PAGI-PAGI YANG BERLALU

Bila INFINITI berbicara..


Hari ini selepas solat subuh, saya mengambil naskah al-quran untuk membaca dan dan mentadbur isinya. Kebetulan hati saya tergerak untuk membuka surah ad-dhuha. Surah yang diturunkan di Mekah yang mngandungi 11 ayat ini memperlihatkan bahawa Allah S.W.T bersumpah dengan waktu dhuha di awal surahnya. Setelah beberapa minit mentadbur isi kalimah kalam Allah ini, saya kemudian berjumpa dengan ayat ke-7 surah ini yang bermaksud “Dan didapatinya engkau miskin, lalu ia memberi kekayaan”.

Penggunaan perkataan engkau di sini ditujukan kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W. Sebab itu, antara intisari surah ini adalah menjelaskan situasi ketika mana baginda mengalami kemiskinan lalu diberi kekayaaan melalui perniagaan sehingga baginda terkenal sebgai ahli perniagaan yang berjaya.( lihat tafsir pimpinan Ar-Rahman).

Cita-cita saya ingin menjadi seorang ahli perniagaan yang terkenal. Saya tertarik dengan ketokohan yang ada pada seorang ahli perniagaan yang menubuhkan Yayasan al-Bukhari. Beliau mensedekahkan hampir 50% hasil perniagaannnya kepada anak-anak yatim dan orang yang memerlukan. Ini lah contoh terbaik yang perlu membuka mata pihak korporat yang lain. Saya juga ingin menjadi sepertinya. Tetapi saya kekurangan satu perkara yang ada pada dirinya dan orang-orang lain yang telah berjaya. Saya suka tidur waktu pagi atau lebih tepat lagi selepas subuh.

Masa cuti semester seperti ini, saya banyak menghabiskan waktu di kampong. Pagi-pagi sebegini, memang saya suka tidur. Entah mengapa tabiat yang dimulakan selepas tamat pengajian di Universiti Malaya, Nilam Puri dulu seakan menjadi satu tabiat hitam yang susah hendak saya tinggalkan. Pernah banyak kali nenek saya membebel dan memarahi saya kerana sering tidur pagi. Lebih menambahkan kemarahannya lagi adalah kerana saya hanya akan bangkit dari tidur selepas tengahari dan kadang-kadang melarat sampai jam 2 petang lebih. Memang sukar dipercayai, saya telah mengorbankan waktu-waktu berharga saya untuk menghirup udara segar di pagi -pagi tersebut.

Nenek selalu mengatakan bahawa orang yang suka tidur pagi akan menjadi papa kedana. Katanya rezeki tak ada. Dulu saya sukar mempercayainya. Sekarang, saya nampak kata-katanya sudah menembusi kewarasan fikiran saya. Saya tefikir dan terus berfikir. Adakah apa yang nenek saya katakan itu ada kaitan denga ayat yang saya bacakan tadi dalam surah ad-dhuha? Saya cuba meleraikan kekusutan yang bermain di fikiran saya ketika itu. Lalu saya memandang ke langit yang ketika itu sudah sedikit menampakkan awanan yang cukup kebiruan.

Oh, saya telah menggadaikan waktu pagi saya sebelum ini. Saya terfikir, macamana saya hendak menggantikan pagi-pagi yang telah saya ‘jual’ kepada nafsu saya sebelum ini? Saya terus memandang langit. Saya teringat kata-kata nenek, waktu pagi waktu turunnya rezeki. Saya mencari apa maksud kata-katanya itu. Kalu waktu pagi, biasanya keluarga saya menyiapkan sarapan untuk keluarga. Saya seringkali tidak sempat menjamah hasil tangan ibu saya. Saya tidak sempat merasai rezeki makanan itu. Saya terlepas menerima rezeki. Semuanya kerana tabiat tidur saya. Adakah ini yang dimaksudkan nenek saya? Saya lantas tertunduk menyesal selepas seakan nampak sedikit kebenarannya.

Kekadang, kawan-kawan lama saya seringkali menziarahi saya di pagi hari. Saya seringkali mengatakan kepada adik-adik saya andainya ada orang datang mencari saya, katakan sahaja saya tidak ada di rumah. Sekali lagi nama saya tidak ada dalam senarai penerima rezeki Allah di pagi itu. Saya tidak berkesempatan untuk menerima rezeki ukhuwah fillah sesama umat Islam. Gara-gara saya tidurlah, peluang untuk menambahkan pahala pagi di pagi tersebut berlalu begitu sahaja.

Rezeki memang tidak memandang kepada orang yang suka tidur di pagi hari. Kerana rezeki mencari orang yang bersyukur di atas nikmat pemberian Ilahi. Nikmat pagi yang Allah berikan, saya telah nodai. Kini pagi-pagi itu telah berlalu pergi meninggalkan saya seorang diri. Sekarang saya cuba kaitkan apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam ayat ke-7 ad-dhuha tadi. Adakah dengan tabiat buruk ini akan menyempitkan sumber rezeki saya? Atau kalaupun saya dapat rezeki tersebut, adakah rezeki tersebut tidak berkat? Semua ini saya fikirkan kerana seringkali duit simpanan saya tidak dapat dikumpul. Kekadang, saya tidak tahu ke mana saya habiskan duit tersebut kerana saya tidak menyedarinya. Saya binggung...

Memang di pagi hari, orang sibuk mencari rezeki bahkan ada yang berlumba-lumba untuk menambahkan pendapatan. Tetapi saya? Apa yang telah saya usahakan untuk merealisasikan impian bergelar ahli perniagaan terkenal nanti? Orang sibuk mengerjakan solat sunat dhuha untuk kberkatan diri dan dimurahkan rezeki. Tetapi saya dengan mimpi yang tlah melayang entah ke mana. Ya Allah...ku telah membaziri nikmatmu.. Air mata perlahan menuruni membasahi pipi saya. Biarlah....biarlah ia turun kerana saya tahu bahawa banyak sekalipun air mata yang keluar, namun ia masih lagi tidak dapat membayar nilaian harga pagi-pagi yang dah berlalu...

Wahai sang pagi, berikanlah aku peluang ini walau sekali. Aku ingin mengecapi nikmat merasi kesejukan pagi dan kelembutan tiupan angina yang mendiginkan..aku ingin sekali menemanimu sehingga hilangnya waktu pagi kerana aku ingin sekali menjadi ahli dhuha yang menjadikan sunat dhuha sebagai amalan di tika itu. Dengarlah rintihan dan harapan ku. Ku teringin melihat temanmu sang mentari naik di timur. Ku ingin mendengar nyayian sang burung yang melagukan bait-bait lagu buat mengindahkan waktumu..aku ingin menjadi salah seorang ahlimu. Kalau lah aku terus ketinggalan menikmati suasana ketika itu, selama itulah aku akan mencari jawapan kepada persoalan “macamana aku hendak mengantikan pagi2 yang dah berlalu..."mana cara aku hendak menggantikan pagi-pagi yang telah berlalu…”

0 Respon Anda?: