Bola Sepak Kelantan ; Masa depan dan harapan


Bagi meraikan pengunjung2 setia blog INFINITI yg terdiri daripada segenap masyarakat yang mempunyai kecenderungan masing-masing, maka kali ini INFINITI akan berkongsi dengan anda semua yang setia mengikuti perkembangan bola sepak Kelantan (KAFA). INFINITI sendiri tidak segan silu untuk membuat perakuan bahawa pasukan ini adalah pasukan yang paling diminati INFINITI dalam banyak-banyak team bola sepak tanah air mahupun team dari negara luar . Alasannya mudah. INFINITI adalah orang kelantan, berketurunan kelantan, mengalir darah kelantan, berbahasa pekat loghat kelantan dan juga YDP pada Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya. Maka, tidak usah mencipta sebab yang berbunga atau bersandarkan hipokrit yang tidak berjejak pada bumi yg nyata. Cukup dengan melahirkan apa yang dibicara oleh hati dan jiwa yang sudah sebati dengan budaya kelantan yang amat disanjungi.

Berbalik pada tajuk yang ingin dibicarakan oleh INFINITI, secara mudahnya INFINITI ingin berkongsi dengan sidang pembaca sekalian mengenai masa depan dan harapan pada skuad Kijang Emas yang baru dibentuk ini. Bermula dengan peralihan kuasa di peringkat pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sehinggalah kepada strktur pemilihan jurulatih dan pemain dan sekarang perhatian peminat-peminat bola sepak kelantan lebih terfokus kepada calon-calon pemain import yang akan mewarnai corak permainan kelantan bagi musim ini.

Pada peringkat awal, KAFA memfokuskan perhatian kepada calon yang akan menyandang jawatan Presiden yang akan menggantikan tampuk kepimpinan terdahulu di bawah En. Jazlan Yakob. Suasana pertandingan atau saingan dapat digambarkan ketika ini apabila ada beberapa nama yang disebut2 akan mengisi slot tersebut. Antara nama2 yang mendapat pencalonan ramai ialah, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan), YB Datuk Taqiyyuddin Hassan (Exco Kerajaan Negeri), En. Azman(Bekas Pengurus bola sepak kelantan, dan Dato' Sri Panglima Annuar Musa (Ketua Perhubungan UMNO Kelantan). Setelah Mesyuarat Agung Tahunan dijalankan, maka ahli mesyuarat telah bersetuju untuk melantik Dato' Sri Panglima Annuar Musa sebagai Presiden baru KAFA.

Walau apa pun keputusan yang dibuat, yang penting pengurusan baru yang dilantik ini mesti membuktikan sesuatu yang bermakna dan bermanfaat di atas perlantikan tersebut. Isu-isu utama yang membelenggu KAFA sejak zaman-berzaman seperti masalah pembayaran gaji kepada pemain, elaun dan kebajikan mereka mesti diletakkan dalam visi utama pembawakan kepimpinan baru ini. Kita tidak lagi mahu mendengar masalah tunggakan gaji ke atas pemain berlaku dalam era kepimpinan baru KAFA ini.

Umum megetahui bahawa bola sepak kelantan adalah salah satu kuasa besar bola sepak tanah air yang suatu ketika dahulu amat digeruni oleh mana-mana pasukan yang turut bertanding dalam kancah bola sepak tanah air. Lagenda-lagenda Kelantan sepeti Dali Omar, Nik Leh, Tuan Kamri Tuan Yahya dan Hashim Mustaffa adalah pemain yang dianggap berbahaya oleh benteng-benteng pertahanan pasukan lain. INFINITI berkeyakinan besar bahawa lagenda-lagenda seperti itu mampu dihasilkan sekali lagi oleh pasukan kelantan pada musim ini memandangkan KAFA sudah berjaya mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan iaitu Norizan Bakar atau lebih mesra dipanggil Cikgu Jan oleh peminat-peminat bola sepak tanah air yang mengenali beliau dengan sifat yang tenang, dan warak.

Apa lagi yang dimahukan oleh KAFA? Punya Presiden yang berpengalaman dalam bidang sukan (pernah memegang tampuk kepimpinan kementerian belia sukan) dan jurulatih yang berpengalaman dalam perlawanan antarabangsa (bekas jurulatih kebangsaan), maka tidak ada alasan kepimpinan KAFA dan pemain-pemainnya untuk membuktikan sesuatu pada musim ini. Yang penting, lakukan pemilihan pemain yang teliti dan terbaik berdasarkan kemampuan, kemahiran, dan semangat untuk sama-sama menaikkan imej skuad 'kijang emas'. Pemain import amat penting. Tetapi perlu pastikan walau kuantitinya sekadar 3 orang sahaja, namun mutu kualitinya berjaya membantu pemain tempatan yang rata-ratanya berumur lingkungan 24 kebawah yang 'dikutip' segenap daerah dan kampung.

Mengenai keserasian pemain pula, berdasarkan siri-siri perlawanan persahabatan skuad ini dengan pasukan seperti PKNS Selamgor, Kuala Lumpur dan Kl Plus, maka bagi INFINITI yang turut menyaksikan perlawanan tersebut berpendapat bahawa mutu permainan skuad Cikgu Jan ini masih banyak yang perlu diperbaiki dan diatasi. Ketepatan hantaran, keserasian, komunikasi, dan skill mengelecek perlu ditingkatkan seINFINITI mungkin. Dengan tahap sekarang, INFINITI beranggapan pasukan ini masih jauh ketinggalan dengan skuad elit lain seperti Perlis dan Kedah.

Apapun, pasukan muda ini perlu memandang ke hadapan. Walau rata-rata pemain masih mentah dan tidak ada pengalaman dalam permainan bola sepak profesional, namun nama-nama seperti Mohd Safuan, Mohd Saufi dan pemain muda lain lagi perlu beraksi di padang dengan corak permainan individu yang tinggi dan berkeyakinan bagi merobek gawang pasukan lawan. Ada semangat, rajin berlatih dan punya disiplin tinggi adalah syarat utama untuk setiap pemain muncul antara pemain yang digeruni lawan.

Ayuh SKUAD KIJANG EMAS, kamu mampu lakukan anjakan paradigma demi masa depan skuad ini. Untuk peminat, jangan cepat melatah dan mencemuh kerana itu semua akan membuatkan semangat pemain-pemain kendur dan layu dalam kritikan berbaur penghinaan peminat sendiri!! Kita ingin membina, bukan menghina!! Masa depan, harapan dan cabaran terletak di atas bahu kita bersama. Bersama INFINTI mendokong skuad ini. Tradisi mencabar mampu menggerunkan lawan, semangat perlu ditonjolkan, permainan emas akan disajikan..

1 Respon Anda?:

Anonymous said...

terima kasih atas informasi tentang bola sepak ini =)