Bila INFINITI berbicara..
Saya teruja sekali apabila menyaksikan perlawanan bola sepak Kejohanan Eropah (EURO 2008) pagi semalam. Memang mengejutkan sekali apabila menyaksikan pasukan bukan pilihan Russia yang berjaya menewaskan pasukan pilihan juara iaitu ”The Oranje”, Belanda dengan margin yang cukup besar iaitu 3-1. Memang pada awal saingan Rusia langsung tidak diberi harapan berbanding pasukan-pasukan pilihan lain seperti Belanda, Itali, Sepanyol, Jerman dan Portugal. Ini kerana mereka sebenarnya pasukan hingusan bahkan boleh dikatakan ’budak’ yang baru sahaja hendak belajar cara menyepak bola sepak di era moden ini.
Sebenarnya bukan ini sahaja kejutan yang Rusia lakukan kerana sebelum mereka bertemu dengan Belanda dalam singan suku akhir semalam, mereka terlebih dahulu menewaskan pasukan Sweden dengan jaringan 2-0. Sebenarnya selepas perlawanan tersebut, saya dah mula menaruh harapan dengan skuad pimpinan Guss Hiddink ini kerana pada pemerhatian saya, taktikal dan corak permainan yang ditunjukkan amat bagus sekali kerana mereka bukan sahaja mencorak serangan dengan kemas dan lancar tetapi juga hebat dan kental bila bertahan. Mereka juga menunjukkan penguasaan yang kemas di bahagian tengah yang menyaksikan penguasaan yang total dan cukup sempurna.
Owh..memang mereka adalah yang terbaik. Mereka memang pasukan yang sempurna. Sebenarnya bukan sahaja mereka yang menghasilkan keputusan yang mengejutkan dalam edisi kali ini, tetapi pasukan seperti Turki dan Croatia juga telah mengejutkan pemerhati bola sepak sedunia. Pasukan kerdil seperti mereka ini akhirnya berjaya menewaskan pasukan gergasi dunia seperi Jerman, Republik Chek dan Sweden. Walaupun mereka tidak memiliki pemain bintang dan ternama, tetapi semangat berpasukan yang tinggi dan kesungguhan yang menjadi toknik kepada ’kebangkitan emas’ mereka ini. Mereka membuktikan bahawa semangat berpasukan adalah penting untuk mencapai kejayaan.
Saya tertarik dengan formula yang mereka gunakan ini. Pemain bola kesemuanya 11 orang termasuk dengan penjaga gol. Walaupun pasukan handalan lain mempunyai antara 5-7 pemain handalan dari kesebelasan mereka, tetapi masih lagi mereka kalah dan tewas kepada pasukan yang betul-betul menggunakan kesemuannya kesebelasan pemain yang ada. Inilah bola sepak sebenarnya. Memilki pemain ternama dalam pasukan masih tidak mencukupi jikalau masih tidak mengamalkan corak permainan berpasukan.
Bola sepak cukup menarik untuk ditonton. Walaupun kawan-kawan saya ada yang tidak berminat dengan sukan ini, tetapi saya masih lagi dengan status peminat no-1 sukan ini walaupun bakat saya lebih menyerlah dalam sukan badminton. Memang badminton adalah sukan yang mengangkat keyakinan diri saya sepeti yang ada pada hari ini. Ramai yang tidak mengetahui saya sebenarnya adalah bekas pemain yang mewakili Negeri Kelantan dalam sukan Sekolah-sekolah Agama Malaysia yang ketika itu dilangsungkan di Universiti Utara Malaysia, Sintok Kedah. Tahun berikutnya saya sekali lagi terpilih ke temasya itu yang di adakan pula di Langkawi. Tetapi sekarang dah tak berapa aktif sangat dengan sukan tersebut, itu sebab badan pun dah naik. Kalau ada orang tanya kenapa Nik nampak berisi sedikit, itulah jawapannya. Hehe...
Saya kadang-kadang pelik juga dengan perangai kawan-kawan saya. Antara kawan saya adalah mereka yang aktif dalam persatuan di Universiti bahkan ada mereka yang cukup terkenal di kampus kerana kelantangan bersuara mengkritik dasar universsiti dan kerajaan. Tetapi apabila diajak bercakap tentang sukan, mereka langsung tidak meminati bahkan ada yang memandang sepi aktiviti yang cukup berfaedah ini. Bukan nak dikatakan semua, tetapi tidak dapat dinafikan memang wujud sebilangan daripada mereka ini yang hanya menjadikan mesyuarat sebagai medan ’mengeluarkan’ peluh dalam kehidupan seharian. Mereka ini kawan-kawan saya. Tetapi sayang, mereka tidak mempunyai pandangan seperti saya. Saya yakin, pandangan untuk bersukan ini bukan sahaja daripada saya, bahkan semua orang pasti mengatakan perkara yang sama. Apa tidaknya, ini saja lah cara untuk kita menyihatkan tubuh badan kita. Ramai yang bersetuju jikalau saya mengatakan bahawa otak yang cerdas, akan menghasilkan gerak-geri yang sihat dan cergas. Kerana inilah yang kita belajar semasa di usia kanak-kanak semasa sekolah rendah dahulu. Persoalannya, adakah kita sudah lupa?
Sebenarnya bagi saya, sukan ini penuh dengan falsafahnya yang tersendiri. Dalam bola sepak, saya sentiasa sebut kepada anak-anak buah saya berkenaan kaitannya dengan soal kepimpinan yang saya sampaikannya dalam bentuk analogi yang cukup mudah. Saya cuba untuk lontarkan apa falsafahnya yang wujud dalam permainan yang mempunyai peminat yang teramai sekali di dunia. Falsafah yang saya maksudkan ialah kaitannya dengan aspek kepimpinan. Saya suka mengaitkan penulisan saya dengan aspek ini kerana memang tema asas blog INFINITI ini adalah membicarakan soal kepimpinan.
Begini, dalam bola sepak terdiri daripada gabungan sumber manusia yang mempunyai kepakaran masing-masing dan tersendiri. Bermula dengan aspek pengurusan, perundangan, kejurulatihan dan sehinggalah pemain itu sendiri. Memang bola sepak adalah permainan yang penuh dengan seni yang menghiburkan mata yang memandang. Semua aspek yang saya sebutkan tadi adalah terdiri daripada sumber-sumber manusia. Mereka yang berperanan dalam mencorakkan sesuatu pasukan. Dalam kepimpinan pun, aspek sumber manusia adalah teramat penting. Tidak akan wujud sesuatu organisasi jika organisasi tersebut tdak memiliki sumber manusia yang mencukupi. Ada ketua yang mantap, bukan menjamin kelangsungan organisasi tersebut. Perlu juga mempunyai ahli bawahan yang efektif dan berinisiatif dalam menyahut segala visi, misi dan pembawakan organisasi tersebut.
Dalam bola sepak, ada seorang jurulatih dan penolong serta timbalan penolong jurululatih yang sama-sama mengemudi sesebuah pasukan. Begitu juga persatuan, mereka memiliki Presiden, Timbalan dan Penolong yang telah dilantik dengan suara ramai. Dalam bola sepak, kesebelas pemain mesti berperanan dengan baik di posisi masing-masing. Penyerang tugas mereka adalah merobek kubu pasukan lawan. Pemain tengah adalah berperanan mengawal bola dengan kemas dan mencari peluang untuk dilorongkan kepada barisan penyerang mereka. Pemain yang bermain diposisi pertahanan pula adalah mereka yang memastikan kubu mereka tidak dibolosi oleh pemain pasukan lawan. Semua ini berperanan bagi mewujudkan penguasaan penuh di atas padang. Begitu juga dengan organisasi, setiap orang ada peranan. Masing-masing perlu berperanan barulah wujud team.-work yang bagus.
Dalam bola sepak, matlamat mereka adalah untuk menjaringkan gol. Pasukan yang menjaringkan gol yang lebih banyak adalah pemenang. Dalam kepimpinan organisasi, penguasaan dan pengaruh adalah teramat penting bagi mlaksanakan apa yang telah dirancang. Bola sepak mengajar para pejuang kepimpinan untuk berusaha mendapat penguasaan dan pengaruh. Pasukan yang menguasai permainan dan banyak membuat percubaan, adalah berpeluang untuk menjaringkan gol. Bilamana satu keadaan seorang pemain yang hanya berdepan dengan penjaga gol, dia harus membuat keputusan samada untuk merembat terus atau membuat hantaran kepada kawan bagi mencari ruang yang lebih selesa untuk mendapatkan gol. Begitu juga dalam organisasi, peluang yang didapati mesti diputuskan samada untuk menggunakan sahaja peluang tersebut ataupun membuat keputusan untuk menangguh atau memberi sahaja peluang tersebut kepada orang lain. Ini semua berkaitan dengan soal membuat pilihan dan melakukan keputusan. Kedua aspek ini teramat penting dalam asas kepimpinan. Bola sepak mengajar kita pentingnya untuk bertindak membuat keputusan.
Dalam bola sepak, seninya juga terletak pada para penyokongnya. Pemain tidak dapat bermain dengan bagus sekiranya tidak ada penyokong atau orang untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Penyokong menaikkan semangat juang pemain. Penyokong berdiri teguh di belakng pemain. Inilah ciri-ciri penyokong yang baik. Dalam organisasi, perlu pada penyokong atau puak yang mendokong perjuangan mereka. Pnyokong yang ramai melambangkan pengaruh dan kredibiliti sesebuah organisasi. Tanpa penyokong, maka pincanglah langkah organisasi tersebut. Dalam bola sepak, penyokong adalah ’pemain’ yang ke-12 dalam pasukan.
Sebenarnya banyak lagi falsafah seni bola ini yang boleh dikaitkan dengan aspek kepimpinan. Bergantung kepada persepsi masing-masing untuk membuat analisa dan pemerhatian terhadap kedua-duanya. Tetapi yang pasti, hanya mereka yang meminati permainan ini sahajlah yang akan menemui keunikan falsafah disebaliknya. Begitu juga dengan permainan lain, saya yakin terdapat juga falsafahnya yang begitu menarik untuk dikaji. Semua ini kita lakukan demi mencari strategi dan pengajaran disebalik permainan-permainan yang ada ini bagi dipraktikkan dalam organisasi. Amat malang bagi mereka yang melaung-laungkan perjuangan dan kebangkitan, tetapi langsung tidak menitiskan peluh dengan salah satu permainan yang ada. Mereka lebih suka menitiskan peluh kerana lama bermesyuarat dan berprogram formal, tetapi lupa dengan gaya hidup sihat ini.
Saya bukanlah orang yang aktif bersukan seperti suatu ketika dahulu. Tetapi ada juga ruang untuk saya luangkan untuk aktiviti ini. Paling tak pun, saya berjogging di Tasik Taman Jaya. Suasana pagi atau petang di sana memang mencetuskan pemikiran yang cergas. Indah melihat orang ramai juga turut sama merenggangkan otot-otot badan mereka. Semuanya dilakukan demi kesihatan yang berkekalan. Cukup untuk melakukan senaman ringan tetapi biarlah ia berterusan dan bukan hangat-hangat tahi ayam. Kalau ada yang nak buat secara formal seperti perlawanan pun, tidak mengapa. Di sana akan tercetus pengaliran daya elektrik’ yang menghubungkan silaturrahim sepeti lintas pintas yang begitu cepat tindakkan dan kesannya.
Hadith Nabi S.A.W pernah menyebut, ”akal yang sihat akan menghasilkan tubuh badan yang sihat”, Juga dalam hadith lain Nabi S. A.W bersabda ” ajarlah anak kamu untuk berenang, menunggang kuda dan memanah”. Ini membuktikan bahawa dalam soal membicarakan perjuangan sekalipun, bersukan bukan satu perkara yang harus diambil mudah. Apa guna berjuang, kalau dengan menjadi seperti sepohon kayu tunggul dan reput. Tunggu masa, maka tumbanglah ia sebelum sempat menghasilkan buah untuk dimakan bersama...
1 Respon Anda?:
yolo2 bersukan itu penting untuk kesihatan mental dan fizikal..saya sokong kepimpinan ada pada sukan dan di mana2 saje..
bereh sokmo
Post a Comment