Bila INFINITI berbicara..


TERIMA KASIH ABANG AMIN…

Perkongsian ini sebagai pengajaran kepada saya dan untuk semua juga. Bukan cerita yang mengisahkan sang kancil dan sang buaya dan bukan cerita percintaan sang jejaka dan puteri hati. Ini perkongsian yang saya rasa perlu untuk saya kongsikan dan menulis setelah sekian lama tidak menulis dalam blog INFINITI. Sebenarnya sekarang baru saya ada kelapangan masa. Maklumlah exam pun dah habis. Selepas ni saya akan mengisi masa dengan mencari kerja sambilan dan menyertai aktiviti kemasayarakatan. Ada juga yang bertanyakan bila saya nak kahwin? Ah, pedulikan hal itu dahulu..

Berbalik kepada cerita asal. Saya sebenarnya bertuah dapat mengenali abg amin idris…seorang bekas aktivis mahasiswa UIAM satu ketika dahulu. Seingat saya, beliau adalah bekas Setiausaha Agung MPPUIAM. Sekarang ini aktif dengan program-program motivasi dan kepimpinan. Bukan sahaja di peringkat pelajar sekolah, tetapi juga dikenali disemua peringkat samaada swasta dan kerajaan. Maklumlah, selain dikurniakan wajah yang persis actor negara Tahailand atau Hongkong, beliau juga memiliki wajah yang tampan dan ceria. Memang sesuai sangat jadi motivator. Dikurniakan dengan kebolehan untuk mempengaruhi orang lain, sesuai saya katakan beliau adalah seorang yang karismatik.

Dengan perasaan kagum inilah saya merasakan bahawa beliau adalah salah seorang ‘role model’ untuk saya mengenali diri saya dengan baik. Sebelum ini, kekadang saya tidak dapat mengesan mana kelemahan diri. Betullah kata pepatah, sahabat adalah cermin kepada sahabat yang lain. Kita hanya akan nampak apa yang baik sahaja mengenai diri kita. Tetapi perkara buruk, walaupun kita sedari kita cuba pedulikan. Inilah kita sebagai manusia. Selalu ego dengan diri sendiri. Tidak mahu mengakui kelemahan diri kerana merasakan diri sentiasa sempurna.

Saya beruah kerana perasaan itu disentap dengan teguran abg amin. Beliau telah menasihati saya mengenai kesilapan saya. Katanya dalam sms kepada saya yang bertulis “ok, tingkatkan kualiti pengurusan diri sebab enta jadi contoh pada yang lain”. Kata-kata itu memang menyentap keegoaan saya. Betul-betul merebahkan kaki saya yang telah beridiri sekian lama. Membuatkan saya termenung seolah-olah berada di atas awangan dan seakan-akan saya ditampar dengan penampar yang betul-betul-menyakitkan. Teguran tersebut menyedarkan saya dengan kesilapan diri. Alkisahnya ialah, dek kesilapan dan kealpaan saya menangguhkan kerja dan amanah yang abg amin berikan. Semasa program BENGKEL FASILITATOR PMKUM, beliau meminta saya uruskan senarai nama peserta program yang berminat untuk mendapatkan e-book MAGNET DIRI nya. {karya pertama abg.amin}.

Sepatutnya selepas itu, saya kena hantar senarai nama tersebut kepada abg amin melalui e-mail. Tetapi selapas sebulan lamanya program tersebut berlalu, saya masih lagi tak berbuat sedemikian. Sampailah satu masa abg amin hubungi saya. Beliau bertanyakan tentang hal tersebut. Sebelum tu pun dah ada sahabat exco yang bertanya iaitu Hasbullah kawan saya adalah mantan exco Kebudayaan. Tetapi masa tu saya sibuk dengan persiapan exam, jadi terabai pertanyaan tersebut. Tetapi setelah abg amin yang ‘follow-up’, saya jadi serba tak kena. Malu pun ada dan segan lagilah. Rasanya dah tak mahu jumpa dengannya lagi sebab malu dengan apa yang terjadi. Memanglah orang lain melihat bahawa kesilapan tersebut biasa sahaja. Kawan-kawan pun ada yang berkata “ala..perkara biasa je tu nik. Enta bagitahulah abg.amin enta sibuk”..Kata-kata tersebut seakan-akan melihat bahawa kesilapan saya adalah kesilapan biasa. Tetapi bagi saya, itu bukan kesilapan biasa sebagai pimpinan. Kalau tak, masakan abg amin menegur saya seperti kata-katanya dalam SMS tersebut. Walaupun tegurannya ringkas, tetapi memberi maksud yang mendalam bagi saya tertutama untuk saya mengharungi dunia kepimpinan ini. Pesanan itulah yang akan saya sematkan dalam hati dan diri yang sentiasa alpa ini.

Terima kasih a.amin, anda sememangnya seorang yang perihatin terhadap maruah diri seseorang pimpinan. Kalau tak ada teguran ini, mungin kesilapan sama akan berulang bahkan mungkin kesilapan yang lagi besar akan terjadi. Saya tak mahu menjadi fitnah kepada dunia kepimpinan ini. Abg Amin telah menyedarkan saya bahawa di bawah saya, ada anak buah yang setia bersama perjuangan ini. Saya tidak mahu saya menjadi fitnah kepada mereka dan perjuangan ini. Biarlah perkara yang baik sahaja mereka ikut. Jadikanlah cerita ini sebagai pengajaran kepada semua. Ingatlah, walaupun masalah itu kecil, tetapi lumrah orang memimpin akan sentiasa diungkit dengan kesalahan dan kesilapan bahkan sedikit sahaja orang melihat kebaikan dan kekuatan yang kita ada. Kepada abg amin, TERUSKAN KEHIDUPAN ANDA MENCIPTA DIRI MENJADI MAGNET DIRI KEPADA ORANG LAIN…




Bila INFINITI berbicara,..

Aku Rindu Pada Kalian....


Ketika saya membuka blog INFINITI ini, jam menunjukkan tepat 5.45 pagi. Kebetulan tarikhnya adalah pada 10 April. Maknanya dah genap 4 bulan saya tak edit blog ini. Saya kemudian mengalihkan pandangan saya kepada satu ruang 'sembang INFINITI' dan terbaca satu komen pelawat blog ini yang menggelarkan dirinya 'kawe_um'. Beliau menyampaikan ucapan tahniah kepada saya atas usaha memartabatkan PMKUM di UM ini. Sempat juga beliau berpesan kepada saya supaya edit blog ini. Sebenarnya dah ramai yang meminta saya berbuat demekian, tapi memang tak sempat nak menulisnya lagi. Ikutnya, banyak juga isu dan perbincangan yang nak saya utarakan dalam penulisan terbaru, tapi maklumlah sibuk semacam (assingment pun tak sempat buat).

Sekarang, saya dah bergelar mantan Yang Dipertua PMKUM. Ada juga kawan saya yang mengusik dengan berkata "nik, sekarang leh lah demo buat assingment demo dan tumpukan pada study demo plak". Sambungnya lagi, "dulu, demo meting tiap-tiap malam, sekarang demo dah letak jawatan, jadi ada lah masa untuk demo study plak...". Memang betul katanya itu. Memang sekarang saya punya lebih banyak waktu berbanding dahulu ketika saya memegang jawatan YDP PMKUM. Tapi terasa sedikit kekok dan janggal. Apa tidaknya, sebelum ini saya dah terbiasa dengan aktiviti meting, merancang, berfikir dan sebagainya yang berkaitan dengan PMK. Tapi sekarang saya dah tak dapat merasai untuk semua itu. Saya bukan lagi punya tanggungjawab sepertimana ketika saya menjadi YDP dahulu.

Jadi, memang terasa sedikit kekosongan dalam hidup ini sekarang. Selepas dua hari dari tarikh perletakan jawatan sebagai pimpinan PMKUM, memang saya tak dapat tidur dengan baik. Terasa macam seribu kebingungan bermain di kepala. Kadang-kadang terfikir juga betapa sekejap sahaja memegang amanah itu. Hati saya terus berkata bahawa semacam ada banyak lagi yang saya perlu lakukan untuk PMKUM. Terasa berat nak meninggalkan dunia kepimpinan membawa wadah perjuangan anak-anak Kelantan ini. Tapi apakan daya, saya mesti berfikir ke depan. Saya harus beri peluang kepada generasi pelapis yang berdarah muda yang berkobar dalam hatinya jiwa pejuang. Ya, saya harus beri peluang..

Saya kemudian teringat kepada satu SMS yang dikirimkan oleh Timbalan saya iaitu saudari Syafawati beberapa hari yang lepas. Lantas saya mencapai telefon bimbit dan terus mencari SMS tersebut. Bagi saya, kata-katanya itu mata memberi kesan kepada apa yang saya alami sekarang. SMS itu menyebut " Kita yang pergi ikhlaskanlah hati, mereka yang datang relakanlah diri. Kita pergi bukan bermakna kita lari, kita pergi bukan bermakna kita takut, tapi itulah sunnahtullah..kerana kita bukan yang memulakan, jua bukan yang menamatkan. Tapi kita hanyalah penyambung kepada mata rantai perjuangan itu. Itulah hakikat yang harus diterima walaupun pahit untuk ditelan. Semoga yang datang itu, bisa meneruskan perjuangan itu. Kita doakan sama-sama..Perjalanan masih jauh banyak lagi yang harus dirempuh dan diredah. Kehidupan ini ibarat roda, kekadang kita di atas dan sampai masanya kita kan berada di bawah. Sunnah alam sememangnya begitu. Yang lalu, simpanlah ia kemas-kemas dalam memori kenangan, hanya mata dan hati sahaja yang mampu berbicara...".

Selepas membaca SMS tersebut, maka sedikit sebanyak dapat mengubat apa yang dirasai sekarang. Memang itulah adat perjuangan. " Kita bukan jaguh yang memulakan perjuangan, dan bukan pengecut yang mengakhirkan perjuangan. Tapi kita adalah mata rantai-mata rantai perjuangan " Itulah kata-kata yang saya sentiasa saya laungkan sebelum ini. Bukan saya tak pernah menyebut, tetapi inilah lumrah insan yang bergelar manusia. Lupa itu fitrah kita...
Terima kasih Syafa (Timb. Presiden PMKUM) atas peranan anda sebagai pendokong kuat kepada saya. Komitmen dan kesungguhan anda membuatkan saya merasa terharu dan tidak berseorangan dalam perjuangan ini. Saya amat menghargainya. Terima kasih juga kepada Fizah (Setiausaha Agung PMKUM), Fidah(Timb. Setiausaha), Hasyri (Bendahari PMKUM) dan Arifah (Timb. Bendahari) atas kerjasama anda selam kita bersama dalam barisan Majlis Tertinggi PMKUM. Anda semua telah membuktikan yang kita bukan sahaja berjumpa untuk bermesyuarat semata-mata, tetapi anda semua telah menanamkan benih-benih ukhwah yang sejati antara kita. Buktinya, sekarang saya amat merindui saat-saat kita bersama. Kita berfikir bersama, kita membuat keputusan bersama dan kita suka dan sedih juga bersama. Pengalaman semalam mengajar saya erti kehidupan, erti ukhwah yang tiada nilaian..

Buat rakan-rakan Exco, teruskan perjuangan kalian. Anda semua BARISAN IMPIAN saya untuk meneruskan perjuangan saya dan rakan-rakan MT yang lain. Buktikan kepada saya, anda adalah barisan impian itu. Anda adalah penerus kesinambungan perjuangan ini. Ingatlah kita pernah bersama dan segala pengalaman yang dikongsi bersama kalian, gunalah ia sebagai panduan. Saya nak nyatakan kepada kalian, kita harus meneruskan perjuangan ini. Perjuangan suci dan perjuangan murni..

Wahai pejuang barisan hadapan PMKUM ;
Bangkitlah kalian menerajui perubahan.
Tanamkan impian membina perpaduan.
Impian itu satu harapan..
Pastikan ia dalam genggaman.
Ayuh, bangkitlah...
Bangkitlah kalian memimpin perpaduan!!

PERUTUSAN TAHUN BARU YDP PMKUM




Segala puji bagi Allah s.w.t yang memiliki kekuasaan di atas muka bumi ini, Maha perkasa dan Maha bijaksana hanyalah untuk-Nya. Selawat dan Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., penghulu segala nabi serta ahli keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda yang bersama-sama menegakkan panji-panji kebenaran.

Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah s.w.t atas hidayah dan kasih sayangNYa memberi kesempatan kepada kita untuk bertemu di Tahun Baru 1429H bersamaan 2008 ini. Semoga tahun ini akan memberi lebih kejayaan dan keberkatan dalam mencapai impian yang dicita-citakan. Saya dan seluruh Exco Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM) ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 1429H/2008 kepada seluruh warga UM khususnya buat rakan-rakan ahli PMKUM dan rakyat Negeri Kelantan yang tecinta.

Saudara-saudari yang dirahmati,

Tahun 2007 telah meninggalkan seribu satu kenangan, impian, cabaran, kesedihan dan kejayaan buat kita semua. Kejayaan demi kejayaan telah dicapai oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM) pada tahun (semester) lepas. Kejayaan tersebut bermula dengan keupayaan kita menarik ramai anak-anak Kelantan kepada persatuan ini. Kejayaan mengumpul bilangan ahli baru yang tertinggi di peringkat semua persatuan anak-anak negeri semasa PROMO ’07 yang dianjurkan oleh pihak HEPA pada tahun lepas, menjelaskan bahawa kita adalah persatuan yang terus aktif dan mempunyai keahlian yang paling ramai berbanding persatuan anak negeri lain. Itu perkiraan yang dibuat berdasarkan jumlah ahli baru yang mendaftar dan tidak lagi mengambil kira jumlah sebenar anak-anak Kelantan yang tidak lagi berdaftar secara sah dengan kita sedangkan mereka wujud di Universiti Perdana ini.

Menuju ke arah salah satu daripada lima MISI yang digariskan PMKUM sesi ini iaitu KEPIMPINAN BERSAMA, maka selepas berkhirnya Minggu Promosi Badan Pelajar (PrOMO ‘07), PMKUM telah menganjurkan satu program yang melibatkan pimpinan diperingkat Majlis Tertinggi, Exco, AJK dan pengarah-pengarah projek sepanjang sesi kepimpinan ini. Program tersebut ialah Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) yang bermatlamat untuk melahirkan pimpinan yang mempunyai kesatuan minda dan kerja dalam gerak kerja persatuan. Kesatuan minda dan kerja yang saya nyatakan ini adalah amat penting untuk memastikan visi, misi, objektif dan hala tuju yang digariskan oleh pimpinan di peringkat majlis tertinggi, selari dengan gerak kerja ahli di peringkat bawah samaada exco JKP PMKUM, ahli jawatankuasa JKP, pengarah-pengarah projek dan juga ahli PMKUM itu sendiri.

Pada sesi lepas juga, kita telah menganjurkan program Hari Interaksi Darul Naim (HISDAN) yang berjaya menghimpunkan sebilangan besar anak-anak kelantan dari setiap fakulti dan kolej-kolej kediaman yang datang memenuhi Kompleks Perdana Siswa (KPS). Signifikannya, program tersebut turut dihadiri oleh presiden-presiden persatuan negeri lain seperti Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH), Persatuan Mahasiswa Perak (PEMARAK), Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA), dan Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (PERMANIS). Turut memeriahkan majlis juga adalah wakil dua persatuan ‘induk’ Universiti Malaya iaitu Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM) yang diwakili oleh Pengerusi Biro Kebajikan & Perpaduan dan Majlis Perwakilan Pelajar yang diwakili oleh presidennya sendiri iaitu Sdr. Affenddi Tanjung. Kesediaan dan kejayaan kita menjemput dan mengumpul pimpinan-pimpinan di peringkat persatuan lain ini dalam program kita adalah membuktikan bahawa VISI BESAR PMKUM kita sesi ini iaitu PERPADUAN adalah perkara yang serius dan harus diberi perhatian oleh semua pihak. Kita tidak mahu soal perpaduan ini hanya subur dalam ruang lingkup dan kehidupan anak kelantan sahaja bahkan jauh dari itu, kita ingin menjadi sebuah persatuan yang mendominasi dan mengungguli perjuangan membawa perpaduan ini. PMKUM dan ahlinya harus menjadi contoh dan satelit kepada persatuan lain dalam membawa visi ini.

Kita juga tidak meminggirkan aspek penjanaan ekonomi dalam persatuan kerana bagi kita, usaha persis untuk memastikan persatuan ini mempunyai sumber kewangan yang mantap harus didokong bersama oleh ahli-ahli PMKUM terutama pimpinan-pimpinan PMKUM sendiri. Kita harus sedar, kejayaan dan kelicinan sesuatu projek yang telah diatur sepanjang sesi adalah bergantung kepada kukuhnya sumber kewangan kita. Bermaksud, kita ada wang, kita mampu berjuang ! Wang bukan segalanya, tetapi dengan wang, kita mampu melakukan segalanya.
Menyedari hakikat ini, maka PMKUM cuba sedaya upaya untuk menggunakan sebarang peluang yang ada untuk merealisasikan hasrat tersebut. Maka dengan berlangsungnya Majlis Konvokesyen bagi bakal-bakal graduan baru-baru ini, PMKUM telah menggunakan peluang ini untuk membuka gerai makanan bagi mengukuhkan sistem ekonomi persatuan. Pengurusan gerai PMKUM ini telah dpertanggungjawabkan kepada JKP Ekonomi yang kemudiannya menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan segala perancangan yang diatur berjalan lancar. Sejak penubuhan PMKUM pada 1971 yang lalu sehingga sekarang, kita masih lagi mengekalkan nama keramat gerai PMKUM ini iaitu Citarasa Darul Naim (CDN). Begitu juga sejak 3 sesi kepimpinan PMKUM sebelum ini, CDN masih lagi mengekalkan menu masakan tradisi PMKUM iaitu masakan istimewa nasi kerabu dan masakan panas yang setiap hari berjaya menarik pelanggan yang ramai dan sentiasa memenuhi ruang khemah CDN PMKUM.
Ini menunjukkan bahawa, masakan yang kita ketengahkan ini bukan sahaja berjaya menarik minat anak-anak kelantan kita bahkan terdapat juga mahasiswa negeri lain yang turut mengunjungi gerai CDN PMKUM. Istimewanya, semua masakan yang kita persembahkan itu adalah hasil titik peluh dan ramuan asli ciptaan ahi PMKUM sendiri. Kemahiran inilah yang kami di peringkat pimpinan mahukan. Sebab itu, antara 5 Misi PMKUM sesi ini adalah KEILMUAN & KEMAHIRAN BERINTEGRASI yang cuba diterapkan kepada ahli. Misi ini kalau dihayati oleh ahli di semua peringkat, mampu melonjakkan semangat baru untuk mendaulatkan ilmu dan mencambahkan kemahiran yang ada.

Saudara-saudari sekalian,

Setiap persatuan atau organisasi, saya yakin pastinya tidak akan mengabaikan soal kebajikan. Begitu juga dengan PMKUM. Kami melihat soal kebajikan ini adalah perkara yang perlu dititikberatkan. Memandangkan setiap tahun tibanya musim perayaan Aidilfitri, pasti ada yang tidak memiliki tiket pulang ke Kelantan. Mengambil kira permasalahan seperti ini, maka kita menggesa JKP Kebajikan & Perpaduan agar mengambil inisiatif untuk menyediakan bebrapa buah bas untuk sedikit sebanyak membantu segelintir ahli PMKUM yang bermasalah ini. Sesuai dengan misi terakhir dalam hireki 5K PMKUM iaitu KEBAJIKAN & KEPERIHATINAN BERSAMA, maka inisiatif seperti ini dilihat tepat untuk melengkapkan misi PMKUM sesi ini.

Namun begitu, kita juga tidak mengetepikan elemen kerohanian dan pentarbiyahan dalam setiap diri ahli PMKUM. Perubahan yang drastik dalam hubungan komunikasi masyarakat dunia sedang berlaku. Ini menjadikan dua cabaran besar alaf baru iaitu ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang semakin parah perlu ditangani dan diatasi ke arah membentuk watak ahli PMKUM yang beretika. Justeru itu, agenda penting bagi pembinaan jati diri mulia ini ialah dengan mengatur program-program kerohanian dari semasa ke semasa. Dengan kedatangan Ramadhan yang lepas, kita melalui JKP Etika, Patriotisme & Kenegaraan PMKUM telah menganjurkan program IFTAR JAMAIE & SOLAT HAJAT PERDANA bagi mengisi dan mendidik ahli-ahli kita dengan aktiviti keagamaan dan kerohanian disamping untuk memeriahkan lagi kedatangan Ramadhan yang mulia itu.

Pada tanggal 25– 29 Disember 2007 yang lepas, PMKUM juga telah berjaya menganjurkan OPKIM ’07 yang diadakan dengan penuh gemilang. Namun disebalik kejayaan itu, sebenarnya ada beberapa perkara yang timbul di peringkat awal sebelum program tersebut berjalan. Dengan keadaan cuaca di kelantan ketika itu yang mengalami musim tengkujuh yang agak teruk dan tarikh buka semester pengajian yang semakin dekat, maka ini sebenarnya membuatkan jawatankuasa OPKIM ’07 tidak nyenyak tidur dan mungkin juga ada yang tidak selera untuk makan. Secara logiknya, sudah tentu OPKIM ’07 tidak akan berjaya diteruskan kerana kita juga sedar bahawa setiap program pasti memerlukan pesertanya. Mana mungkin kami boleh bergoyang kaki dalam keadaan dua masalah yang saya sebut di atas tadi sedangkan kita amat memerlukan ahli untuk menjadi peserta ‘program tengkujuh’ ini. Tetapi saya cukup percaya dengan keberkatan dalam berpersatuan berpersatuan. Pasti ada pertolongan Allah kerana kita memilih jalan ini (berpersatuan) yang penuh dengan kemanisan dan keberkatan dalam Islam. Hasilnya, seminggu sebelum program tersebut berlangsung, maka kita berjaya mengumpul seramai 102 orang perserta yang asalnya tidak ada seorang pun yang berani mendaftarkan diri kerana faktor cuaca dan faktor-faktor lain. Tetapi inilah dunia persatuan. Indahnya berpersatuan, kita sendiri tidak menjangkakan. Maka dengan berakhirnya OPKIM ’07 tersebut, kalendar PMKUM bagi semester yang lepas (sesi 2007) dapat ditutup dengan jayanya.

Saudara-saudari sekalian,

Kegemilangan ini harus diteruskan, kejayaan akan terus digenggam. Hari ini, kita semua telah memasuki era kedua dalam kepimpinan PMKUM sesi ini. Era kedua menuntut pecutan yang lebih laju dan bertenaga kerana kita sudah tidak memilki masa yang panjang untuk lagi berada dalam kelalaian dan kelapaan. Kita sebagai pimpinan, kita mesti terus mengejar impian. Kita sebagai ahli, kita mesti terus berbakti. Itu falsafah mudah yang harus dijadikan prinsip bilamana kita memasuki fasa ke-2 dalam gerak kerja PMKUM sesi ini.

Ayuh !! Marilah kita mengingati kembali VISI kita iaitu “MENJALINKAN KEMESRAAN DALAM KEBERSAMAAN UNTUK MEMBENTUK PERPADUAN”. Juga hadamkan kembali MISI 5K PMKUM iaitu KEPIMPINAN BERSAMA, KEMESRAAN DAN KETERBUKAAN DALAM BERPERSATUAN, KEMASYARAKATAN DAN PERPADUAN YANG MENYELURUH, KEILMUAN DAN KEMAHIRAN BERINTEGRASI, serta KEBAJIKAN DAN KEPERIHATINAN BERSAMA. Kembalilah kita berjanji, buat yang terbaik untuk PMKUM. Suburkan kemesraan, wujudkan kebersamaan dan utuhkan perpaduan.


“ BERSAMA MEREALISASIKAN PERPADUAN ”


Aku keseorangan, Aku Bersendirian




Bila INFINITI berbicara..


Aku Keseorangan, Aku Bersendirian..

Aku keseorangan
Menyelusuri hidup meniti perjuangan

Aku bersendirian
Mengenggam amanah dalam kepimpinan

Aku keseorangan
Mengorak langkah membina perpaduan

Aku bersendirian
Perpaduan yang ku impikan penuh rintangan

Aku keseorangan
Bila kawan-kawanku hanya meneman

Aku bersendirian
Kawan-kawanku tiada kesungguhan

Aku keseorangan
Dihina dimaki demi impian

Aku bersendirian
Suka dan duka tiada berteman

Oh Tuhan
Aku keseorangan
Aku bersendirian
Meniti perjuangan membina perpaduan
Buat rakyat anak-anak kelantan...




Bila INFINITI berbicara..


Kanser!!!

Kanser..
Engkau memang makhluk jahat
Awal engkau tak kuat
Bila dah terlambat
Engkau tunjuk hebat

Engkau meragut kebahagian diri
Membuatkan orang rasa menyepi
Hari-hari terkenang nasib diri
Bilakah engkau mahu pergi

Engkau memang musuh manusia
Engkau paksa orang merasa
Bisanya engkau manusia tak berdaya
Sedaya upaya mencuba belum tentu berjaya

Akibat engkau orang tangisi
Bahana bisamu membunuh diri
Tubuh badan di bawa pergi
Ke rumah berseorangan kekal abadi

INDAHNYA ALAM, HEBATNYA TUHAN




Bila INFINITI berbicara..


Kehebatan TUHAN...

aku terkesima
melihat indahnya ciptaan Tuhan
langit di atas tiada bertiang
diselubungi kecerahan kadang-kadang kegelapan
ada kilat belum tentu hujan

burung-burung berterbangan sekawan
ke hulu ke hilir erat berteman
sekali-sekala sombong berseorangan
tetapi gagah menempuh awan

ikan dilaut banyak bilangan
menjadi buruan para nelayan
dibuat lauk menjadi santapan
dipukat dijala masih tak kekurangan
bahkan semakin galak di dalam lautan

binatang juga ciptaan Tuhan
ganas jinak semua di hutan
halal sahaja boleh dimakan
menjadi buruan manusia kelaparan
setelah lama sesat semalaman
puas mencuba kebuntuan jalan

tumbuh-tumbuhan hidup kehijauan
tumbuh megah di atas hamparan
menumbuhkan daun dan juga dahan
semuanya berada dalam kawalan
putaran alam siang dan malam

manusia dicipta sebaik kejadian
memikul amanah membawa kebenaran
inilah dia sebaik kejadian
indahnya alam hebatnya Tuhan...

Menyusuri Budaya Warisan Kelantan Zaman Berzaman




Bila INFINITI berbicara...

Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud di kalangan masyarakat biasa di kampong - kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Mereka akan ‘mengarut’ atau menyanyi sambil berbalas - balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang. Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman.

Perkataan Dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian “Karut” itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Walaubagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.

FUTURISTIK IKLIM PERGURUAN

:: PENDIDIKAN ::

Abad ke-21 akan terus membawa perubahan akibat globalisasi, kemajuan ilmu
sains, teknologi dan pengetahuan. Cabaran global yang mengelilingi dunia pendidikan hari ini umpamanya semakin kompleks dan begitu menguji kemahiran pemimpin pendidikan dari setiap damensi. Ia bukan sahaja menguji kemampuan dan ketahanan mental, fizikal, emosi dan rohani, malah ia menagih pengorbanan yang tidak terbatas dari segi pemikiran, tenaga, masa dan kewangan. Mengurus, mentadbir dan mengelola sumber merupakan tumpuan tenaga pengurus, pentadbir dan pengelola dalam sesebuah organisasi. Kepelbagaian sumber dengan kepelbagaian sifatnya memerlukan percaturan, pengadunan dan pengolahan yang cekap dan berkesan

Perubahan-perubahan yang hebat dan pantas dalam aspek ekonomi, budaya dan politik itu sendiri adalah cabaran besar yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia khususnya warga guru. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa sejak dari dahulu lagi cabaran-cabaran itu sudah wujud dan diperbincangkan, tetapi kali ini ia dijangka lebih hebat dan kritikal ekoran wujudnya sumbangan teknologi yang lebih baru dan canggih. Masalah yang timbul dari cabaran tersebut seperti kecelaruan rohani, kekeliruan nilai akhlak, dan tahap perhubungan sosial yang sebenar dalam diri pelajar.

Hasilnya, perubahan yang drastik dalam hubungan komunikasi masyarakat dunia berlaku. Ini menjadikan dua cabaran besar alaf baru ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani dan diatasi ke arah membentuk watak dan peribadi pelajar. Justeru itu, agenda penting untuk membangun rakyat Malaysia melalui sistem pendidikan yang bermutu ialah memperkasakan sistem pendidikan negara. Ia sejajar dengan plan tindakan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Hj Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini. Dengan menekankan teras kedua plan tersebut iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama, maka ia diharap dapat mematikan langkah sumbang warga pendidik dalam mendidik anak bangsa. Maka, kedua-dua agenda ini harus dididokong oleh para pendidik walaupun menyedari cabaran yang dihadapi pada alaf baru ini sangat berat dan mencabar.

Justeru, para pendidik perlu sedar bahawa dalam usaha negara menghadapi masa depan yang penuh saingan, maka pendidikan adalah bersifat futuristik. Oleh itu, kita hendaklah mampu menyediakan generasi muda kita untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan berupa masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat yang tidak dapat di tapis keaslian sumbernya.

Sebagai pengimbang di atas segala kecanggihan berikut, INFINITI menyarankan agar golongan pendidik perlu berusaha untuk melahirkan generasi berilmu yang mampu untuk berfikir secara kritis, menilai mengikut analisis dan bertindak mengikut perancangan dan fakta yang tepat dan boleh dipercayai demi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi yang terkini, serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini.

Dalam pada itu, perkembangan ekonomi dan industri yang berlaku dengan pesatnya tidak bermakna jika tidak diseimbangkan dengan kesejahteraan sosial dan kebudayaan yang terpelihara. Kita pasti tahu, cabaran yang sedia wujud seperti masalah remaja, dadah, seks bebas, samseng sekolah, ponteng, dan berbagai kes salah laku perlu ditangani dengan bijaksana. Para pendidik seharusnya menghadapi cabaran ini sebagai satu peluang (oppoturnity) secara komited dengan menggunakan wadah pendekatan nilai merentasi kurikulum persekolahan untuk membentuk masyarakat madani di kalangan pelajar dan masyarakat. Ini satu cabaran yang INFINITI lontarkan pada warga pendidik..

INFINITI berpendapat, dalam konsep menggunakan peluang, guru saharusnya memahami satu konsep iaitu ; orang yang cerdik, mereka mencipta peluang baru. Orang yang biasa pula ialah mereka yang menggunakan peluang yang ada manakala orang yang rugi adalah mereka yang mensia-siakan peluang. Justeru, guru sebagai individu yang berintelek seharusnya mampu mencipta peluang atau setidak-tidaknya menggunakan peluang yang ada.

Sehubungan dengan itu, ilmu, kemahiran dan kepakaran adalah pra-syarat yang perlu dimiliki oleh para guru sebagai pengurus, pentadbir dan pengelola. Sementara pengalaman pula merupakan nilai tambah atau ‘add value’ kepada keupayaan sedia ada. Seterusnya, usaha menyelami perasaan, menghayati, simpati, bertimbang rasa dan bertolak ansur pula merupakan kualiti peribadi pelengkap kepada seorang pengurus sumber manusia yang cemerlang. Pra-syarat sebagai seorang guru yang cemerlang adalah memiliki kekuatan keperibadian, kekuatan peranan dan kekuatan pengetahuan.

Kita akan berhadapan dengan perubahan paradigma masyarakat serta perubahan persepsi terhadap para guru. Semua ini akan terus mewarnai dunia pendidikan dengan pelbagai warna mengakibatkan berlakunya perubahan yang tidak dapat dijangkakan. Semua ini akan memberi kesan kepada penduduk dunia. Dalam konteks ini, guru mesti dapat memahami perubahan-perubahan ini. Paling mustahak guru mesti dapat mengurus dan menjadi pengurus kepada perubahan-perubahan ini dan bukan hanya menjadi penonton kepada perubahan ini!!

