BERTUAHNYA KITA DIHADIAHKAN RAMADHAN










Bila INFINITI berbica
ra...


Semalam saya menjadi imam di surau perumahan blok 21 Pantai Dalam. Bulan Ramadhan ini saya ditugaskan untuk menjadi imam di surau tersebut. Bersama saya, ada tiga orang lagi yang turut ditugaskan menjadi imam terawih di situ. Ikut hati, berat juga untuk saya menerima tawaran tersebut. Apa tidaknya, sebelum Ramadhan lagi saya sudah merancang untuk solat terawih di masjid-masjid yang berlainan. Bagi saya, selain mendapat pengalaman baru kita juga dapat menambahkan lagi kenalan saudara seislam kita. Kehidupan yang ditempuhi seharian tidak bermakna jika kita tidak berjaya menambahkan jumlah kenalan. Inilah nasihat guru saya semasa menuntut di sekolah menengah 5 tahun yang lepas.

Kita orang Islam memang sangat beruntung kerana Allah menganugerahkan kita bulan yang tersangat mulia ini. " Mud, beruntung kita kerana dipilih menjadi orang Islam...", Kata-kata yang saya lafazkan kepada seorang rakan serumah, Mahmud. Sambung saya lagi " Kalau kita ni bukan Islam, kita belum tentu dapat memiliki bulan yang penuh berkat ini". " Mahmud lalu mengiakan kata-kata saya tadi..."Ya, kalau lah kita ini bukan Islam, kita tak kan jumpa dengan Ramadhan seperti ini". Ya, memang Ramadhan HANYA untuk umat yang bertuah sahaja. Umat bertuah itu adalah umat Islam...Umat Nabi Muhammad S.A.W...Umat yang paling mulia!

Saya memang rasa sangat betuah. Hati saya sangat memerlukan bulan ini. Diri saya mendambakan bulan ini. Saya RINDU kepada bulan yang bernama Ramadhan ini. Ramadhan membuatkan saya menginsafi diri yang dicalit kehitaman di hati penuh dosa ini. Saya menyedari iman ini turun naik. Saya amat bimbang jika mati saya di kala iman saya turun. Saya minta jauh-jauh Allah meletakkan saya dalam keadaan itu. Allah ini sangat sayangkan hambanya, maka Allah sediakan dalam setahun itu, satu bulan untuk dijadikan 'bengkel' membaiki hati-hati yang lalai seperti saya ini. Saya mula mengerti semua ini...

"Muslimin muslimat yang dirahmati.." Saya mula berceramah selepas 4 rakaat pertama solat terawih semalam. " Kita patut rasa bersyukur kerana perjuangan Nabi kita Muhammad S.A.W lah, kita kenal Islam". Saya membuka ceramah dengan mengajak hadirin yang hadir untuk rasa berterima kasih baginda. Kalaulah Nabi kita tidak berjuang membawa Islam, maka apakah jaminan untuk kita mengatakan kita ini akan menjadi orang Islam? Itulah persoalan yang saya kemukakan kepada diri saya dan hadirin yang hadir semalam. Sebenarnya kita ini berhutang dengan baginda Nabi Muhammad S.A.W junjungan kita. Kita berhutang harga nilaian perjuangan perit baginda Nabi untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Ya, kita telah berhutang dan adakah kita telah membayar hutang-hutang tersebut?


Bulan Ramadhan ini adalah bulan terbaik untuk kita membayar segala hutang kita itu. Bulan yang Allah penjarakan sekalian syaitan dan iblis buat memudahkan kita beribadat kepadaNya dan membuka ruang kepada kita untuk membayar hutang yang sudah lama tertunggak kepada junjungan kita itu. Bulan ini sudah tidak ada lagi musuh manusia yang pernah berjanji di hadapan Allah suatu ketika dahulu. Janjinya adalah satu iaitu untuk menyesatkan sekalian manusia bagi bersama-samanya ke neraka yang penuh azab. Bulan ini kita bertempur dengan hanya satu musuh iaitu nafsu diri yang tidak suka membuat kebaikan.

Maka, marilah kita sama-sama tingkatkan amalan ibadat kita dan perbanyakkanlah selawat kepada baginda kerana inilah harga hutang yang perlu setiap umat Islam membayarnya. Sudah lama kita melupakan junjungan Nabi...Kita ibarat kacang lupakan kulit. Kini, marilah kita menginsafi diri yang penuh daif ini.

Saya mengakhirkan siri ceramah saya semalam dengan mengajak penduduk blok tersebut agar dapat memenuhi surau tersebut sepanjang bulan ini. Kalaupun saya tidak berpeluang untuk menjelajah masjid-masjid yang ada di sekitar Lembah Klang sepanjang bulan ini, saya tidak akan menyesal kerana bagi saya peluang untuk bersama penduduk di blok ini adalah pengalaman yang sangat berharga. Paling tidak, saya sudah dapat memenuhi tuntutan berjiran yang disarankan baginda Nabi S.A.W....

SALAM RAMADHAN buat umat yang BERTUAH!!

1 Respon Anda?:

HAZWAN HJ. MOHD NOR said...

ramadhan mmg special. ada ambience yang tersendiri.

smg ramadhan kali ini lebih baik.

ameen.