FUTURISTIK IKLIM PERGURUAN

:: PENDIDIKAN ::

Abad ke-21 akan terus membawa perubahan akibat globalisasi, kemajuan ilmu
sains, teknologi dan pengetahuan. Cabaran global yang mengelilingi dunia pendidikan hari ini umpamanya semakin kompleks dan begitu menguji kemahiran pemimpin pendidikan dari setiap damensi. Ia bukan sahaja menguji kemampuan dan ketahanan mental, fizikal, emosi dan rohani, malah ia menagih pengorbanan yang tidak terbatas dari segi pemikiran, tenaga, masa dan kewangan. Mengurus, mentadbir dan mengelola sumber merupakan tumpuan tenaga pengurus, pentadbir dan pengelola dalam sesebuah organisasi. Kepelbagaian sumber dengan kepelbagaian sifatnya memerlukan percaturan, pengadunan dan pengolahan yang cekap dan berkesan

Perubahan-perubahan yang hebat dan pantas dalam aspek ekonomi, budaya dan politik itu sendiri adalah cabaran besar yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia khususnya warga guru. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa sejak dari dahulu lagi cabaran-cabaran itu sudah wujud dan diperbincangkan, tetapi kali ini ia dijangka lebih hebat dan kritikal ekoran wujudnya sumbangan teknologi yang lebih baru dan canggih. Masalah yang timbul dari cabaran tersebut seperti kecelaruan rohani, kekeliruan nilai akhlak, dan tahap perhubungan sosial yang sebenar dalam diri pelajar.

Hasilnya, perubahan yang drastik dalam hubungan komunikasi masyarakat dunia berlaku. Ini menjadikan dua cabaran besar alaf baru ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani dan diatasi ke arah membentuk watak dan peribadi pelajar. Justeru itu, agenda penting untuk membangun rakyat Malaysia melalui sistem pendidikan yang bermutu ialah memperkasakan sistem pendidikan negara. Ia sejajar dengan plan tindakan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Hj Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini. Dengan menekankan teras kedua plan tersebut iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama, maka ia diharap dapat mematikan langkah sumbang warga pendidik dalam mendidik anak bangsa. Maka, kedua-dua agenda ini harus dididokong oleh para pendidik walaupun menyedari cabaran yang dihadapi pada alaf baru ini sangat berat dan mencabar.

Justeru, para pendidik perlu sedar bahawa dalam usaha negara menghadapi masa depan yang penuh saingan, maka pendidikan adalah bersifat futuristik. Oleh itu, kita hendaklah mampu menyediakan generasi muda kita untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan berupa masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat yang tidak dapat di tapis keaslian sumbernya.

Sebagai pengimbang di atas segala kecanggihan berikut, INFINITI menyarankan agar golongan pendidik perlu berusaha untuk melahirkan generasi berilmu yang mampu untuk berfikir secara kritis, menilai mengikut analisis dan bertindak mengikut perancangan dan fakta yang tepat dan boleh dipercayai demi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi yang terkini, serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini.

Dalam pada itu, perkembangan ekonomi dan industri yang berlaku dengan pesatnya tidak bermakna jika tidak diseimbangkan dengan kesejahteraan sosial dan kebudayaan yang terpelihara. Kita pasti tahu, cabaran yang sedia wujud seperti masalah remaja, dadah, seks bebas, samseng sekolah, ponteng, dan berbagai kes salah laku perlu ditangani dengan bijaksana. Para pendidik seharusnya menghadapi cabaran ini sebagai satu peluang (oppoturnity) secara komited dengan menggunakan wadah pendekatan nilai merentasi kurikulum persekolahan untuk membentuk masyarakat madani di kalangan pelajar dan masyarakat. Ini satu cabaran yang INFINITI lontarkan pada warga pendidik..

INFINITI berpendapat, dalam konsep menggunakan peluang, guru saharusnya memahami satu konsep iaitu ; orang yang cerdik, mereka mencipta peluang baru. Orang yang biasa pula ialah mereka yang menggunakan peluang yang ada manakala orang yang rugi adalah mereka yang mensia-siakan peluang. Justeru, guru sebagai individu yang berintelek seharusnya mampu mencipta peluang atau setidak-tidaknya menggunakan peluang yang ada.

Sehubungan dengan itu, ilmu, kemahiran dan kepakaran adalah pra-syarat yang perlu dimiliki oleh para guru sebagai pengurus, pentadbir dan pengelola. Sementara pengalaman pula merupakan nilai tambah atau ‘add value’ kepada keupayaan sedia ada. Seterusnya, usaha menyelami perasaan, menghayati, simpati, bertimbang rasa dan bertolak ansur pula merupakan kualiti peribadi pelengkap kepada seorang pengurus sumber manusia yang cemerlang. Pra-syarat sebagai seorang guru yang cemerlang adalah memiliki kekuatan keperibadian, kekuatan peranan dan kekuatan pengetahuan.

Kita akan berhadapan dengan perubahan paradigma masyarakat serta perubahan persepsi terhadap para guru. Semua ini akan terus mewarnai dunia pendidikan dengan pelbagai warna mengakibatkan berlakunya perubahan yang tidak dapat dijangkakan. Semua ini akan memberi kesan kepada penduduk dunia. Dalam konteks ini, guru mesti dapat memahami perubahan-perubahan ini. Paling mustahak guru mesti dapat mengurus dan menjadi pengurus kepada perubahan-perubahan ini dan bukan hanya menjadi penonton kepada perubahan ini!!

0 Respon Anda?: