputusan yang dibuat adalah betul dan tepat pada masanya. Kemudian meluncur laju di atas Lebuh raya adalah tanda saya tidak akan lagi berpaling ke belakang. Falsafah Sang Helang amat bernilai untuk saya...Terima kasih Tuhan kerana kejadian sang helang Mu ini amat banyak mengajar erti kehidupan kepada manusia.

Malulah manusia kalau tidak menjadi sehebat Sang Helang...kalaulah Sang Helang mengenali Radix dan HPA, pasti sang helang akan lagi rakus 'menerkam'. Sang helang itu tahu, selepas 'menerkam' Radix dan HPA, pasti ia kan terus terbang tinggi diudara....