Bola Sepak Kelantan ; Masa depan dan harapan


Bagi meraikan pengunjung2 setia blog INFINITI yg terdiri daripada segenap masyarakat yang mempunyai kecenderungan masing-masing, maka kali ini INFINITI akan berkongsi dengan anda semua yang setia mengikuti perkembangan bola sepak Kelantan (KAFA). INFINITI sendiri tidak segan silu untuk membuat perakuan bahawa pasukan ini adalah pasukan yang paling diminati INFINITI dalam banyak-banyak team bola sepak tanah air mahupun team dari negara luar . Alasannya mudah. INFINITI adalah orang kelantan, berketurunan kelantan, mengalir darah kelantan, berbahasa pekat loghat kelantan dan juga YDP pada Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya. Maka, tidak usah mencipta sebab yang berbunga atau bersandarkan hipokrit yang tidak berjejak pada bumi yg nyata. Cukup dengan melahirkan apa yang dibicara oleh hati dan jiwa yang sudah sebati dengan budaya kelantan yang amat disanjungi.

Berbalik pada tajuk yang ingin dibicarakan oleh INFINITI, secara mudahnya INFINITI ingin berkongsi dengan sidang pembaca sekalian mengenai masa depan dan harapan pada skuad Kijang Emas yang baru dibentuk ini. Bermula dengan peralihan kuasa di peringkat pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sehinggalah kepada strktur pemilihan jurulatih dan pemain dan sekarang perhatian peminat-peminat bola sepak kelantan lebih terfokus kepada calon-calon pemain import yang akan mewarnai corak permainan kelantan bagi musim ini.

Pada peringkat awal, KAFA memfokuskan perhatian kepada calon yang akan menyandang jawatan Presiden yang akan menggantikan tampuk kepimpinan terdahulu di bawah En. Jazlan Yakob. Suasana pertandingan atau saingan dapat digambarkan ketika ini apabila ada beberapa nama yang disebut2 akan mengisi slot tersebut. Antara nama2 yang mendapat pencalonan ramai ialah, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan), YB Datuk Taqiyyuddin Hassan (Exco Kerajaan Negeri), En. Azman(Bekas Pengurus bola sepak kelantan, dan Dato' Sri Panglima Annuar Musa (Ketua Perhubungan UMNO Kelantan). Setelah Mesyuarat Agung Tahunan dijalankan, maka ahli mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Dato' Sri Panglima Annuar Musa sebagai Presiden baru KAFA.

Walau apa pun keputusan yang dibuat, yang penting pengurusan baru yang dilantik ini mesti membuktikan sesuatu yang bermakna dan bermanfaat di atas perlantikan tersebut. Isu-isu utama yang membelenggu KAFA sejak zaman-berzaman seperti masalah pembayaran gaji kepada pemain, elaun dan kebajikan mereka mesti diletakkan dalam visi utama pembawakan kepimpinan baru ini. Kita tidak lagi mahu mendengar masalah tunggakan gaji ke atas pemain berlaku dalam era kepimpinan baru KAFA ini.

Umum megetahui bahawa bola sepak kelantan adalah salah satu kuasa besar bola sepak tanah air yang suatu ketika dahulu amat digeruni oleh mana-mana pasukan yang turut bertanding dalam kancah bola sepak tanah air. Lagenda-lagenda Kelantan sepeti Dali Omar, Nik Leh, Tuan Kamri Tuan Yahya dan Hashim Mustaffa adalah pemain yang dianggap berbahaya oleh benteng-benteng pertahanan pasukan lain. INFINITI berkeyakinan besar bahawa lagenda-lagenda seperti itu mampu dihasilkan sekali lagi oleh pasukan kelantan pada musim ini memandangkan KAFA sudah berjaya mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan iaitu Norizan Bakar atau lebih mesra dipanggil Cikgu Jan oleh peminat-peminat bola sepak tanah air yang mengenali beliau dengan sifat yang tenang, dan warak.

Apa lagi yang dimahukan oleh KAFA? Punya Presiden yang berpengalaman dalam bidang sukan (pernah memegang tampuk kepimpinan kementerian belia sukan) dan jurulatih yang berpengalaman dalam perlawanan antarabangsa (bekas jurulatih kebangsaan), maka tidak ada alasan kepimpinan KAFA dan pemain-pemainnya untuk membuktikan sesuatu pada musim ini. Yang penting, lakukan pemilihan pemain yang teliti dan terbaik berdasarkan kemampuan, kemahiran, dan semangat untuk sama-sama menaikkan imej skuad 'kijang emas'. Pemain import amat penting. Tetapi perlu pastikan walau kuantitinya sekadar 3 orang sahaja, namun mutu kualitinya berjaya membantu pemain tempatan yang rata-ratanya berumur lingkungan 24 kebawah yang 'dikutip' segenap daerah dan kampung.

Mengenai keserasian pemain pula, berdasarkan siri-siri perlawanan persahabatan skuad ini dengan pasukan seperti PKNS Selamgor, Kuala Lumpur dan Kl Plus, maka bagi INFINITI yang turut menyaksikan perlawanan tersebut berpendapat bahawa mutu permainan skuad Cikgu Jan ini masih banyak yang perlu diperbaiki dan diatasi. Ketepatan hantaran, keserasian, komunikasi, dan skill mengelecek perlu ditingkatkan seINFINITI mungkin. Dengan tahap sekarang, INFINITI beranggapan pasukan ini masih jauh ketinggalan dengan skuad elit lain seperti Perlis dan Kedah.

Apapun, pasukan muda ini perlu memandang ke hadapan. Walau rata-rata pemain masih mentah dan tidak ada pengalaman dalam permainan bola sepak profesional, namun nama-nama seperti Mohd Safuan, Mohd Saufi dan pemain muda lain lagi perlu beraksi di padang dengan corak permainan individu yang tinggi dan berkeyakinan bagi merobek gawang pasukan lawan. Ada semangat, rajin berlatih dan punya disiplin tinggi adalah syarat utama untuk setiap pemain muncul antara pemain yang digeruni lawan.

Ayuh SKUAD KIJANG EMAS, kamu mampu lakukan anjakan paradigma demi masa depan skuad ini. Untuk peminat, jangan cepat melatah dan mencemuh kerana itu semua akan membuatkan semangat pemain-pemain kendur dan layu dalam kritikan berbaur penghinaan peminat sendiri!! Kita ingin membina, bukan menghina!! Masa depan, harapan dan cabaran terletak di atas bahu kita bersama. Bersama INFINTI mendokong skuad ini. Tradisi mencabar mampu menggerunkan lawan, semangat perlu ditonjolkan, permainan emas akan disajikan..

AMANAH DAN FITNAH DALAM KEPIMPINAN









Untuk mengisi ruangan INFINITI kali ini, saya berpandukan pada Hadith junjungan kita, pemimpin ideal sepanjang zaman iaitu baginda Nabi Mohamad SAW yang bermaksud : " Setiap orang daripada kamu adalah sebagai pemimpin, dan setiap daripada kamu akan disoal tentang kepimpinan kamu ".

Hadith ini cukup jelas kepada kita menyentuh perihal kepimpinan pada diri setiap makhluk yang bergelar manusia atau khalifah di atas muka bumi ini. Bermaksud, jika kamu manusia, kamu ada tanggungjawab. Bila ada tangungjawab, awas!!!, beringatlah kamu kerana kamu pasti dan pasti akan disoal oleh Allah tentang tanggungjawab yang kamu kerjakan. Kamu tunaikan tanggungjawab atau tidak, sekarang bukan tempat kamu berbangga atas tertunainya tanggungjawab tersebut atau kamu dihina atas ketidakpedulian kamu pada amanah tersebut.

Tetapi, yang pasti kamu akan bersoal di depan Allah suatu hari nanti. Janji yang dikatakan Allah dalam al-Quran tetapi akan hanya terlaksana di akhirat kelak. Kamu akan berdepan dengan mahkamah Allah. Bukan mahkamah kerajaan yang dikuasai manusia, tetapi mahkamah Allah yang Dia sendiri mentadbirnya. Jika di dunia, kamu bisa mengubah fakta yang benar agar kamu tidak didakwa dan dipersalahkan. Tetapi di akhirat kelak, kamu tidak berupaya mengubahnya. Di dunia, kamu melalui proses pendakwaan dan pengumpulan maklumat tentang kesalahanmu, tetapi di sana kamu hanya menunggu sahaja fakta yang telah ditulis oleh malaikat-malaikat Allah yang tidak tersilap sedikit pun dalam memberi penilaian kepada amalan dan kerjaan kamu.

Data, fakta dan pembuktian telah tersedia ada. Cuma giliran kamu hanya mendengarnya sahaja. Kamu baik, kamu amanah, kamu soleh, kamu bertaqwa, pasti kamu tersenyum gembira dengan senyuman keimanan yang terpancar diwajahmu. Tetapi jika kamu jahat, kamu banyak dosa, kamu tidak menjalankan amanah dan kamu tidak beriman dengan Pencipta Alam, kamu akan sedih dan kecewa bersama dengan terselahnya kegelapan dosa di wajahmu.


Tanggungjawab bukan perkara main-main wahai insan yang hendak dipanggil manusia. Kamu pasti tahu al-Quran telah menunjukkan satu cerita sebagai teladan kepada kita. Perihal amanah telah disentuh oleh Allah di dalam KalamNya yang benar itu. Bukit itu hebat dek sifatnya yang besar, gagah dan teguh kerana berpacak di atas bumi yang mendampar ini. Tetapi bukit tidak menerima amanah tannggungjawab tersebut. Tetapi manusia yang penuh dengan keegoaannya tidak segan silu menerima amanah tersebut.

Manusia bongkak kah?? Mungkin ya mungkin tidak. Ya, jika dia menerimanya tapi tak melaksanakannya. Tidak, kerana dia menunaikan apa yang dipikulnya itu. Kamu bermain-main dengan amanah, tetapi kamu langsung tidak memikirkan apa yang kamu akan terima kelak. Kamu buat main-main, tetapi ingat kamu akan di soal oleh Allah dengan bersungguh-sunnguh. Kamu kata kamu pikul amanah itu sekejap sahaja, tetapi ingat kamu akan bersoal dengan Allah tentang amanah ini dalam jangka masa yang lama. Kamu tidak menjalankan amanah tersebut, tapi ingat kamu akan disoal juga walaupun kamu tak mengerjakannya.


Maka, jika kamu hendak berbangga, kamu berbanggalah walhal kamu tidak menunaikannnya dan kamu terhinalah sehina-hinanya tetapi pastikan kamu terhina dengan memikul panji-panji perjuangan memikul amanah Allah iaitu meneggakkan Islam di atas muka bumi Allah. Kamu terhina, tetapi kamu ada Syurga. Ianya manis tetapi perlu melalui perjalanan yang pahit lagi getir. Mudah-mudahan Allah menempatkan diri kita dalam kepahitan perjuangan tetapi akan merasai kemanisan iman dan kemaduan Syurga yang tiada nilai gantinya...